View: 4970|Reply: 1
|
Kaji selidik karektor & keterampilan seorang lelaki
[Copy link]
|
|
SEBAGAI lelaki, pernahkah anda terfikir soal keupayaan diri, potensi, kecenderungan atau kelebihan yang dimiliki? Bagaimana pula anda melihat soal gaya atau penampilan diri? Pernahkah anda merenung apa agaknya persepsi orang terutama wanita terhadap diri anda?Persoalan ini membuka andaian apakah rupa paras dan penampilan menjadi faktor X dalam memikat gadis? Atau mungkinkah ada elemen lain yang berkait rapat dengan daya intelek, kebolehan berjenaka atau sifat selamba lelaki yang menjadi daya penarik si pemilik kromosom XX?
Lelaki sering kali bingung atau mungkin bagi segelintir pihak, memilih untuk tidak mahu memahami apa sebenarnya yang diinginkan wanita. Mungkin soal ego lelaki yang tinggi menyebabkan kaum Adam tidak ambil peduli kriteria ditetapkan wanita. Bagi segelintir lelaki, sifat dominan dan menguasai perlu dipertahankan kerana secara fitrah lelaki lebih berkuasa daripada wanita.
Pada zaman moden ini, masih ada lelaki terikat dengan kepercayaan kuno atau konvensional dalam menentukan corak pemikiran dan gaya hidup. Ada juga lelaki bersifat lebih terbuka dan fleksibel hingga melakukan apa yang mungkin tidak dibuat lelaki era terdahulu. Tidak hairanlah istilah lelaki metroseksual yang lebih mementingkan rupa paras dan penampilan tercipta bagi menggambarkan kelompok lelaki sebegitu sejak beberapa tahun lalu.
Organisasi penyelidikan antarabangsa, Synovate baru-baru ini mengumumkan hasil kajian sejagat mengenai lelaki dan bagaimana pemilik kromosom XY ini melihat soal kepentingan dalam penampilan diri. Pandangan bukan saja diperoleh dari lelaki, malah wanita juga memberi reaksi terhadap pelbagai situasi dunia lelaki.
Kajian ini membabitkan 10,000 responden dari 12 negara di seluruh dunia. Selain Malaysia, negara yang terpilih dalam kajian persepsi lelaki itu ialah Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Sepanyol, Afrika Selatan, Russia, Greece, Perancis, China, Kanada, Brazil dan Australia.
Di Malaysia, seramai 1,000 responden lelaki dan wanita dipilih secara rambang untuk ditemuramah. Soal selidik itu mengambil kira sifat sebenar lelaki termasuk cita rasa mereka dalam memilih produk berasaskan kecantikan dan keinginan tampil lebih menarik.
Jangan terperanjat, ada hasil kaji selidik menunjukkan lelaki Malaysia mempunyai selera tinggi menyamai lelaki di AS, Greece dan Perancis. Ini merangkumi soal pemilihan gaya, produk kecantikan serta disiplin diri.
Kajian membabitkan responden dari Malaysia yang dikendalikan Synovate Sdn Bhd antara lain menyelami hubungan kepentingan paras rupa serta penampilan diri seorang lelaki. Biarpun rejim penjagaan diri dan kecantikan baru disuntik dalam pasaran produk lelaki di Malaysia, sambutan kaum lelaki terhadap pelbagai produk seumpama itu cukup positif. Ini adalah antara hasil kajian yang dikendalikan syarikat itu.
Antara ruang lingkup kajian lelaki di Malaysia termasuk inisiatif lelaki tempatan menjaga keperibadian serta kecenderungan bergaya.
Biar apapun, nilai timur masyarakat Asia masih menebal dalam diri lelaki Malaysia. Ini dapat dilihat apabila soal cita rasa, seksi dan wajah komersial atau tampan diajukan. Jelas dilihat rasa rendah diri menjadi punca ramai lelaki tempatan menganggap jejaka Barat jauh lebih tampan.
Dalam siri pertamanya, XY – Ikon Lelaki minggu ini berkongsi keputusan kaji selidik karektor jejaka di Malaysia.
Bersedia melihat keputusannya?
Apakah soal penampilan diri itu penting bagi anda?
Keputusan menunjukkan 43 peratus lelaki Malaysia mengakui penampilan menarik amat penting. Ini jauh berbeza dengan kadar peratusan yang dicatatkan di beberapa negara maju seperti Australia, AS dan Kanada yang rata-rata mencapai kadar purata 15 peratus.
Faktor daya penarik
Suku daripada lelaki di seluruh dunia menganggap lelaki terampil adalah mereka yang sihat, tidak berbau mulut dan yakin diri.
Lelaki Perancis mengkelaskan jejaka terampil adalah individu yang mempunyai tubuh badan tegap, berotot dan senyuman menarik.
Lelaki AS dan Kanada berpendapat lelaki yang yakin dalam hala tuju hidup sebagai individu terampil.
Lelaki bagaimana menarik mata wanita di Malaysia?
