|
Cinta Elysa buka ruang Johan beraksi di sisi pelakon pujaan\rLIMA bulan lalu, ketika jejaka ini muncul bersama dua lagi rakannya menghiasi muka depan ruangan Hip, mungkin tidak ramai yang mempedulikan kehadirannya dalam kancah seni. Waktu itu, dia hanyalah pelakon pembantu dalam drama bersiri Juvana terbitan Filmscape Sdn Bhd. \r\n\n\n\n\rBenar bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Tidak sampai pun lima bulan membabitkan diri secara serius sebagai pelakon, nama Johan Ariff As’ari, 25, mula meniti di bibir peminat, terutama wanita. \r\r\n\n\n\n\nSikap ganasnya sebagai Botak dalam drama Juvana cukup meninggalkan kesan dalam hati penonton. Kini, hati peminat sekali lagi terkesan dengan lakonannya sebagai Aril dalam drama Cinta Elysa.\rBaru setahun jagung dalam dunia lakonan, Johan sudah pun mendapat kepercayaan penerbit untuk mendukung watak utama, malah dia juga amat beruntung apabila berpeluang beraksi di sisi pelakon hebat seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Eman Manan dan Fasha Sandha.\rKali pertama menemubualnya dulu, Johan seorang yang lurus dan jujur. Ketika temu bual terbaru ini dilakukan pun, sikapnya masih sama seperti dulu. Namun anak muda ini turut melahirkan kebimbangan tidak mampu mengekalkan sikap sedemikian satu hari kelak.\r“Alhamdulillah selepas Juvana tamat, saya mendapat beberapa tawaran daripada stesen televisyen dan produksi lain. Hendak katakan banyak, tidaklah juga, tetapi Allah mempermudahkan perjalanan saya.\r\n\n\n\n\r“Dapat berlakon di samping pelakon yang ada nama dan muncul pula pada waktu perdana adalah satu kurniaan rezeki yang tidak saya sangka-sangka. Apabila Allah memberi rezeki, saya percaya dia tidak memilih siapa kita. Walau apapun, rezeki dalam bidang lakonan tetap halal sekiranya kita berniat dalam hati tujuan berlakon adalah untuk berdakwah.\r“Contohnya, jika peminat melihat lakonan saya, kemudian terdetik di hati mereka tidak mahu melakukan perkara sama seperti saya lakukan, itu sudah menjadi satu dakwah,” katanya yang tidak sangka dapat berlakon di samping pelakon yang cukup diminatinya, Fasha.\rDipertemukan dalam drama Cinta Elysa yang menemui penonton setiap Selasa, nyata merapatkan hubungannya dengan wanita itu. Gara-gara berlakon bersama, mereka sering dilihat berdua-duaan walau ke mana saja.\rMaka timbul suara-suara sumbang kononnya Johan cuba menghimpit Fasha. Atau paling tidak, mahu menumpang populariti wanita itu bagi melonjakkan namanya.\rBagaimanapun, dakwaan itu jelas sekali mengejutkan jejaka ini. Katanya, langsung tidak pernah terlintas dalam kotak fikirannya untuk menaruh hati kepada wanita secantik dan terkenal seperti Fasha.\r“Saya menghormatinya kerana dia sudah lama berada dalam industri. Pengalaman Fasha dalam dunia lakonan juga cukup luas. Malah pernah satu ketika dia berada di atas dan secara tiba-tiba namanya jatuh, tetapi dia masih mampu bertahan. Dia tahu jatuh bangun dalam dunia seni, yang membuatkan saya begitu mengagumi dirinya. Setakat ini saya belum meletakkan sebarang perasaan untuk bercinta dengan Fasha.\r“Saya mengaku, sebelum bergelar pelakon, saya begitu mengagumi lakonan Fasha. Tidak terlintas satu hari nanti saya akan mendapat peluang berlakon dengannya. \r\"Sebelum bertemu dengan Fasha, saya amat berdebar, rasa kekok, semuanya bercampur-baur. Tetapi selepas digandingkan, saya dapat rasakan keserasian antara kami, sekali gus melenyapkan perasaan bimbang itu,” katanya.\rBimbang lupa diri\rBERKALI-kali dia menyatakan kebimbangan akan lupa diri apabila semakin dikenali. Acap kali juga dia meminta supaya ditegur seandainya terlihat perubahan padanya.\r“Saya memang takut sangat menjadi manusia lupa diri. Sekiranya kita mula lupa diri, ia bermakna zaman kejatuhan kian menghampiri. Oleh itu, setiap kali berada di set, saya tidak pernah berasakan diri sudah cukup bagus. \r“Sebaik saja mendengar perkataan ‘cut’, saya akan segera mendapatkan pengarah untuk bertanya kekurangan pada lakonan saya. Memang saya mengaku, ketika berlakon dalam Juvana, saya pernah menangis kerana tidak berjaya mengekalkan momentum watak Botak. Tapi lama-kelamaan keyakinan semakin dapat saya pupuk. \r“Setiap kali berada di set juga, saya sering mencuri peluang mendekati pelakon yang bagus. Saya banyak meminta petua lakonan daripada mereka. Dua pelakon yang amat saya kagumi ialah Zahiril Adzim dan Bront Palarae. Bagi saya, mereka pelakon yang sangat hebat,” katanya yang mengimpikan untuk menggenggam trofi pelakon terbaik satu hari nanti.\rMungkin pada ketika ini, masih terlalu awal untuk dia mengimpikan trofi itu, namun jejaka yang sedang menangguhkan pengajiannya dalam Diploma Kaunseling, Kolej Universiti Islam Melaka ini tetap mengharapkan trofi berkenaan.\r“Sebagai seorang pelakon, saya memang berharap dapat menjadi pelakon yang terbaik, bukannya popular. Tolok banding seorang pelakon adalah pada anugerah. Sekiranya dapat menaiki pentas untuk mengambil trofi sebagai pelakon terbaik, ia penghargaan besar buat saya kerana orang menyedari penat lelah saya,” katanya.\rAzam tamat pengajian\rPENGAJIANNYA masih berbaki tiga semester, bagaimanapun kesibukan dirinya yang kini bergelar pelakon menyebabkan Johan belum dapat menyambung kembali kursusnya.\rBagaimanapun, dia yang juga adik kepada pelakon Farah Alya ini tetap berazam menamatkan juga pengajiannya kerana menyedari kepentingan ilmu. Selain menuntut di Melaka, Johan juga pernah menuntut ilmu agama di Jambi dan Batam, Indonesia, selama setahun, serta mampu menghafaz dua juzuk al-Quran.\r“Walaupun sibuk berlakon, saya tidak pernah lupa pada pengajian. Setakat ini saya tidak tahu bila lagi akan menyambung kembali kursus, tetapi saya bertekad akan tetap menghabiskannya juga. \r\"Saya juga tidak pernah lupa dengan ilmu agama. Jika ada waktu terluang saya akan mengulang kaji dan membaca al-Quran untuk memastikan saya tidak lupa,” katanya yang berhasrat menubuhkan sebuah syarikat penerbitan bersama kakaknya.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|
|
|
|
|
|
| |
|