CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: rdzaccess

( Cerita ) Selepas maghrib..Di Padang Solar ..kena sergah ngan ...

  [Copy link]
 Author| Post time 21-7-2013 06:56 AM | Show all posts
8~ Dendam si Angut Lumpuh


"Mungkinkah saya sudah berjalan terlalu jauh?" fikir saya dalam kebingungan.

Ketika ini saya teringat untuk membaca Ayat Waddhuha. Saya membaca tiga kali barulah saya mendapat pedoman mengenai anak air itu. Memang itulah anak air yang saya cari. Tidak salahlah dakwaan Pak Cu Jabat mengenai anak air yang mengalir di tengah kampung itu sudah banyak memakan mangsa.

Dalam masa saya merayau-rayau ini kedengaran kepada saya suara orang mendehem. Cepat-cepat saya berpaling memerhatikan arah suara itu. Seorang lelaki berserban putih, mukanya bersih berbau harum sambil memegang tongkat semambu dari rotan beruas songsang. Dia memimpin tangan Zuki masih teragak-agak mahu melompati parit berkenaan.

"Assalamualaikum..." tiba-tiba dia memberi salam.

Saya menjadi serba salah. Mustahil pula syaitan boleh memberi salam atau berbau harum demikian. Sekali lagi dia memberi salam. Mau tidak mau saya terpaksa juga menyahut salamnya.

"Anak jangan ragu-ragu" dia tersenyum seolah-olah dapat membaca perasaan saya yang tidak mempercayai dia.

"Anak mau budak ni balik, memang saya mau menghantar dia pada keluarganya" jelasnya sambil mengusap-ngusap kepala Zuki.

Budak itu tersenyum mengerling ke arahnya.

"Tok Sheikh ni siapa? saya mula mempercayai dia.

"Saya menjaga tempat ni" beritahu dia ramah.

"Memang si lumpuh tu tak habis-habis berdendam, sampai budak Zuki ni pun dia nak kenakan. Mujur saya cepat sampai menolongnya..." katanya menghentak-hentakkan tongkat rotan beruas songsang itu.

"Kenapa Tok Sheikh tak hantar Zuki balik...?" saya cuba menduga.

"Tak ada orang sampai ke sini. Pak Cu Jabat tak sampai, dia jauh lagi. Saya pula tak boleh keluar jauh dari sini" jelas lelaki yang saya panggil Tok Sheikh tu.

Tok Sheikh itu tidak pula menceritakan siapakah dirinya sebenar. Tetapi saya dapati dia memang berniat baik. Boleh jadi juga Pak Cu Jabat tidak sampai ke situ, sebab itulah Zuki tidak dapat dihantarnya balik. Kalaulah Zuki tidak dapat diambil balik bereti dia akan tidak sedarkan diri beberapa lama lagi. Inilah hakikat sebenarnya.

"Memang jauh anak berjalan..." katanya lalu mengajak duduk pada sepohon pokok.

"Jarang orang boleh sampai ke sini, kalau kurang pengalaman memang sukar nak sampai ke sini" ujarnya.

Saya mengangguk-angguk kepala. Kagum juga saya dengan sifat ramah orang tua berkenaan . Kalaulah dia dari jenis syaitan masakan budi bahasanya begitu ramah. Oleh itu saya kuat mengagakkan dia bukanlah syaitan, tetapi golongan yang boleh membantu.

"Anak mau pertolongan saya?" tanyanya tersenyum memerhatikan saya dalam keadaan ragu-ragu.

"Tidak!" tegas saya. "Saya hanya memerlukan pertolongan Allah" kata saya ego sedikit.

"Alhamdulillah, kalau begitu..." suaranya lembut mempesonakan.

"Saya tahu anak memang cucu Tok Aji Mat Kampar. Saya kenal dengan Tok Aji Mat Kampar" katanya lagi.

