CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: fizziany

KAU JANGAN MENANGIS SEBAB AKU TAK SUKA! (KEPALA BATU KEPALA ANGIN) (U)

  [Copy link]
 Author| Post time 7-2-2012 10:35 PM | Show all posts
Azah yang seumur hidup tidak pernah menaiki kapal terbang, berasa sangat gementar. Dari urusan tiket hinggalah ke bagasi tadi, semuanya Harris yang melakukan untuknya. Dia hanya menjadi pemerhati setia.

Awal-awal lagi dia memberitahu Harris bahawa dia memang tidak pernah naik kapal terbang. Gelak besar mamat beku tu tadi. Tapi, Azah tidak peduli jika dia ditertawakan oleh Harris. Saat itu, buat apa dia hendak berpura-pura.  Takut nanti, lain pula jadinya. Jadi, lebih baik berterus terang saja.

Kini, dia sudahpun berada di dalam kapal terbang.  Azah menenteramkan hatinya yang berdebar kencang saat kapal terbang mula bergerak perlahan-lahan.

Gemuruhnya hanya Tuhan saja yang tahu. Tangannya erat menggenggam kerusi yang didudukinya. Saat kapal terbang mula meninggi, Azah sudah berpeluh. Debarannya makin kuat. Pantas matanya dipejam, sambil mulutnya terkumat kamit membaca ayat-ayat suci Al-Qur’an bagi mengurangkan ketakutan.

“Baca jampi apa mak cik?” terasa suara Harris begitu dekat di telinganya. Pantas dia membuka mata dan menoleh ke sebelah kanannya. Muka Harris betul-betul berada dalam jarak 10 cm dari mukanya. Segera dia menjauhi muka Harris.Tak pernah mereka duduk begitu rapat.

“Diamlah!” marah Azah sambil memejamkan matanya kembali. Harris tidak langsung dipedulikan. Biarlah lelaki itu nak kata apa pun. I don’t care!

Harris disebelah, tersenyum lucu. Melihat Azah yang memejamkan matanya dalam keresahan, sekaligus memberi peluang buat Harris untuk merenung wajah cantik itu sepuas-puasnya.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-2-2012 10:36 PM | Show all posts
Azah memandang sekelilingnya. Ruang lapangan terbang Kuching terlalu besar baginya. Semuanya nampak kecil sahaja pada matanya. Lantai tempat dia berpijak terasa bergoyang perlahan-lahan. Usai keluar dari tempat ketibaan tadi, Harris menyuruhnya tunggu di satu sudut sementara Harris pergi mendapatkan bagasi.

Azah memandang bumbung tempat dia berdiri. Juga terasa bergoyang. Pandangan matanya seakan berputar 360 darjah. Tubuhnya terasa ringan sekali, seperti kapas yang melayang ditiup angin. Kenapa semuanya berputar? Azah menguatkan hatinya.

Dia memejamkan matanya seketika sambil menggelengkan kepalanya. Bila dia membuka mata, pandangannya masih berputar tak ubah bak gelombang. Azah cuba melangkah setapak ke depan. Namun, tubuhnya hilang imbangan lalu dia jatuh serta merta.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2012 10:37 PM | Show all posts
Harris menapak laju menghampiri Azah. Sesudah mengambil bagasi di kaunter, dia terus saja mahu kembali ke tempat dia meninggalkan Azah tadi. Wajah gadis itu agak pucat . Sebaik hampir di tempat Azah berdiri, tiba-tiba saja tubuh itu rebah.

“Azah!!!!” Harris yang terkejut terus berlari secepat mungkin lalu menyambut tubuh Azah yang rebah.  Azah sudah tidak sedarkan diri. Matanya terpejam. Tubuhnya lemah longlai sewaktu rebah di dalam dakapan Harris.

“Azah…” Harris menepuk-nepuk pipi Azah yang masih tidak sedarkan diri. Beberapa orang yang lalu lalang di kawasan itu mula menghampiri mereka.

“Kenapa ni?” soal seorang lelaki yang agak berusia. Dia turut duduk meneliti keadaan Azah yang berada di pangkuan Harris. Harris memandang kembali lelaki tua itu.

“Pitam agaknya…” jawab Harris. Di saat-saat itu, berpeluh juga dahinya. Makin ramai pula yang datang menghampiri mereka. Seorang kakitangan lapangan terbang itu dengan walkie-talkie di tangannya datang menghampiri mereka.

“Pitam ke ni bang? Bawak pergi klinik lah…” kata kakitangan itu lagi sambil menunjukkan kea rah klinik kecil Kementerian Kesihatan Malaysia yang terdapat di tingkat itu. Harris angguk. Tubuh Azah lalu digendongnya menuju ke klinik yang terletak di hujung bangunan.

Saat itu, di dalam dadanya berdebar kencang seakan ombak laut yang menghempas pantai. Tidak akan berhenti selagi Azah tidak membuka mata.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2012 10:38 PM | Show all posts
“Dia dah sedar…” seorang jururawat yang baru keluar dari bilik kecemasan tadi, bersuara kea rah Harris.  Pantas Harris bangun lalu masuk ke bilik yang menempatkan Azah. Kata doctor, mungkin Azah mabuk naik kapal terbang saja. Jadi, dia pitam. Tambahan pula, perutnya kosong. Mungkin itu yang membuat keadaan jadi bertambah rumit.

Azah bangun perlahan-lahan dari katil lalu duduk berjuntai di katil. Baju kebaya labuhnya dibetulkan sedikit. BImbang jika ada bahagian yang terdedah. Rambut panjangnya yang tadi diikat, kini sudah kusut.

