KUALA LUMPUR 10 MEI: Harga tong gas didakwa telah naik di beberapa kedai selepas sehari berlangsungnya pilihan raya. Beberapa orang pengguna dalam mesej di laman twitter tidak berpuas hati dengan kenaikan harga tong yang mendadak, daripada RM28 kepada RM30. Kenaikan tersebut bagaimanapun tidak diumumkan oleh kerajaan. Harga jualan barangan keperluan asas biasanya diumumkan terlebih dahulu sebelum dinaikkan dan tidak boleh dilakukan secara senyap-senyap. Mengulas hal tersebut, Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Shari berkata, harga tong gas atau apa juga jenis barangan tidak sepatutnya naik memandangkan tiada sebab khusus untuk menaikkan harga. “Tidak wajar perkara itu berlaku. Apa sahaja barangan atau perkhidmatan, tarif elektrik dan sebagainya tidak perlu naik. “Kerajaan pula dalam masa yang sama perlu mengawal harga keperluan pengguna agar tidak membebankan rakyat,” katanya kepada Keadilan Daily. Yahya tidak menolak kenaikan harga tersebut dilakukan oleh pekedai. Namun, katanya, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlu memantau dengan lebih kerap peruncit-peruncit agar tidak menaikkan harga sesuka hati. “Kementerian Kepenggunaan perlu memantau lebih kerap dalam hal ini. “Kalau Pakatan diberi mandat dalam PRU lepas, tentu kenaikan tidak akan berlaku. Pakatan berjanji menurunkan harga barang-barang melalui penurunan harga petrol dan tarif elektrik. “Jika tidak turun pun harga akan bertahan dan tidak akan naik,” katanya. Melalui laman sosial, rakyat boleh melihat pelbagai komen kenaikan harga barangan, termasuk kenaikan tol di lebuh raya tertentu dan beberapa jenis barangan keperluan lain.
sumber: keadilan daily
|