Kesal juga saya kerana bercakap seakan-akan kasar terhadap orang tua berkenaan. Tetapi saya masih tertanya-tanya siapakah dia sebenarnya? Belum pernah saya menghadapi suasana demikian, kerana selalunya kedatangan saya ditentang oleh jelmaan syaitan-syaitan.

Mahu bertanya berulang kali terasa juga segan. Maklum saja, menyoal orang demikian, tidak sama seperti menemui manusia biasa di alam nyata. Orang begini kadangkala sudah dapat membaca apa yang terbendung di hati kita.

Dia juga tahu mengenai Tok Aji saya yang dikenali Tok Aji Mat Kampar itu. Tentulah orang tua itu bukannya musuh.

"Saya bukannya musuh..." katanya seolah-olah mengerti apa yang saya fikirkan.

"Tapi, datang untuk menolong" jelasnya.

Dia pun menceritakan mengenai Angut Lumpuh yang mengganggu itu. Katanya Angut Lumpuh itu seorang wanita yang pernah dimadukan oleh suaminya. Dia tinggal berhampiran dengan parit berkenaan. Kisah ini berlaku bertahun-tahun dulu sebelum kampung itu terbuka seperti sekarang.

Nama sebenar Angut Lumpuh ini ialah Mak Pilin, manakala suaminya Pak Bakok telah berkahwin seorang lagi atas alasan Mak Pilin tidak mempunyai anak. Dengan isteri mudanya Pak Bakok mendapat tiga orang anak. Mak Pilin tidaklah marah dengan perbuatan suaminya berkahwin lain, sekalipun pada mulanya dia merasa kecewa juga.

Lagipun dia tidaklah berani mahu melawan Pak Bakok. Kadangkala apabila diherdik Pak Bakok dia tidak berani langsung mahu menjawab. Satu hari Pak Bakok menyuruh Mak Pilin membasuh seluarnya yang sudah kupam. Seperti biasa Mak Pilin tidak membantah perintah suaminya, maklumlah sejak kebelakangan itu pula Pak Bakok menunjukkan sikap lebih sayang kepada isteri mudanya. Ini disebabkan isterinya yang muda mempunyai anak, sedangkan Mak Pilin bolehlah dianggap perempuan mandul.

Kerja-kerja di rumah lebih banyak dilakukan oleh Mak Pilin. kadangkala bila isteri Pak Bakok yang muda bernama Siti mahu membantu akan dimarahi pula oleh Pak Bakok. Jadi, terpaksalah Mak Pilin membuat kerja-kerja seperti membasuh, memasak, mencari kayu api dan sebagainya. Sementara Siti hanya menjaga anak-anak saja.

Mereka tinggal serumah. Siti sangat menghormati Mak Pilin, sementara Mak Pilin juga menganggap Siti sebagai adiknya. Dia melayan anak-anak Siti sama seperti anaknya juga. Sayangnya sikap baik Mak Pilin ini disalah anggap oleh Pak Bakok. Dia memikirkan sikap baik Mak Pilin itu ada udang di sebalik batu. Tentu Mak Pilin akhirnya akan menganiaya Siti anak-beranak melalui sikap lemah lembut itu.

Memang ada niat Pak Bakok mahu membuat rumah berasingan, tetapi mestilah membawa Siti anak-beranak berpindah kerana rumah yang didudukinya itu adalah harta peninggalan ayah Mak Pilin. Untuk membina rumah lain tentulah memakan belanja yang besar. Oleh itu terpaksalah Pak Bakok mendiamkan diri terlebih dulu dengan menumpang tinggal di rumah pusaka Mak Pilin.

Bermula dari membasuh seluar kupam itulah rumahtangga Pak Bakok menjadi porak peranda. Pak Bakok menjadi berang kerana seluar yang dibasuh itu tidak bersih. Seolah-olah retak menanti belah saja bila didapatinya seluar tersebut tidak putih setelah dibasuh.