Harris melabuhkan punggungnya di sisi Azah. Dia mengukir senyum pendek kepada Azah yang kelihatan malu-malu dengannya. Azah menarik getah rambutnya, sekaligus merungkai ikatan rambut. Lantas dia membetulkan kembali ikatan rambutnya. Tingkah lakunya diperhatikan saja oleh Harris.

“Kau dah boleh jalan tak ni?” soal Harris perlahan dan lembut. Belum pernah Azah mendengar Harris bersuara lembut dan perlahan seperti tu sebelum ini. Azah menoleh memandang Harris. Tanpa suara, Azah membalas soalan itu dengan mengangguk saja.

“Jom…” Harris bangun, menanti Azah berjalan beriringan bersamanya. Azah turun dari katil lalu menyarung kasutnya. Harris pula, masih menjadi pemerhati tindak tanduk Azah. Azah menarik nafas dalam-dalam mencari kekuatan yang hilang sebentar tadi.

Melihat Azah sudah berdiri tegak, Harris senyum. Dia menghulurkan tangannya, menantikan Azah memegang kembali tangan yang dihulur. Azah pula, seakan terpinga-pinga memandang tangan Harris yang dihulur. Macam tak paham pulak…..

“Aku takut kau jatuh lagi. Tak larat aku nak dukung kau…berat macam gajah..” ujar Harris bila Azah buat muka dua kupang. Azah menghembus nafas geram. Pantas dia menggeleng dan berjalan mendahului Harris. Harris tergelak kecil sambil menggeleng. Azah…Azah….
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2012 10:39 PM | Show all posts
“Kau biar betul….” Azah memerhatikan seluruh ruang hotel yang bakal diinapinya. Sejak tiba di Riverside Hotel yang terletak di pinggir Bandar Kuching itu, hati Azah sudah tidak enak. Harris pula, masih dengan perangai selambanya.

“Betullah ni….” Harris menjawab acuh tidak acuh. Mereka bedua berada di dalam lif untuk ke tingkat 5, dimana letaknya bilik mereka.

“Takkanlah company murah hati sangat nak bayarkan kita hotel mahal macam ni!” bentak Azah lagi. Setahu Azah, memanglah syarikatnya akan membayar kemudahan hotel. Tapi, bukanlah untuk hotel yang mahal dan ekslusif seperti  ini. Melihat perkhidmatan hotel ini saja, sudah pasti kos penginapannya untuk satu malam saja sudah mencecah RM250 ke atas.

Ting! Lif sudah terbuka dan Harris keluar. Azah bergegas membuntuti Harris yang diam tidak bercakap.

“Kau dengar tak aku cakap ni….” marah Azah bila dilihatnya Harris bersikap acuh tak acuh kepadanya. Sampai di depan satu bilik, Harris berhenti dan memasukkan kad ke dalam ruangan khas di pintu bilik hotel itu.

Pintu bilik dibuka. Terus saja Harris masuk dan mempersilakan Azah masuk ke dalamnya dengan hormat. Azah yang bagai lembu dicucuk hidung terus masuk. Pintu ditutup. Melihat pintu ditutup, berderau darah Azah memandang Harris.

“Ni bilik siapa?” soal Azah gusar. Takkanlah mereka berkongsi bilik pula! Kalau hal itu terjadi, dia lebih rela tidur di lobi hotel. Tak pun, tempah tiket kapal terbang, balik KL semula.

“Bilik kau.Suka?” soal Harris tenang. Azah diam sejenak. Dia meletakkan beg tangannya di meja sisi lalu meneliti ruang bilik.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2012 10:39 PM | Show all posts
Bilik yang bersaiz besar itu begitu gah dengan karpet tebal berwarna merah bata dan hiasan dalaman berwarna coklat cair.  Segala kelengkapan seperti televisyen, peti sejuk, mini bar, sofa untuk berehat, meja untuk membuat kerja, semuanya siap tersedia.

Azah melangkah ke jendela. Sliding door ditarik perlahan-lahan, sekaligus membenarkan angin menerobos masuk ke bilik itu.

Tit! Pantas Azah berpaling memandang Harris yang sedang memasang penghawa dingin. Pandangan keduanya berlaga. Harris senyum manis.

“Bilik aku kat sebelah ni. Kalau ada apa-apa hal……” kata-kata Harris tergantung di situ. Dia menggalas kembali begnya sambil meletakkan remote control penghawa dingin ke meja.

“Jangan cari aku….” pendek sambungannya. Azah mendengus geram. Harris membuka pintu lalu keluar dari bilik Azah. Azah hanya melihat Harris yang  telah menghilang. Bila Harris hilang saja, Azah terus menghampiri katil queen size bercadar coklat lembut.

Senyumnya melebar merenung katil yang sungguh empuk itu. Lantas, Azah terus melontar tubuhnya ke katil bagi menghilangkan semua penatnya sejak tadi. Ahhhhhhh…sedapnya baring…….
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 7-2-2012 10:40 PM | Show all posts
Harris meletakkan begnya di sisi sofa. Sliding door terus dibuka perlahan-lahan. Dia keluar ke beranda bilik lalu duduk di kerusi yang terdapat di beranda itu. Pemandangan remang petang yang menghadap ke Kuching Waterfront benar-benar memukau pandangan.

Itulah sebabnya dia memilih untuk menginap di hotel tersebut. Hotel itu betul-betul berdekatan dengan Kuching Waterfront yang menjanjikan pemandangan senja yang terbaik. Tambahan pula, hotel itu berdekatan dengan semua kemudahan yang boleh didapati di Bandar Kuching.

