Port Moresby: Seorang ahli akademik AS menjadi mangsa rogol berkumpulan di Papua New Guinea, kira-kira seminggu selepas seorang warga Australia dibunuh dan teman wanitanya dirogol di negara itu. Dalam kejadian terbaru, ahli akademik berkulit putih itu berkata, dia diserang Jumaat lalu ketika menjalankan penyelidikan mengenai burung dan kesan perubahan iklim di hutan terpencil di Pulau Karkar, Madang. Polis di Port Moresby mengesahkan kejadian itu.
Jurucakapnya berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada mangsa tetapi tiada tangkapan dibuat setakat ini. “Insiden ini sangat serius,” katanya.
Menurut mangsa berusia 32 tahun itu, dia sedang meredah belukar bersama suaminya dan seorang penunjuk jalan apabila diserang sembilan lelaki bersenjata raifal dan pisau.
Penjenayah terbabit kemudian membogel dan mengikat suami serta penunjuk jalan terbabit.
Dia kemudian dibogelkan, diikat dan kepalanya dibotakkan sebelum dirogol bergilir-gilir selama kira-kira 20 minit.
Bagaimanapun, lelaki terbabit melarikan diri selepas ada sesuatu yang menakutkan mereka di dalam hutan. - AFP
|