Trend hidup bujang antara faktor 'pemergian sunyi' Foto hiasan.
KUALA LUMPUR: Fenomena kematian bersendirian atau 'pemergian sunyi' bukan kes terpencil, sebaliknya perlu dilihat sebagai isyarat awal perubahan sosial yang berpotensi memberi kesan besar kepada struktur masyarakat negara ini.
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Zainal Madon, berkata trend hidup bujang sekarang di antara faktor menyumbang pemergian sunyi berikutan gaya hidup itu dipengaruhi kemahuan bebas serta keinginan tidak terikat komitmen berumah tangga.
"Selain itu, tumpuan kepada perkembangan kerjaya juga menyumbang kematian seorang diri tanpa disedari orang lain terutama banyak membabitkan warga emas adalah fenomena di Jepun dikenali 'kodokushi'.
"Fenomena kodokushi di Jepun banyak berlaku kerana perubahan masyarakat yang lebih ramai hidup membujang serta saiz keluarga makin mengecil.
"Perkara ini berkait kadar perkahwinan yang menurun dengan ramai lelaki dan wanita dewasa menumpukan perhatian kepada kerjaya," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas isu kodokushi yang mana di Jepun pada 2024, lebih 20,000 orang meninggal secara sunyi, seorang diri tanpa disedari orang lain.
Difahamkan hampir 80 peratus daripada mereka berusia lebih 62 tahun yang biasanya membabitkan orang tua yang hidup tanpa keluarga atau rakan rapat.
Fenomena itu dijangka semakin kritikal menjelang 2050, apabila lebih 40 peratus populasi dijangka berusia 65 tahun ke atas, mengurangkan jumlah orang yang boleh menjaga warga emas.
Pada masa sama, data Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Jabatan Perangkaan menunjukkan kadar kesuburan negara ini semakin menurun, antaranya disebabkan penangguhan usia perkahwinan berikutan peningkatan kos sara hidup serta perbelanjaan membesarkan anak.
Mengulas lanjut, Zainal berkata, beberapa keadaan di Jepun sudah berlaku di Malaysia walaupun tiada statistik menunjukkan kematian sendirian yang dapat dirujuk.
"Perubahan gaya hidup membujang dan tidak berkahwin di Malaysia mungkin boleh membawa trend kodokushi dalam jangka masa panjang.
"Ia tidak berlaku dalam masa terdekat kerana institusi keluarga di Malaysia masih lagi kukuh sebagai bentuk sokongan sosial," katanya.
Beliau berkata, isu pemergian sunyi dalam kalangan warga tua akan menjadi masalah jika institusi kekeluargaan semakin longgar dan rapuh.
"Justeru, kerajaan perlu mengambil langkah bagi merapatkan jurang generasi dan pengukuhan keluarga sebagai sistem sokongan. "Dalam hal ini, kerajaan perlu memberikan insentif bersesuaian kepada ahli keluarga yang menjaga warga tua yang memerlukan penjagaan khusus seperti sakit terlantar, masalah kesihatan mental dan lain-lain.
"Ini kerana sudah terdapat insentif untuk ibu bapa mempunyai anak di taska, jadi wujud keperluan mewujudkan insentif penjagaan warga tua.
"Selain itu, kejiranan yang prihatin antara institusi sosial berkesan membina komuniti sejahtera," katanya.
Beliau berkata, institusi masjid, pertubuhan bukan kerajaan setempat perlu mewujudkan pangkalan data golongan rentan yang memerlukan perhatian misalnya orang kurang upaya, miskin tegar, warga emas, sakit terlantar serta pesakit mental.
"Lawatan dan ziarah secara berkala juga antara usaha dapat memastikan kebajikan golongan rentan ini terjaga," katanya.
Mengulas tanggapan kematian sunyi mencerminkan kegagalan masyarakat menjaga antara satu sama lain, Zainal melihat fenomena itu bukan semata-mata kegagalan sosial, sebaliknya tanda perubahan budaya daripada masyarakat berteraskan kolektivisme kepada individualisme.
"Peralihan itu dapat dilihat melalui sikap mementingkan diri dan lunturnya keprihatinan terhadap orang sekeliling, iaitu nilai yang perlu dibentuk sejak kanak-kanak bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara," katanya.
|