"Memang awak betina tak berguna, basuh kain pun tak boleh diharap!" bentak Pak Bakok melemparkan seluar tersebut ke muka Mak Pilin.

"Seluar tu memang kupam. Tak boleh putih lagi dah..." sahut Mak Pilin terharu dengan sikap suaminya.

Selama ini dia tahu Pak Bakok tidak pernah bersikap demikian. Hanya setelah mendapat anak dari Siti barulah sikapnya berubah terhadap Mak Pilin.

"Awak jangan menjawab cakap aku!" gerutu Pak Bakok.

"Aku cakap yang benar" balas Mak Pilin tidak puas hati dengan tindakan suaminya yang kasar.

"Macam mana nak putih kalau seluar tu kupam" ujarnya mempertahankan diri.

Memang seluar kupam itu tidak boleh putih walau macam mana dicuci pun. Tetapi Pak Bakok sengaja mahu mencari salah dia. Seolah-olah apa saja kerjanya semua tidak memuaskan hati Pak Bakok
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 21-7-2013 06:58 AM | Show all posts
8~ Dendam si Angut Lumpuh


Siti cuba masuk campur, tetapi diherdik oleh Pak Bakok. Dia tidak mahu Siti membela Mak Pilin. Padanya Mak Pilin memang tidak boleh diharap lagi. Membasuh kain baju pun sudah tidak cuci. Masak nasi sudah tidak menyelerakan. Semua yang dibuat oleh Mak Pilin tidak kena lagi pada dia.

“Bukan Kak Pilin yang basuh tu, aku yang basuh..."

Siti cuba mempertahankan Mak Pilin.

"Seluar tu dah kupam, macam mana nak putih lagi. Sental macam mana pun tak hilang kupamnya" kata Siti dengan harapan kemarahan Pak Bakok boleh reda.

Rupa-rupanya dengan kata-kata Siti itu membuat Pak Bakok semakin berang. Matanya terjengil memerhati Mak Pilin.

“Oh, selama ni di belakang aku, kau hambakan Siti ye?" dia terus menyepak paha Mak Pilin.

"Kau suruh Siti membasuh, memasak, mencari kayu api. Kau duduk goyang kaki aje di rumah!" bentaknya menggertap bibir.

"Tak pernah aku buat macam tu..." sahut Mak Pilin terkejut juga dia dengan tindakan Pak Bakok menyepak dia.

"Habis, kenapa Siti mengaku dia membasuh seluar aku tu?" Pak Bakok terus menampar pipi Mak Pilin.

Cepat-cepat Siti memeluk Pak Bakok. Dia juga tidak menyangka Pak Bakok bertindak demikian jauh.

"Awak dah gila ke buat Kak Pilin macam tu, awak dah gila!" Siti menangis teresak-esak menahan sebak di dada.

Pak Bakok tidak peduli rayuan Siti. Dia terus melepaskan geramnya kepada Mak Pilin. Benci sangat dia pada Mak Pilin, setelah mendapati wanita itu seolah-olah menjadi beban saja kepadanya.

"Aku mau kau basuh seluar tu sampai putih, kalau tak putih aku bunuh kau!" kata Pak Bakok terus meninggalkan Mak Pilin dengan Siti di situ.

Apabila Mak Pilin mahu bangun tiba-tiba dirasakan kakinya sudah tidak boleh digunakan lagi. Dia tersepuk duduk tidak boleh berjalan. Terkejut juga Siti melihat kejadian yang menimpa Mak Pilin. Mungkin tendangan Pak Bakok terlalu kuat menyebabkan paha Mak Pilin patah.

Malamnya setelah Pak Bakok balik ke rumah, Siti memberitahu kejadian yang menimpa Mak Pilin. Tetapi Pak Bakok tidak memperlihatkan rasa kasihan dengan apa yang berlaku ke atas diri Mak Pilin. Dia juga tidak berusaha untuk mengubat kaki Mak Pilin. Sejak itulah Mak Pilin menjadi lumpuh. Dia berjalan dengan menginsut punggung.

