|
Sokongan peminat dorong finalis ABPBH2011 tingkat hasil kerja\rDIPILIH peminat untuk menduduki satu daripada lima kedudukan teratas barisan nama paling popular dalam industri seni dan hiburan tanah air tentu saja penghargaan cukup besar buat seseorang artis. Apatah lagi bukan calang-calang calon yang disenaraikan pada pusingan awal apabila Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 dilancarkan penghujung tahun dulu.\r\n\n\n\n\rSempena ulang tahun ke-25 anugerah berprestij itu, penganjur menyaring nama yang dicalonkan sejak awal-awal lagi, bagi memastikan senarai penyanyi, pelakon, personaliti TV dan radio terdiri daripada mereka yang benar-benar dikenali, serta mempunyai impak dalam dunia hiburan.\r\r\n\n\n\n\nLalu, tidak hairanlah apabila Yana Samsudin, Hazama dan Beto Kusyairi berasakan diri mereka bagai terlalu kerdil dalam senarai akhir kali ini, jika dibandingkan beberapa nama yang sudah sekian lama menjadi pilihan dan sebutan peminat dalam anugerah berkenaan. Jika Yana berjaya memboloskan diri dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Hazama dan Beto pula melekat dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular.\rSehingga kini, Yana mengaku dirinya masih di awangan apabila melihat namanya turut tersenarai sebagai calon Top 5. Ketika yang sama pelakon filem Aku Masih Dara ini enggan meletak harapan terlalu tinggi, mengenangkan calon akhir lain bukan sebarangan nama.\r“Saya sememangnya sangat kerdil jika dibandingkan dengan calon lain. Empat lagi finalis kategori ini boleh dianggap orang yang sudah lama dalam industri, dan mereka juga sudah banyak kali tersenarai dalam ABPBH. Jadi, siapalah saya untuk bersaing dengan mereka?\r“Namun, dengan hati cukup terbuka saya menerima pencalonan ini kerana ia adalah pilihan peminat, yang melihat hasil kerja saya. Walaupun saya kurang menonjol berbanding artis lain, tetapi saya amat menghargai titik peluh peminat yang sudi mengundi untuk saya,” katanya yang bersaing bersama Eja, Diana Danielle, Lisa Surihani dan Maya Karin pada edisi jubli perak ABPBH tahun ini.\r\n\n\n\rMenurut pelakon yang bakal muncul bersama filem Adnan Sempit 2 tidak lama lagi ini, populariti filem Kongsi dan Bini-Biniku Gangster tahun lalu tentu sekali faktor utama yang membolehkan namanya sama-sama melekat sebagai finalis dalam kategori lakonan filem.\rBagi Hazama pula, perasaannya bercampur-baur sebaik saja mengetahui dirinya turut disenaraikan peminat hingga ke peringkat akhir pada anugerah yang bakal mencapai kemuncaknya 8 April nanti.\rGembira, berdebar dan betul-betul tidak sangka, semuanya dirasa pemuda ini tatkala mengetahui dirinya turut dicalonkan sebagai finalis. Juga melihat dirinya begitu kecil jika dibandingkan calon lain, juara Akademi Fantasia musim ke-9 ini bagaimanapun berasakan siri jelajah ABPBH yang pernah disertai banyak membantunya mengumpul peminat.\r“Sebelum ini, saya pernah mengikuti siri jelajah ABPBH, menumpang kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH). Kemunculan saya di beberapa lokasi sedikit sebanyak memperkenalkan nama saya kepada orang ramai. Dari situ saya mungkin mengumpul sedikit demi sedikit peminat.\r“Siapa sangka, kini nama saya juga turut disenaraikan sama dalam anugerah berkenaan?” katanya.\rSelain Beto, mencabar dirinya dalam kategori artis baru ialah Awi Rafael, Aeril Zafrel dan Johan Ariff As’ari. Selain kategori berkenaan, Hazama dan MUH juga dicalonkan dalam kategori akhir Artis Duo/Berkumpulan Popular.\rKata Hazama lagi, timbul juga rasa segan apabila namanya diletakkan sebaris dengan nama besar dalam anugerah berkenaan. \r“Saya enggan menaruh harapan tinggi, sebaliknya teruja untuk sama-sama berasa bahang anugerah. Paling penting, saya akan memberikan sokongan kepada ABPBH dan akan sama-sama memeriahkannya. Ia juga majlis cukup bermakna kerana menjadi lokasi perhimpunan semua golongan artis dan personaliti. Inilah acara yang membolehkan kita berkenalan dan mengeratkan silaturahim bersama rakan seperjuangan dari pelbagai cabang seni,” katanya.\rSementara itu, bintang Juvana yang kian bersinar, Beto, menganggap pencalonannya sebagai pembakar semangat untuk dia meningkatkan lagi mutu lakonan.\r“Saya memang tidak menyangka akan turut mempunyai peminat. Tujuan utama saya berada dalam industri adalah untuk mencari makan, serta mengetengahkan bakat yang ada.\r“Saya tidak ada cerita lain yang menyokong kerjaya saya selain berlakon dan terus berlakon. Apabila saya dicalonkan dalam senarai Top 5 ABPBH, sudah tentu saya tidak percaya. Begitupun, sokongan peminat amat saya hargai. Ia membuatkan saya ingin bekerja lebih gigih lagi bagi membalas sokongan mereka,\" katanya yang pernah muncul dalam filem Syaitan, Kami The Movie, Nur Kasih The Movie dan Sini Ada Hantu.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|
|
|
|
|
|
| |
|