Memang benar telahan Azah tadi. Hotel ini bukanlah hotel yang disarankan oleh syarikat mereka. Kalau ikutkan, mereka sepatutnya menginap di hotel murah yang mana terletak di kawasan deretan rumah kedai. Harganya juga pastilah murah. RM70 semalam sahaja.

Tapi, Harris mengambil keputusan, untuk kali ini biarlah dia menyewa di hotel ini. Semua pembiayaan hotel kali ini, biarlah dia yang tanggung dengan duitnya sendiri. Jika dia ke sini seorang diri, dia tidak kisah jika menginap di hotel murah. Lelaki sepertinya yang sudah terbiasa dengan kehidupan sederhana sejak kecil, tidak kisahkan langsung tentang persekitarannya.

Janji ada tempat tinggal, ada tandas dan tempat mandi, itu sudah memandai buatnya. Tapi, bila Azah sudah menyatakan persetujuan untuk mengikutnya kali ini, dia menukar haluan penginapan.

Dalam diam-diam dia menempah bilik hotel di Riverside Hotel ini. Dia mahu Azah selesa. Harris mengukir senyuman sendirian. Matanya masih tak jemu-jemu merenung awan petang. Nafasnya ditarik dalam-dalam, melepaskan penat mengharung perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuching hari ini.

“Kau bawak anak dara orang, baik-baik sikit Ris….” kata-kata Din terngiang-ngiang di telinganya. Melatah panjang Din, Halim dan Md. Noor bila mereka mengetahui bahawa Azah bakal mengikutinya ke Kuching. Semuanya tidak percaya.

“Rashid dah takde orang lain ke dia nak suruh?” tempelak Halim yang tidak percaya.

“Belum kahwin lagi, dah dapat pergi honeymoon….” Din pula menokok tambah. Harris senyum panjang. Ada rasa puas bila melihat kawan-kawannya yang lain mula cemburu dengannya bila Azah mahu mengikutinya. Meskipun semua itu atas tiket kerja. Tapi, dia tidak kisah.

Janji, Azah ada bersamanya sekarang! Tak ada orang lain yang akan mendekati Azah selain dia buat waktu ini. Hanya dia! Harris senyum lagi. Namun senyumannya mati tiba-tiba. Mata Harris tajam merenung balkoni sebelah yang dipisahkan melalui tembok dinding.

Siapa Azah padanya? Mengapa dia mahu menghabiskan wangnya kepada perempuan ini? Mengapa dia mahu Azah selalu bersamanya? Ke mana hilangnya prinsip hidupnya yang tidak peduli akan hal orang lain? Kemana??? Harris jagi keliru sendirian.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2012 10:41 PM | Show all posts
Harris memandang telefon bimbitnya. Dia duduk memeluk lutut di hujung katil sambil merenung telefon bimbit. Kain pelikatnya masih belum ditukar selepas sembahyang Isyak tadi. Perut sudah berkeroncong laju minta diisi.

Nama Azah tertera di skrin telefon bimbitnya. Sudah makankah gadis itu? Takkan dia sudah makan? Makan di mana? Dia bukannya tahu selok belok di sini. Nak telefon ke, tak nak?  Puas hatinya berfikir sampai telefon itu sudah banyak kali ditunjal ke dahinya. Susahnya mahu membuat keputusan untuk tugas mudah ni!

Arghh…telefon sajalah! Punat dail ditekan jua akhirnya. Kan senang kalau dari tadi punat hijau itu ditekan. Tak payahlah dia berpening kepala lama-lama! Telefon bimbit dilekap di telinganya, menanti panggilannya disambut.

Lama juga, barulah panggilannya bersambut. Harris cuba menenteramkan hatinya yang mula bergendang senada dengan bunyi perut.

“Hello..” suara lunak itu kasar menyambut panggilan Harris. Harris senyum. Wajah gadis itu terbayang di matanya.

“Kau buat apa?” soal Harris.

“Buat derk..” balas Azah pendek.

“Kerek! Kau dah makan?” soal Harris lagi.

“Dah,” jawapan Azah terus melenyapkan harapan Harris untuk mengajak gadis itu makan malam bersama.

“Bila? Kau tak ajak aku pun….” seakan merajuk, Harris bersuara perlahan.

“Tadi, lepas maghrib. Aku lapar sangat. So aku pergi kedai mamak dekat sini. Kalau kau jalan kaki, adalah 15 minit…Aku malas nak ajak kau. Aku ingat kau dah makan..” kata Azah di hujung talian. Harris terdiam sejenak. Dia mengeluh kecil, sambil mengerling kea rah televisyen yang masih terpasang di depannya.

“Hmmm….tak pelah. Ingatkan kau belum makan…” keluh Harris perlahan. Azah dihujung talian turut diam. Barangkali tidak berminat mahu meneruskan perbualan. Hendak tak hendak, Harris terpaksa akur akan situasi itu.

Takkan mahu dipaksanya budak itu mengikutnya? Takde maunya budak itu hendak menemannya makan! Bukankah hubungan mereka tidaklah begitu baik sangat! Kecualilah kalau dia adalah Din, pasti Azah dengan senang hati mahu menemani malamnya.

“Hmm..takpelah. Bye,” belum pun sempat Harris meletakkan telefonnya, Azah terlebih dulu mematikan talian. Harris merenung telefon bimbitnya. Cis! Cis! Kalau aku tahu nak jadi macam ni, aku tak call kau!!! Bedebah punya telefon!!!