23 peratus wanita berpendapat lelaki kelihatan lebih menarik andai mereka yakin dengan kemampuan diri.
26 peratus wanita teruja melihat lelaki yang mempunyai nafas segar dan sihat tubuh badan.
16 belas peratus wanita tertarik jika lelaki bijak mencorak penampilan diri.
Wanita Malaysia tidak menggariskan senyuman menarik sebagai ciri utama memilih lelaki idaman.
Lelaki berkulit bersih tidak semestinya dapat memikat wanita.
Anda merasakan diri anda seksi?
78 peratus jejaka Malaysia mengakui mereka tidak seksi. Pandangan ini turut dikongsi lelaki China dan Perancis (masing-masing 66 peratus).
Secara keseluruhan, kurang daripada separuh (49 peratus responden) menyatakan diri mereka seksi.
Lelaki Greece begitu yakin mengakui mereka seksi dengan kadar peratusan tertinggi 81 peratus, diikuti Russia (80 peratus) dan Afrika Selatan (78 peratus).
Lelaki paling terampil di dunia
1. Itali (11 peratus)
2. Russia (lapan peratus)
3. Amerika Syarikat (lapan peratus)
4. Brazil (lapan peratus)
5. China (tujuh peratus)
Lelaki dan keyakinan diri
65 peratus rakyat Russia serta 55 peratus warga AS berpendapat lelaki yang memiliki penampilan menarik berada di negara mereka sendiri.
Wanita Brazil berpendapat 57 peratus lelaki menarik ada di negara mereka.
Rakyat Greece begitu mengagumi lelaki Itali yang dirasakan memiliki penampilan menarik.
Peratusan tinggi membabitkan responden dari China yang mengatakan lelaki dari United Kingdom paling menarik.
Cita rasa jejaka pilihan wanita tempatan
39 peratus daripada 506 responden wanita tempatan menganggap lelaki Malaysia adalah calon teman hidup terbaik.
Lima peratus responden wanita memilih jejaka dari Amerika Syarikat, India dan Korea Selatan sebagai teman hidup.
Info
Satu daripada tiga wanita mengakui soal penampilan pasangan amat penting kepada mereka.
Tujuh daripada 10 lelaki menyatakan penampilan menarik bermula dalam diri sendiri.
Sebanyak 67 peratus rakyat Malaysia berpendapat penampilan lelaki semakin menarik mengikut perkembangan usia.
Lelaki berani berubah
MAKLUM balas diterima sepanjang kaji selidik dua minggu yang dikendalikan Synovate Sdn Bhd nampaknya memberi hasil positif berhubung perubahan personaliti dan gaya hidup jejaka di Malaysia.
Hasil kaji selidik itu menggambarkan persepsi keseluruhan lelaki di Malaysia kerana kajian tidak hanya tertumpu di Lembah Kelang sebaliknya bandar utama di seluruh negara.
Mengulas keputusan kaji selidik itu, Pengarah Urusan Synovate Sdn Bhd, Steve Murphy berkata, soal selidik persepsi lelaki yang dikendalikan bukan saja berkisar soal karektor lelaki sebaliknya kesedaran kaum Adam menjaga keterampilan dan penjagaan diri.
“Dalam kaji selidik itu, kita mengemukakan pelbagai bentuk soalan. Antaranya soal cita rasa, daya penarik dan penggunaan produk penjagaan diri.
“Biarpun kajian seumpama ini masih dianggap baru di Malaysia, analisa yang dibuat agak memberangsangkan. Ia menunjukkan lelaki Malaysia juga mempunyai cita rasa baik,” katanya mengulas kajian yang dikendalikan Oktober lalu itu.
Murphy berkata, lelaki Malaysia menyedari pentingnya soal penampilan terutama jika berada di khalayak. Meskipun banyak pendapat berbeza, namun rata-rata lelaki Malaysia mementingkan soal dandanan untuk kelihatan lebih menarik.
Namun, apabila menyentuh mengenai soal seksi, lelaki Malaysia agak malu untuk mengakui diri mereka seksi.
“Tidak seperti lelaki Greece, mereka secara terbuka mengakui mereka lelaki. Responden dari negara itu mencatatkan undian tertinggi dengan 81 peratus lelaki negara itu mengakui jejaka Greece sebenarnya seksi. Ini menunjukkan keyakinan mereka cukup tinggi dan mereka berbangga dengan faktor itu.
“Sedangkan di Malaysia, hanya 23 peratus lelaki tempatan mengakui diri mereka seksi,” katanya.
Ditanya rasional kajian yang dikendalikan organisasi itu, Murphy berkata, kajian itu menunjukkan persepsi sebenar lelaki berhubung soal sejauh mana pembawaan diri penting dalam kehidupan selain persepsi wanita itu sendiri.
Pada masa sama, beliau berkata, kaji selidik itu meninjau sejauh mana produk kecantikan lelaki mendapat maklum balas positif pengguna di Malaysia mahupun seluruh dunia.
|
|
|
|
|
|
|
|
apa yang ko nk tanya sebenarnye ni?
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Wanita & Lelaki
|