|
Persoalan gender dan usia tidak penting, sebaliknya karya diketengahkan kepada masyarakat\rPERSOALAN siapakah pengarang wanita pertama tanah air yang bakal dinobatkan sebagai Sasterawan Negara (SN) bolehlah ditangguhkan setidak-tidaknya sehingga tahun depan.\r\n\n\n\n\rDi sebalik beberapa nama tokoh pengarang wanita yang disebut-sebut layak untuk merangkul Anugerah Sastera Negara (ASN) itu, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Kemala juga yang menjadi pilihan panelnya.\r\r\n\n\n\n\nNamun, ia tidaklah bermakna polemik itu hanya wajar dicetus dan dihangatkan kembali ketika panel yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bermesyuarat untuk membuat pemilihan seterusnya.\rIni kerana acara dan aktiviti membabitkan buku serta pengarangnya perlu dibuat secara berterusan, manakala ruang lingkup khalayaknya pula diperluaskan kepada massa.\rIa juga tidak boleh terperangkap dalam polemik SN melihat pemilihannya berdasarkan pengarang lelaki atau wanita dan tua atau muda kerana pemilihan perlu melangkaui jantina dan usia.\rLebih penting, pemilihan dan penerimaan SN juga perlu membabitkan masyarakat kerana sumbangan pujangga berkenaan dalam bentuk keintelektualan dan kemanusiaan wajar terpancar ke tengah-tengah masyarakat.\r\n\n\n\n\rTidak hairanlah, pengarang dan budayawan tanah air, Dr Siti Zainon Ismail, mengambil pendirian yang bijak apabila tidak menekankan keperluan sasterawan wanita untuk dinobatkan sebagai SN tanpa menafikan kelayakan mereka.\rPendirian itu diluahkan pada Wawancara Sofa Putih Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.\rDr Siti Zainon berkata, penulis wanita sudah lama berkembang dalam bidang kesusasteraan sejak 1960-an lagi seperti Khadijah Hashim dan Zaharah Nawawi.\r“Bagaimanapun, janganlah kita fikirkan pemilihan SN itu kepada lelaki atau wanita, sebaliknya kita wajar memberikan tumpuan terhadap karyanya.\r“Saya kira banyak ruang yang dapat dimanfaatkan untuk sastera dan budaya yang selama ini dianggap kecil termasuk promosi buku yang kurang diberi peluang,” katanya.\rBeliau berkata, sudah sampai masanya ruang dalam media massa diisi termasuk dengan mengundang penulis serius ke televisyen, selain penulis popular turut didekatkan dengan bahan sastera yang serius.\rLebih penting bagi Dr Siti Zainon adalah masyarakat turut dibabitkan sekali, manakala jaringan dan pengkaji diwujudkan untuk mengumpulkan data dan karya pengarang tanah air.\r“Saya pernah terbabit dengan sahabat pengarang di luar negara yang mahu mencalonkan tokoh tertentu untuk anugerah dan mereka mempunyai jaringan dan pengkaji masing-masing.\r“Malangnya kita di Malaysia tidak ada jaringan dan pengkaji sebegini, sebaliknya hanya menunggu tulisan atau kajian yang ada saja,” katanya.\rPandangan Dr Siti Zainon itu wajar diberi perhatian oleh birokrat sastera dan pengarang untuk mengangkat tokoh di kalangan mereka bukan saja pada peringkat kebangsaan, malahan menyuguhkan ketokohan berkenaan pada pentas antarabangsa.\rIni kerana khalayak sastera tanah air tidak memperlihatkan kesungguhan dalam mencalonkan pengarang yang berwibawa selain daripada membuat pencalonan kepada sesuatu anugerah.\rDalam arus budaya popular yang deras menghentam masyarakat adalah perlu institusi, persatuan dan pengarang untuk membawa sasterawan yang layak ke tengah kehidupan mereka.\rPenganjuran acara tidak lagi terkongkong dalam ruang selesa pengarang seperti di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau fakulti sastera serta bahasa di institusi pengajian tinggi (IPT), bahkan wajar diperluas di kedai buku, pusat beli-belah dan syarikat korporat.\rMemang langkah sebegini tampak canggung pada peringkat awal kerana masyarakat belum didekatkan dengan pengarang dan dunia sastera, tetapi lama kelamaan ia akan membudaya dalam kehidupan masyarakat.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|
|
|
|
|
|
| |
|