Telefon bimbit dicampak ke kepala katil. Harris bangun juga, memasuki bilik pakaian untuk menukar pakaian. Perutnya harus diisi juga malam ini. Kalau perut kosong, dia tidak boleh tidur nanti.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-2-2012 10:42 PM | Show all posts
Gudang baru yang seluas 5000 kaki persegi itu memang besar. Lebih besar dari gudang mereka di Kuala Lumpur. Azah yang bercekak pinggang menggeleng melihat deretan kontena-kontena yang sedang dipunggah dari tingkap kaca pejabat.

Pekerja baru yang sepatutnya masuk bekerja hari ini sepatutnya sebanyak 20 orang, tetapi cuma 16 orang yang datang. 4 orang lagi, kata Harris menolak tawaran kerja di situ. Mujurlah pekerja-pekerja gudang yang terdiri daripada pekerja asing semuanya ada. Tidak ada masalah kehadiran.

Jadi, kerja penyusunan gudang dan pemunggahan kontena berjalan mengikut jadual. Kontena-kontena yang berderet itu harus dipunggah dan dikembalikan semula ke pelabuhan dalam masa dua minggu. Jika tidak, syarikat mereka yang akan menanggung kos penyimpanan kontena nanti.

Harris hilang entah kemana. Barangkali di gudang bahagian belakang memerhati racking dan memantau aktiviti pemunggahan kontena. Azah ditugaskan untuk menyelia bahagian pejabat. Memastikan semua peralatan pejabat tiba tepat pada masa dan disusun mengikut pelan.

Semua alatan pejabat, tiba mengikut jadual. Tidak ada masalah dipihak Azah. Kini dia cuma perlu memantau penyusunan mengikut pelan. Pekerja-pekerja yang terdiri daripada anak watan bumi Kuching itu amat mendengar kata.

Apa saja yang diarahkan oleh Azah, mereka buat. Bahkan, kadangkala mereka turut memberi idea. Meskipun, kadangkala, Azah sendiri kurang faham dengan bahasa yang mereka tuturkan. Perkataan yang sering kedengaran di telinganya adalah ‘kitak’, ‘auk’ dan ‘sik mauk’.

Ini…nak kena belajar bahasa Kuching ni….getus hati Azah. Azah menolak meja rapat ke dinding. Manakala pekerja-pekerja lain membuat tugas masing-masing.

Berat betul meja ni…Azah tolak juga sekuat hati. Malas hendak memanggil sesiapa untuk membantunya. Tiba-tiba meja yang ditolaknya bergerak lebih mudah. Pantas Azah menoleh ke tepi. Harris senyum manis.

Rupanya Harris yang datang dari belakang, terus membantunya menolak meja tersebut. Baju t-shirt kelabu yang dipakai Harris basah dengan peluh. Mereka berdua cuma mengenakan t-shirt dan jeans hari ini untuk bekerja.

“Thanks…” ujar Azah perlahan kepada Harris. Harris membalas  dengan senyuman saja.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2012 10:43 PM | Show all posts
“Komputer dah sampai?” soal Harris. Wajah Azah yang kepenatan dipandang. Pagi ini, mereka berdua menaiki teksi bersama-sama datang ke gudang yang baru dibuka itu.

“Dah. 10 biji. Tu,” Azah menunjuk ke hujung sudut. Harris memandang seimbas lalu, kemudian angguk.

“Okaylah tu. Semua dah ada. Esoklah kita set-up system. Aku pun tak bawak CD Software tu hari ni…” kata Harris sambil mengelap lehernya yang basah. Penghawa dingin yang dipasang tidak mampu mengeringkan peluhnya dengan cepat.

“Makanan sudah sampai!” laung Barbara, pekerja baru yang baru tiba di muka pintu pejabat. Gadis itu kacukan Cina dan Iban. Dia ditugaskan untuk keluar membeli makanan tengahari untuk semua pekerja  hari itu.

Bungkusan ditangannya segera diletakkan di atas meja tengah. Susun atur pejabat itu masih belum sempurna sepenuhnya.

“Mau letak di mana ni bang Harris?” soal Barbara. Loghat Ibannya masih berbau dalam pertuturannya.

“Dalam bilik meeting. Meja kat situ panjang sikit..” kata Harris. Barbara angguk, lalu mengangkat kembali bungkusan makanan untuk semua pekerja disitu. 2 orang pekerja lain turut membantunya.

Azah mengekori Barbara dan 2 pekerja lain ke bilik mesyuarat yang saiznya lebih besar. Melihat Azah ke sana, Harris turut ikut dari belakang.

“Untuk bangla-bangla tu, asingkan siap-siap…” kata Azah sebaik masuk ke bilik mesyuarat. Barbara angguk lalu membilang bekas makanan untuk dimasukkan ke dalam satu plastic besar. Palstik itu kemudiannya diserahkan kepada Alwi, pekerja lelaki di hadapannya.

“Kau pergi bagi kat orang warehouse,” arah Barbara. Alwi angguk. Setelah dia mengambil sebungkus makanan untuk dirinya, dia keluar menjinjing plastic makanan ke gudang belakang. Azah mengambil satu bungkusan makanan lalu diserahkan kepada Harris.

Harris mengambil, masih menanti Azah. Usai mengambil bungkusan makanan untuk dirinya, Azah menarik kerusi lalu duduk di meja panjang itu saja. Harris turut berbuat demikian.

