|
Cahaya Malaika Penyeri Hidup Mawi-Ekin
Foto ihsan Mawi
KUALA LUMPUR, 2 MAC 2012: Keceriaan terus menghiasi wajah juara Akademi Fantasi 3 (AF3), Mawi ketika mendakap anak sulungnya yang baru dilahirkan 28 Februari yang lalu. Menerusi foto yang dihantar kepada pihak media, jelas terlihat kegembiraan pada wajah Mawi.
Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, 31 bersama isterinya Nora'Asikin Rahmat, atau Ekin telah sama-sama bersetuju menamakan anak mereka Cahaya Malaika yang bermaksud Cahaya Permaisuri. Mawi turut berharap kehadiran si kecil itu menambah kebahagiaan dan melengkapkan kehidupan mereka sekeluarga selain bersyukur ke hadrat Illahi di atas kurniaanNya ini.
Sementara itu, melalui petikan akhbar Harian Metro hari ini, ibu kepada Mawi, Ramlah Sarlan, 67, semalam memberitahu akhbar berkenaan yang dia sememangnya teruja dan sebak sebaik menerima berita yang Ekin selamat melahirkan puteri sulung pasangan berkenaan yang juga cucu kesembilan buat Ramlah.
"Kami sekeluarga selain penduduk di tanah rancangan ini tidak sabar menanti kepulangan mereka bertiga selepas Ekin habis berpantang sekali gus menganjurkan kenduri kesyukuran dan majlis potong jambul di sini," kata Ramlah.
Menurut Ramlah lagi, kehadiran cucunya yang diberi nama Cahaya Malaika dapat mengeratkan lagi hubungan anak dan menantunya itu selepas mereka menunggu hampir empat tahun untuk mendapat cahaya mata pertama.
Ekin sebelum ini pernah gugur ketika hamil kali pertama hingga membimbangkan keluarganya.
"Alhamdulillah, Mawi sentiasa memaklumkan kepada kami perkembangan Ekin termasuk ketika berada di Wad Bersalin Hospital Pakar An-Nur Hasanah, Bangi, setiap 10 minit dan kami lega apabila dia menghantar SMS kepada kakak sulungnya, Rashidah, 41, jam 4 pagi Selasa.
"Mawi menyatakan Ekin selamat melahirkan anak perempuan seberat 2.8 kilogram secara normal dan bayi itu dalam keadaan sihat," katanya.
Ramlah mempunyai tujuh cucu perempuan dan seorang cucu lelaki iaitu semuanya anak Rashidah. |
|