Kerja-kerja di rumah tetap dilakukan seperti biasa. Pak Bakok tidak mahu dia membebankan kerja-kerja rumah pada Siti. Manakala Pak Bakok sehari-harian kerjanya pergi menyabung ayam. Jadi, terserahlah kepada Mak Pilin membuat kerja-kerja membasuh, memasak dan mencari kayu api.

Rupa-rupanya kemarahan Pak Bakok menjadi-jadi disebabkan dia kalah bersabung. Tapi nasibnya baik, apabila seluar kupam yang telah dibasuh oleh Mak Pilin itu dipakainya dia sentiasa menang bersabung ayam. Dia terlalu sayang dengan seluar tersebut, walaupun kelihatan kupam.

Siti tidak berani lagi masuk campur sekiranya Pak Bakok memarahi Mak Pilin. Dia tidak mahu berlaku lagi apabila dengan pengakuannya membasuh seluar itu telah menyebabkan Pak Bakok bertambah marah, padahal tujuannya adalah untuk meneyelamatkan Mak Pilin.

Setelah beberapa lama Mak Pilin menjadi lumpuh, satu hari sampailah masanya Siti pun meninggal dunia. Sedih juga hati Mak Pilin kerana Siti yang baik hati meninggal dunia. Anak-anak Siti yang ditinggalkan juga belumlah dewasa lagi.

Pak Bakok pula tidak lama selepas kematian Siti, dia bernikah lagi dengan seorang janda. Sejak berkahwin dengan janda itu Pak Bakok mengikut apa saja perintah isterinya. Sampaikan anaknya dengan Siti pun terbiar. Terpaksalah Mak Pilin mengambil berat akan nasib anak-anak Siti.

Setiap hari dia terpaksa membasuh kain yang bertimbun-timbun. Janda itu bernama Encom kadangkala bertindak lebih garang dari Pak Bakok sendiri terhadap Mak Pilin.

Di parit anak sungai itulah Mak Pilin membasuh kain. Dia menginsut punggung untuk membasuh kain. Kadangkala anak-anak Siti tiga orang yang berumur 5, 3 dan 2 tahun itulah menemankan dia ke parit berkenaan. Kebetulan satu pagi dia ke parit itu bersama-sama anak Siti tiga orang untuk membasuh kain. Encom menyuruh budak-budak itu membantu Mak Pilin membasuh.

Ketika sedang membasuh itu sehelai kain kesayangan Encom telah dihanyutkan air. Apabila menyedari kain itu hanyut anak Siti yang berumur 5 tahun bernama Minah terus menghilir air untuk mencari kain tersebut. Dia telah pergi bersama dua orang lagi adiknya.

"Biar aku cari ke hilir Mak Tua..." kata Minah meminta izin untuk pergi mencarinya.

"Tak payahlah..." Mak Pilin berkeras tidak membenarkan.

"Biar Mak Tua saja mencarinya. Kau semua tunggu di sini" ujarnya hiba.

"Mak Tua susah nak berjalan, biarlah aku cari"

Minah ketakutan akibat kain tersebut hanyut tidak mereka sedari.

"Nanti Mak Encom marah, kalau kain tu hilang" dia tetap mahu mencari kain yang hanyut itu.

Mahu tidak mahu Mak Pilin terpaksa juga membenarkan Minah bersama adik-adiknya menghilir sungai mencari kain yang hanyut itu. Setelah matahari tegak di kepala dia menunggu, Minah tidak juga balik. Dia mulai bimbang kerana Minah tidak balik semula ke situ. Tentulah suaminya menjadi berang kalau Minah tiga beradik tidak balik, sementara Encom pula akan merampus bila didapati kain kesayangannya hanyut tidak ditemui.