Semua pekerja berhenti rehat untuk makan tengahari. Azah dan Harris terus membuka bekas makanan polisterin putih itu. Bau nasi ayam yang enak membuatkan perut mereka tidak sabar minta diisi.

Azah menyuap makanan ke mulut. Tanpa sengaja, dia memandang ke sebelahnya. Harris yang waktu itu secara spontan turut memandang ke arahnya. Mereka  saling berpandangan . Erk! Masing-masing terpempan dengan tangan yang masih di mulut.

Ulp! Pantas Azah memalingkan mukanya ke depan, memandang nasi ayam di depannya. Harris pula, tersenyum simpul dan terus menyudahkan suapannya. Sejak bila dia duduk makan sebelah aku? Getus hati Azah. Sangkanya Harris akan makan bersama pekerja lelaki lain di luar. Rupanya dia juga makan disini.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2012 10:44 PM | Show all posts
Sampai di hotel, senja sudah berlabuh di kaki langit. Azan Maghrib juga barangkali sudah lepas. Azah melihat Harris yang membayar tambang teksi. Tiap kali mereka menaiki teksi, pasti Harris yang akan membayar.

Pernah Azah mahu membayar, tapi Harris menegah. Kata Harris, biar dia sorang saja yang claim dari syarikat. Azah diam sahaja. Membiarkan Harris membuat keputusan kerana lelaki itu jauh lebih berpengalaman darinya dalam soal itu.

“Jom..” ujar Harris yang menghampiri Azah yang menunggunya. Mereka berjalan beriringan memasuki lobi hotel. Masing-masing mendiamkan diri. Penat agaknya bekerja dari jam 8 pagi tadi hingga petang.

“Kau penat tak malam ni?” soal Harris sebaik kaki mereka sudah melangkah memasuki lobi hotel. Wajah Harris memandang tepat ke depannya. Langsung tidak memandang wajah Azah sewaktu dia bertanya soalan itu. Azah diam sejenak.

“Penat jugak. Kenapa?” soal Azah. Harris senyum. Mereka berdua menghampiri lif.

“Kalau kau tak penat, aku nak ajak kau pergi dinner…” perlahan saja suara Harris sambil menekan punat lif. Mereka sama-sama memasuki lif bila pintu lif terbuka. Azah yang terpana dengan ajakan Harris, memandang Harris yang tunduk merenung karpet lif.

Sesekali Harris dilihatnya resah merenung nombor-nombor yang terdapat di dalam lif. Mamat beku ni ajak aku Dinner? Azah menggoncang cuping telinganya. Bimbang kalau-kalau telinganya masuk air. Maka, dia sudah tersalah dengar ayat Harris.

“Nak tak?” kali ini Harris memandangnya. Matanya tepat merenung wajah Azah. Seakan terpana melihat renungan Harris, bibir Azah terus kelu. Terus hilang butir bicaranya.

Ting! Lif sudah terbuka. Pintu bilik mereka sudah berada di depan.

“Kenapa kau melopong?” soal Harris. Mereka sudah keluar dari lif dan terus berjalan menuju ke bilik masing-masing.

“Kau nak pau duit aku ke?” soal Azah curiga. Giliran Harris pula yang melopong memandang Azah. Sengal betul budak ni!

“Aku ajak, akulah bayar. Nak ke tak nak?” hilang sudah perasaan malu dan segan Harris pada Azah. Suaranya sudah tidak selembut tadi. Azah menarik nafas dalam-dalam.

“Naklah!” memandangkan dia juga tidak mahu makan seorang diri di Bandar Kuching itu seperti malam tadi, terus sahaja Azah bersetuju. Harris lega.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2012 10:44 PM | Show all posts
Masuk kali ni, dah 10 kali dia bertukar baju. Puas Azah mencari baju yang sesuai untuk keluar makan malam bersama Harris. Tadi, dia mendapat SMS dari Harris, yang menyuruhnya menunggu di depan pintu bilik jam 8.30 malam.

Azah menggaru-garu kepalanya. Baju apa dia nak pakai ni? Baju kurung ? Ada yang nampak macam nak pergi  kenduri kahwin nanti. Blaus? Adoi..macam terlebih sudah…T-shirt? Takut terlalu sederhana! Aku pun satu, tak tanya Harris tadi , nak makan di mana.

Seluar Jeans berwarna hitam disarung. Dengan tuala di badan dan jeans yang sudah tersarung, Azah menggayakan satu persatu baju di depan cermin. Tak banyak baju yang dibawa olehnya ke Kuching.

Tok! Tok! Ketukan dipintu biliknya membuatkan darah Azah berderau. Pasti itu Harris! Jam sudah menunjukkan 8.30 malam dan dia masih belum memakai baju! Cepat-cepat Azah keluar dari bilik pakaian untuk menghampiri pintu. Lubang kaca kecil diintai. Benar, Harris sedang berdiri diluar pintu dengan jeans dan t-shirt.

Cepat-cepat Azah berlari ke bilik pakaian lalu menyarung t-shirt berwarna merah. Dia merenung seimbas lalu ke cermin. Mekap nipis sudah dioleskan olehnya sejak selepas sembahyang Maghrib tadi. Terus dia mengikat rambutnya tingi-tinggi. Minyak wangi Escada Sentiment disembur ke leher dan dadanya.

Tas tangan kecil dicapai lalu Azah terus keluar. Harris yang menanti di luar bilik memandangnya tidak berkedip mata. Azah pura-pura tidak nampak sambil membelek isi tas tangannya. Bimbang ada barang penting yang tertinggal. Contohnya, telefon bimbit.

