CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6173|Reply: 0

Puisi menyentuh sanubari

[Copy link]
Post time 10-11-2011 09:45 AM | Show all posts |Read mode

Penyair tempatan pelbagai bangsa dan pelajar antarabangsa bergabung tenaga

ALUNAN puisi, gurindam, pantun dan syair indah yang diselangi persembahan kebudayaan, nyanyian dan puisidra menghangatkan Gema Puisi dan Citra Budaya yang menjadi sebahagian daripada pengisian Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 20111.Acara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC) yang menggabungkan penyair tempatan pelbagai bangsa dan penampilan istimewa pelajar asing dari pelbagai negara berlangsung meriah.Penyair dan tenaga pengajar, Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA), Zamzuriah Zahari, membuka tirai acara di Kompleks Perdanasiswa UM, baru-baru ini dengan alunan gurindam syahdu sebelum Kumpulan Tari Aceh di bawah pimpinan Paramadita Eka Putri muncul mempersembahkan tarian kebudayaan Indonesia.

Tarian negara jiran yang mempesonakan khalayak dengan langkah tari unik diselang seli nyanyian oleh tukang karut persis persembahan dikir barat yang popular di Kelantan, menambah seri acara yang berlangsung selama hampir dua jam setengah itu.

Deklamasi puisi dimulai dengan seruan oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Media UM  yang juga Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad yang mengajak khalayak mengenal erti wira sejati melalui bait puisi sinis.

Selamanya wira dinilai oleh masaSelamanya wira dicanai oleh kuasa

Selamanya wira dijulang oleh dusta

Selamanya wira dinobat oleh harta

Akhirnya wira entah di mana.

Penuntut Akademi Pengajian Melayu UM dari Jepun, Yukari Noguchi, bertubuh kecil tampil molek berbaju Melayu ketika mendeklamasikan puisi sinis lagi menyengat, Di Laman Pusaka Nusa karya pensyarahnya, Dr Mohamad Saleeh yang nyata menyindir bangsa Melayu yang semakin lupa diri.

Bergema suara

Tun Seri Lanang, Abdullah Munshi,

Za’ba yang menghidupkan bangsa

Dengan keramat bahasa

Masuklah dengan semangat Jebat

Gelanggang sudah lama menunggu

Pencak sudah hilang tangkasnya

Tapak sudah sumbang langkahnya

Dan gendang berlumut di sudut sepi

Pelajar dari Brunei yang juga penuntut Akademi Pengajian Melayu UM, Najian Nadiah Syed Anayatullah Shah, tampil penuh bersemangat di pentas puisi dengan karya Johan Deklamator Puisi Peringkat Kebangsaan 1996, Shukri Abdullah, bertajuk Manuskrip Luka Bangsa yang sarat mesej mengajak khalayak membaiki kelemahan diri demi keutuhan bangsa, agama dan negara.

Berbahasalah dengan fasih lidah

Pendeta dan kemuliaan para aulia

Dipinjam daripada kesucian kalam

Yang melengkapi seluruh kehidupan

Bertakwalah dengan pesan sabda junjungan

Disingkap dari tirai teladan

Yang menyerlah ufuk kebenaran.

Lari daripada kebiasaan, Kumpulan Puisi Artistik pimpinan Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2007, Prof Rahman Shaari, berganding tenaga dengan lima anaknya menyajikan persembahan yang turut menyelitkan dekon dan nyanyian puisi, Sejahtera Bahasaku.

Penuntut tempatan dan antarabangsa dari UM serta KLMUC yang menyaksikan persembahan turut terbuai sama dengan persembahan terbabit sehingga turut sama menyanyi dan bertepuk tangan, tatkala nyanyian yang menyeru masyarakat mencintai lagi memurnikan bahasa dialunkan.

Sejahtera Bahasaku

Aku cukup percaya

Kau cukup bersedia

Tak terkalah oleh cabaran

Yang indah berentak rasa

Yang gagah menegak fikiran

Sejahtera bahasaku

Aku cukup percaya

Kau cukup bersedia.

Kehangatan malam itu turut dikejutkan dengan laungan Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2010, Mohamad Tarmizi Kassim yang menyeru bangsa Melayu kembali memartabatkan bahasa mereka yang membawa seribu makna dalam segi kehidupan, apalagi di Malaysia yang memartabatkannya sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi.

Muzik asli Melayu yang mengiringi persembahan beliau mengimbangkan suasana dewan yang terpaku seketika kerana khalayak leka menghayati alunan hebat puisi, Bahasa Melayu Melawan Kembali karya Baha Zain, di tangan deklamator yang penuh semangat menghidupkan karya di pentas puisi.

Ayuh! Mari kita mara ke depan

Pesan seorang pujangga

Pasang benteng dengan bahasa

Tancapkan lembing dengan suara

Hanya itulah, yang kita ada

Menikam ke rongga-rongga dada mereka.

Suasana tegang dan serius diceriakan kembali dengan kemunculan kanak-kanak cilik berbangsa Cina yang fasih berbahasa Melayu, Crystal Lee Xin Qiau, berusia 8 tahun yang tampil menyampaikan pantun nasihat dengan bersahaja sehingga khalayak terpegun menyaksikan persembahannya.

Ilmu itu pelindung diri

Seperti kebun berpagar duri

Seperti sinar intan baiduri

Itulah tanda orang jauhari.

Ingatlah wahai anakku sayang

Tanah indah pusaka nenek moyang

Jangan terlepas ke tangan orang

Sedangkan kita miskin terbuang.

Kemuncak persembahan pada malam itu begitu dirasai menerusi puisidra, Bersatulah, gabungan tenaga UM dengan KLMUC yang menampilkan Naib Canselor KLMUC, Prof Datuk Dr Hashim Yaacob, manakala warga UM diwakili Prof Datin Sri Nurestri, Prof Madya Nasir Hashim dan Asrul Faizal yang membawa khalayak merenung sejenak keadaan bumi Malaysia yang tercinta sekiranya perpecahan di antara masyarakat berlaku.

Program turut menerima sentuhan daripada penuntut Indonesia, Annaba Ghassani yang menyampaikan puisi, Di Sini Dia; pelajar dari Kuala Kangsar, Shafaiz Zakaria dengan gurindam nasihat Harga Remaja dan Pegawai Perancang Bahasa DBP, Mohd Amran Daud, menyampaikan syair, Jasa Guru Bahasa.

Khalayak turut dihidangkan dengan nyanyian lagu tradisional, Bunga Tanjung oleh penuntut UM, Rasyidah Abd Rahim, persembahan tarian popular Asia Barat secara solo oleh  Melissa Ansari dari Iran dan diakhiri dengan nyanyian lagu tema BBK oleh pengacara majlis, Suhaimi Ahmad.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

26-4-2024 01:42 PM GMT+8 , Processed in 0.152037 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list