Pegang punggung budak perempuan, lelaki 73 tahun didakwa di mahkamah
Oleh Ahmad Hasbi - Februari 23, 2026 @ 1:45pm
Rusli (dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan memegang punggung kanak-kanak perempuan Disember lalu. NSTP/Ahmad Hasbi
SEREMBAN: Seorang lelaki warga emas yang mempunyai masalah pendengaran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan memegang punggung seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Rusli Abdul Hamid, 73, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Sebelum itu, warga emas itu dilihat berulang kali memegang telinga dan meminta jurubahasa membacakan semula pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa kanak-kanak perempuan berusia enam tahun 11 bulan ketika kejadian dengan cara memegang dan meramas punggung mangsa.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 10 pagi, bersebelahan kedai makan di Kampung Parit, Kuala Pilah pada 12 Disember lalu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan jaminan dan memaklumkan mangsa tidak mengenali tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 1 April depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
|