“Pergi mana?” soal Azah bila melihat Harris diam sahaja memandangnya. Harris mengukir senyum penuh makna lalu mengatur langkah mendahului Azah  menuju kea rah lif. Azah menonong mengekori langkah Harris.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2012 10:45 PM | Show all posts
Agak kekok bila makan berdua di tempat sebegini. Restoran yang besar itu, tidak begitu ramai pengunjung malam itu. Suasana ruang yang samar-samar dengan cendeliar jingga, mencetuskan satu suasana romantic. Deretan gubahan bunga mawar merah di merata tempat membangkitkan satu suasana yang indah untuk dihayati.  Hanya sesuai untuk orang yang tengah hangat dilamun cinta.

Begitu perasaan Azah saat ini. Matanya meliar merenung segenap ruang restoran itu. Di sangkanya Harris akan membawanya makan di restoran mamak malam tadi atau kedai makan yang terdapat di sekitar Bandar Kuching itu. Namun sangkaannya meleset bila mereka hanya makan malam di restoran yang terdapat di hotel itu.

Tak payah berjalan kaki jauh-jauh! Tapi, banyak betul duit si Harris ni belanja aku makan kat tempat macam ni. Sesekali, Azah mengerling kea rah Harris yang berwajah tenang menikmati makanannya. Malam itu, mereka makan ala buffet. Apa lagi, macam-macam juadah yang Azah bedal.

Tapi, bila sudah lama-lama berdua dengan Harris, wujud satu perasaan aneh di lubuk hatinya melihat layanan Harris yang teramat baik kepadanya. Siap tolong mengambilkan minuman untuknya lagi! Air sirap buah di depannya dipandang curiga.

Atau…mungkin juga Harris telah meletakkan racun tikus ke dalam minuman itu? Bila dia minum saja, terus mati di situ. Jadi, Harris tidak perlu berperang mulut dengannya lagi….Ahh….

Atau….mungkin Harris telah memasukkan ubat tidur ke dalam minuman ni? Kemudian, bila aku minum, terus aku pengsan. Lepas tu, Harris pun angkat aku masuk bilik….Isyyyy!!! Cepat-cepat Azah menggelengkan kepalanya. Enggan membayangkan adegan seterusnya.

“Sakit kepala ke?” soal Harris perlahan. Azah memandang Harris di depannya. Ini satu lagi keajaiban yang berlaku sejak dua tiga menjak ni. Harris selalu bertutur dengan suara yang lembut kepadanya. Tidak seperti selalu, di depan kawan-kawan sepejabat mereka di Kuala Lumpur.

“Ah? Tak!” pantas Azah menggeleng lagi. Kaget. Garpu yang masih ditangannya terus dimasukkan ke mulut. Hmm…enak sungguh udang bersos lemon ni! Harris senyum, kemudian meneruskan makannya. Makin curiga hati Azah.

Atau…dia suka kat aku? Adeiii….tolonglah Azah! Mati hidup balik pun, belum tentu lelaki ni nak pandang orang macam aku! Aku pun, takkanlah nak bercinta dengan lelaki yang takde hati dan perasaan macam dia ni….Mustahil…mustahil…

Tak payah fikir banyaklah Azah….mungkin dengan siapa-siapa saja pun, dia akan buat macam ni! Agaknyalah…..fikir Azah di dalam hati. Azah mengunyah sotong kuat-kuat. Dia memandang Harris lagi. Lelaki itu masih diam. Langsung tidak bercakap sepatah pun.

Azah garu kepala yang tidak gatal. Bosan sungguh dengan lelaki ni…
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2012 10:45 PM | Show all posts
“Dah set up semua computer?” soal Azah di sebelah Harris yang sama-sama memandang Harris membuat kerja di satu computer. Harris angguk. Tangannya ligat menekan itu ini di skrin computer melalui tetikus.

“Lepas ni kau ajar semua budak-budak ni macammana na guna system ni. Okay.” Tutur Harris perlahan. Azah angguk. Harris bangun dari tempat duduknya , lalu menyuruh Azah duduk. Azah duduk dan meneliti system yang sudah dipasang.

Tugasnya untuk mengajar semua pekerja disitu bermula sekarang. Seorang pekerja Bangladesh masuk ke dalam pejabat. Harris dan Azah sama-sama memandang ke arahnya.

“Bang, itu forklift…ada rosak satu…macam mana?” soal pekerja Bangladesh itu kepada Harris. Harris merenung lelaki itu. Nafasnya ditarik dalam-dalam.

“Jom. Aku nak tengok rosak apa dulu…” Harris meninggalkan Azah lalu keluar dari pejabat itu bersama lelaki Bangladesh tersebut. Azah hanya memandang. Terbit pula rasa kasihan Azah terhadap Harris. Semua kerja di situ dirujuk kepada Harris.

Sepanjang hari bekerja, lelaki itu memang tidak duduk diam. Azah menongkat dagunya sambil merenung skrin computer. Dia kemudian memanggil beberapa pekerja di situ untuk memulakan sessi pengajaran system inventori syarikat itu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2012 10:46 PM | Show all posts
“Kau nak ikut aku?” soal Harris yang datang tiba-tiba di depannya.  Azah mendongak, memandang Harris di depannya  dengan pandangan aneh.  Harris tersenyum manis membalas pandangan Azah.

“Pergi mana?” soal Azah hairan. Dia menoleh ke belakangnya, memerhati ruang pejabat yang sudah kosong. Sudah tengahari rupanya. Barangkali pekerja-pekerja tadi sudah  keluar makan tengahari. Azah memandang Harris kembali.

