Kopipes from utusan.
Soalan NENEK saya berusia 70 tahun. Dia tidak mengalami penyakit kronik. Dalam beberapa bulan kebelakangan, beliau perasan ada ketulan keluar dari faraj. Mulanya kecil dan jika dia berbaring ketulan tersebut hilang.
Ketulan ini lebih ketara semasa mencangkung untuk buang air besar tetapi tidak sakit. Masalahnya, kadang-kala dia berasa tidak selesa atau ngilu pada bahagian belakang. Mulanya, dia berasa amat malu untuk memberitahu kami masalah yang dialaminya. Dalam seminggu dua ini, ketulan tersebut tidak masuk semula ke dalam faraj. Ini membuatkan nenek berasa tidak selesa sebab ketulan itu berada di antara celah peha. Dia perasan ada sedikit tompokan darah di seluar dalam.
Nenek saya amat risau. Apakah masalah yang dialami oleh nenek saya dan bagaimana untuk merawat? Mohon Doktor bantu kami. Terima kasih n Intan, Johor
Jawapan
Terima kasih kepada yang bertanya. Usah gusar, masalah ini adalah agak biasa berlaku dalam kalangan warga emas lanjut usia. Ini dikenali sebagai prolaps rahim.
Prolaps rahim adalah satu keadaan rahim jatuh ke bawah dan kadangkala terkeluar dari saluran faraj. Keadaan ini biasanya disebabkan oleh ligamen dan otot yang memegang rahim pada kedudukan asal menjadi lemah akibat dari kehamilan dan proses kelahiran lepas. Oleh itu, rahim seakan-akan melorot ke bawah melalui saluran faraj.
Keadaan ini merangkumi beberapa peringkat, di peringkat awal hanya jatuh sedikit daripada kedudukan biasa, peringkat kedua di mana pintu rahim (cervical os) jatuh sampai ke permukaan faraj dan peringkat ketiga yang sangat teruk ialah apabila keseluruhan rahim terkeluar daripada saluran dan permukaan faraj (satu keadaan yang biasa digelar 'tombong').
Akibat kesan kekenduran faraj dan otot rahim, seseorang wanita akan mengalami masalah sistem urinari, hubungan seks, ketidakselesaan dan sakit pinggang dan masalah kesihatan lain.
Masalah sistem urinariRamai wanita mengalami masalah kekenduran rahim atau prolaps akan mengalami masalah sistem urinari seperti kerap kencing, sukar hendak mula kencing. Masalah yang ketara sekali ialah sukar mengawal kencing khususnya apabila terbatuk, bersin atau perbuatan yang menyebabkan tekanan dalam perut meningkat seperti ketawa berdekah-dekah, semput dan ketika hendak berdiri daripada sujud ketika sembahyang, maka air kencing akan keluar dengan sendiri tanpa dikawal. Keadaan ini digelar stress incontincence. Masalah begini sudah tentu mengganggu tugas harian seseorang wanita khususnya dalam menjalankan amal ibadat seperti sembahyang.
FaktorDalam kes prolaps rahim yang teruk atau peringkat ketiga di mana keseluruhan rahim terkeluar, seringkali pintu rahim tergesel pada seluar dalam menyebabkan luka seperti mana yang berlaku pada nenek anda. Luka ini seringkali dijangkiti kuman menyebabkan keputihan atau pengeluaran lendir yang banyak. Terdapat beberapa faktor meningkatkan risiko prolaps rahim iaitu faktor baka, tidak mengamalkan senaman, kehamilan dan kelahiran, golongan wanita di fasa menopaus dan juga jika seseorang wanita menghidap ketumbuhan dalam rahim.
Bagi sesetengah wanita yang melahirkan anak di rumah yang mengalami koyakan semasa melahirkan anak tetapi tidak dijahit, ini merupakan salah satu faktor yang menimbulkan kelemahan atau kekenduran otot rahim. Kelahiran yang memakan masa lama atau kelahiran yang sukar dan memerlukan ibu meneran dengan kuat dan begitu lama, kelahiran yang memerlukan kegunaan alat seperti vakum atau forseps adalah faktor-faktor yang mungkin menyumbangkan kepada berlakunya prolaps di kemudian hari.
Prolaps yang teruk sering berlaku dalam kalangan wanita yang berumur 60 tahun ke atas akibat daripada kekurangan hormon ekoran daripada menopaus. Kegunaan hormon sebagai rawatan menopaus nyata dapat mengurangkan berlakunya prolaps.
Bagi wanita 40-an yang mengalami tumbuhan seperti fibroid yang tidak menimbulkan masalah lain seperti pendarahan atau kesakitan, mereka mempunyai risiko berlakunya prolaps kerana tumbuhan fibroid boleh mengakibatkan tekanan kepada rahim untuk jatuh ke bawah.
Terdapat pelbagai kaedah untuk merawat prolaps sama ada melalui pembedahan atau menggunakan pesari bagi menyendal prolaps. Pembedahan juga kadang-kala dilakukan ke atas wanita yang tidak dapat mengawal kencing. Biasanya ini dilakukan bersama dengan 'vaginal repair'.
RawatanBagi wanita yang berumur dan mengalami masalah prolaps yang teruk dan tidak sesuai menjalani pembedahan (kerana tidak sesuai menerima bius), pesakit boleh menggunakan satu alat yang dimasukkan ke dalam faraj. Alat ini digelar dengan nama 'Ring pessary'. Alat ini boleh mencegah rahim daripada jatuh ke bawah. Wanita yang menggunakan pesari perlu menjaga kebersihan faraj untuk mencegah jangkitan kuman.
Biasanya, pemeriksaan dan penukaran pesari perlu dilakukan antara tiga hingga empat bulan sekali. Diharap penjelasan yang diberikan dapat membantu anda sekeluarga.
Bawalah nenek anda berjumpa doktor dengan kadar segera untuk menjalani pemeriksaan dan mendapat rawatan yang sesuai.
|