“Pergi cari nasilah…Tak nak makan ke?” soal Harris yang masih berdiri di depannya. Tangannya diseluk ke dalam seluar jeansnya. Azah yang masih terkebil-kebil berfikir sejenak. Tengahari itu, Barbara tidak lagi keluar membeli makanan untuk semua orang. Jadi, kalau hendak makan, kenalah keluar cari sendiri.

“Bolehlah…” Azah bangun jua. Lenguh pinggangnya bila duduk terlalu lama di depan computer.  Asyik sangat membuat kerja hingga tak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya. Tahu-tahu, hari sudah tinggi. Dia dan Harris berjalan beriringan keluar dari pejabat.

“Nak pergi mana? Kau tahu ke tempat kat sini?” soal Azah. Tak larat dia nak berjalan lama-lama. Takkan nak menyewa teksi lagi semata-mata mahu keluar makan tengahari. Harris senyum simpul memandangnya, tidak menjawab.

Azah melihat Harris melangkah menuju ke tepi pagar gudang itu yang menempatkan tempat parkir kenderaan. Ada beberapa deretan motorsikal di tepi pagar itu. Langkah Azah mati sejenak. Dia menyeluk kocek belakang seluar jeansnya dengan kedua-dua belah tangan.

“Aku tak nak pergi jauh-jauh. Tak larat nak jalan…” Azah mengeliat sekali dua. Buat menghilangkan kebas di badan. Harris yang sudah sampai ke sebuah motorsikal, terus mengambil helmet yang terdapat di atas motorsikal itu.

Azah yang melihat ternganga, penuh curiga. Dengan selamba Harris mengenakan topi keledar di kepalanya. Sebuah lagi helmet di hulurkan kepada Azah yang baru hampir kepadanya.

“Naik motor?” soal Azah kurang percaya. Harris angguk dan tersenyum. Kunci motorsikal dikeluarkan dari kocek seluar lalu Harris naik ke atas motor. Enjin motor terus dihidupkan. Minyak dipulas kuat hingga berasap ekzos motor itu.

“Pakailah helmet. Unless kalau kau banyak duit nak bayar saman…”kata Harris memberi peringatan sambil memandang Azah yang masih terkebil-kebil.

“Motor siapa pulak ni…main rembat saja…” Azah meneliti motorsikal  Modenas yang berwarna merah hati itu. Bukan main bergaya Harris dengan motor pinjamnya! Kalah model iklan motorsikal yang ada dalam televisyen.

“Motor Alwi. Aku pinjam sekejap. Pakailah helmet cepat. Aku dah lapar ni. Kau nak ikut ke tak?” soal Harris lagi. Matahari terik tengahari itu membuatkan dia kurang selesa berada di situ.

Azah tercengang. Dia memandang Harris lagi. Naik motor dengan mamat beku ni???? Sudah hilang akal ke aku???
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2012 10:46 PM | Show all posts
Harris mengulum senyumannya  yang sedaya upaya mahu disembunyikannya. Bukan main melenting lagi budak ni tadi, kononnya rela tak makan dari naik motor dengan aku. Alih-alih kena ugut sikit, dia ikut jugak! Hahahahaha…..

“Haa…duduklah dalam ofis tu sorang-sorang. Karang, kena ‘kenduri’ dengan bangla-bangla tu baru tahu! Semua budak opis awal-awal dah bagitahu aku, diorang pukul 2 nanti baru balik….” ugut Harris apabila Azah membentak tidak mahu ikut.

Pucat jugalah muka budak tu bila dia mengugut sedemikian. Iyalah, tempat baru, orang pun kita belum kenal habis lagi. Bimbang juga kalau tertinggal seorang perempuan dalam pejabat tu sedangkan di gudang belakang penuh dengan pekerja-pekerja lelaki asing.

“Bila budak ofis keluar? Kenapa tak ajak kita sekali?” soal Azah yang sedang menyedut sirap limaunya, sekaligus  mematikan lamunan Harris. Harris yang sedang makan memandang Azah di depannya. Puas meronda di sekitar kawasan perindustrian Demak itu, akhirnya restoran yang terletak di pinggir sungai ini menjadi pilihan Harris.

“Pukul 11 tadi. Si Alwi tu cakap diorang nak open table kat satu restoran tu. Diorang ajak. Tapi, aku malas nak ikut…” balas Harris.

“Aku tak tau pun…” tambah Azah yang tidak berpuas hati. Adakah patut dia ditinggalkan seorang diri di dalam pejabat itu.

“Diorang segan nak ajak kau kot….” kata Harris lagi. Padahal, dari awal lagi, Harris sudah menjaja cerita palsu dengan memberitahu pekerja-pekerjanya bahawa tengahari itu dia dan Azah sudah berjanji untuk makan tengahari berdua saja.

Kalaulah Azah tahu, dia menipu tentang hal itu…mau lehernya putus dipulas oleh Azah. Eeiiii….doa sajalah pada Tuhan agar tidak ada yang terlepas cakap! Harris senyum sendirian. Sejak akhir-akhir ini, dia semakin pandai memanipulasi cerita. Termasuk, menipu!

“Segan apanya…bukan aku makan orang,” getus Azah lagi. Ikan sembilang bercili di pinggannya sudah tinggal tulang. Harris pula, makanannya masih banyak. Sengaja dia makan perlahan-lahan, demi melambatkan masa.

Kalau balik ke pejabat awal pun, tidak ada guna juga. Semua pekerja pejabat hari ini keluar makan lama sedikit berbanding biasa.

Azah mematahkan tulang ikan sembilang pedas itu. Tulang tersebut digigitnya dengan penuh selera. Harris yang berada di depannya memandang tak berkedip.

“Kebulur! Tulang pun gigit ….” komen Harris perlahan. Pantas Azah menjatuhkan tulang ikan tersebut ke pinggan. Dia memandang Harris tajam.

“Ada aku kesah?” soal Azah geram. Harris tersenyum lucu. Wajah Azah dipandang lagi. Ada sambal yang melekat di tepi bibir Azah, membuatkan Harris berasa hendak ketawa besar.

“Hahahha…” pantas saja tangan Harris mengusap tepi bibir Azah yang comot dengan sambal. Tindakan spontan Harris itu membuatkan Azah segera menarik mukanya dari tangan Harris. Melampau budak Harris ni! Cakap sajalah! Tak payah touching-touching!

“Ni ha!” bentak Harris sambil menunjukkan sambal di jarinya yang disapu dari tepi bibir Azah. Azah terkedu memandang sisa sambal itu.

“Makan macam budak tadika!” tambah Harris lagi sekaligus membuatkan Azah menarik muncung panjang. Pantas  tisu di ambil dan dikesat kasar ke pipinya. Matanya tajam memandang Harris yang masih tersenyum-senyum.

Sungguh!  Aku tak nak makan dengan mamat ni lagi! Getus Azah.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-2-2012 10:47 PM | Show all posts
“Motor ni tak boleh bergeraklah…” Harris pura-pura menampakkan motorsikal tersebut tidak bergerak. Sengaja hendak mengusik gadis tu lagi.

“Kau jangan nak buat pasal….” marah Azah yang berada di belakang Harris. Di atas motor!

“Betul…Ni mesti sebab kau makan banyak sangat tadi ni. Sekarang dia tak larat nak bergerak…” giat Harris lagi. Padahal enjin motor sudah dihidupkannya. Azah terus turun dari motorsikal. Harris memandangnya terpinga-pinga.

“Turun!” perintah Azah. Harris dan Azah saling berpandangan.

“Apasal?” soal Harris hairan.

“Turunlah sekejap…” rayu Azah. Tapi nada suaranya masih kasar. Harris pun turun dari motor, kemudian menyerahkan motorsikal kepada Azah. Azah dengan cepat naik ke motorsikal. Di kerlingnya Harris yang berada di tepinya.

Main-main dengan aku sangat ya….Ingat aku tak pandai bawak motor ke? Kalau setakat motor kapcai macam ni, bapak aku pun ada sebijik kat bawah rumah dia tu….Azah tak putus-putus membebel dalam hati. Matahari masih tegak meninggi.

Minyak dipulasnya kuat-kuat. Harris ketawa. Nampaknya Azah sudah dapat membaca niatnya yang mahu mempermainkan Azah.

“Turunlah. Biar aku bawak…” arah Harris. Dia sudah tidak mahu bermain lagi. Azah memandangnya dengan senyuman sinis. Dalam masa yang sama, Azah sudah memasukkan gear, minyak terus dipulas. Dengan lajunya, motorsikal Modenas berwarna merah hati itu meluncur laju meninggalkan Harris yang terpinga-pinga di tepi restoran. Lajunya hingga memustahilkan Harris untuk mengejar.

“Heiiii!!!” Harris yang masih terperanjat, masih memandang Azah yang sudah menjauhinya dengan motorsikal Alwi. Aku kena tinggal? Aku…kena ….tinggal….????

Terus hilang patah bicara Harris. Bibirnya terus beku. Yang hanya dia mampu lakukan saat itu hanyalah, merenung jalan yang bertali arus dengan kenderaan sambil bercekak pinggang.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2012 10:48 PM | Show all posts
Sebaik turun dari teksi dengan helmet yang masih di kepala,  Harris melangkah laju masuk ke perkarangan pejabat. Sewaktu melintasi pagar, sempat Harris menoleh te tempat parkir. Motorsikal Modenas merah hati sudah selamat berada di situ.

Menandakan pemandunya juga sudah selamat sampai di pejabat. Jaga kau! Terus pintu pejabat dirempuh kasar.

Mendengar rempuhan bak seladang itu, semua mata di dalam pejabat itu memandang kea rah Harris. Kecuali satu pasang mata. Milik Azah! Gadis itu pandai sungguh berlakon! Macam tak bersalah je….

Kaki Harris terus menghampiri Azah. Azah nampaknya masih tekun memandang computer. Meja Azah terus diketuk perlahan sebaik dia tiba di depan Azah.

“Ikut aku kejap…” kata Harris dalam nada yang tegas. Matanya merenung Azah tajam. Azah mendongak.

“Kalau aku tak nak?” soal Azah kembali, jua dalam nada perlahan. Enggan membiarkan pekerja lain mendengar perbualan mereka.

“Aku cium kau kat sini…” gertak Harris. Bulat mata Azah mendengar ugutan Harris. Pantas Azah bangun dan mengekori Harris yang berjalan laju keluar dari pejabat menuju ke gudang belakang.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2012 10:49 PM | Show all posts
mata aku dah mengantuk!
cukuplah utk malam ni....
Reply

Use magic Report

Post time 7-2-2012 11:29 PM | Show all posts
tq fizzi...berderet n3 fizzi bagi...huhu...
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-5-2024 07:07 AM GMT+8 , Processed in 0.068896 second(s), 43 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list