Terpaksalah Mak Pilin menginsut punggung menghilir sungai untuk mencari Minah tiga beradik. Perkara kain Encom hilang tidak menjadi soal lagi kepadanya. Dia mesti mencari Minah sampai dapat. Semasa menghilir sungai ini, Minah bersama tiga orang adiknya sudah pun menemui kain yang hanyut itu tersangkut pada rumpun aur. Tetapi apabila mudik semula ke hulu, dia tidak mengikut jalan sungai itu, sebaliknya naik ikut jalan darat supaya cepat sampai semula. Bimbang juga dia kalau-kalau Mak Pilin terlalu lama menunggu.

Apabila dia sampai ke tempat Mak Pilin membasuh didapati oleh Minah kain baju sudah siap berbasuh, tetapi Mak Pilin tidak ada. Puas dia menunggu Mak Pilin tidak juga muncul, Minah juga mengajak adik-adiknya balik untuk memberitahu perkara itu kepada ayahnya.

Sejak itulah Mak Pilin tidak lagi balik-balik ke rumah. Pak Bakok pula cuba juga menghilir parit tersebut untuk mencarinya, tetapi tidak bertemu kesannya.

Akhirnya dengan hasutan Encom, dia pun melupakan saja ke mana hilangnya Mak Pilin. Dengan kehilangan Mak Pilin itu terpaksalah Minah yang baru berumur lima tahun itu mengambil alih tugasnya membasuh, memasak dan mencari kayu api. Encom hanya memerintah saja, sementara Pak Bakok tidak berani membantah perbuatan Encom.

Satu hari semasa Minah membasuh di tempat yang selalu digunakan menjadi pengkanlan, dia ternampak Mak Pilin menginsut punggung mudik. Cepat-cepat dia berkejar mendapatkan Mak Pilin.

"Ke mana Mak Tua selama ni?" Minah menangis teresak-esak.

"Janganlah Minah menangis..." pujuk Mak Pilin.

"Jagalah adik-adikmu baik-baik. Kau tak ada emak, tak ada Mak Tua lagi" dia mengusap-ngusap rambut anak kecil itu.

"Marilah kita balik Mak Tua" Minah mengajaknya.

"Mak Tua tak boleh balik lagi" beritahu dia kepada Minah.

"Mak Tua dah tak sama lagi dengan Minah" ujarnya memujuk anak kecil itu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-7-2013 06:58 AM | Show all posts
8~ Dendam si Angut Lumpuh


Walaupun Minah masih kecil, tetapi pada Minahlah dia menceritakan apa yang telah terjadi. Semasa dia menghilir mencari Minah tiga beradik dia sudah berjalan terlalu jauh, sambil menginsut-insut punggung itu dia meraba-raba juga di tepi parit kalau kain kepunyaan Encom tersangkut di situ.

Hinggalah sampai ke satu pondok di tepi sungai di hilir yang tidak tahu di mana, seorang lelaki tua menunggu Mak Pilin di situ. Lelaki tua itu berjanji boleh mengubati kaki Mak Pilin yang lumpuh dengan syarat mesti bernikah dengannya. Mak Pilin memberitahu tentang suaminya Pak Bakok, oleh itu adalah mustahil untuk berkahwin lain.

Tetapi lelaki tua itu memberitahu bahwa kain Encom ada di tangannya. Dia akan memulangkan dengan syarat Mak Pilin mesti menjadi isterinya. Dia tertarik hati pada Mak Pilin kerana hatinya terlalu jujur kepada suami. Sebab itulah dia mahu sangat menikahi Mak Pilin, walaupun perempuan itu sudah tua.

Disebabkan takut dimarahi Pak Bakok, di samping kain Encom yang hilang itu pada lelaki berkenaan, maka Mak Pilin terpaksa menerima syarat tersebut. Bagaimanapun dia tidak dibenarkan balik semula pada Pak Bakok. Dengan janji itulah kain berkenaan ditemui semula oleh Minah, yang terlebih dahulu menghilir mencarinya sebelum Mak Pilin menghilir.

Memang Mak Pilin memerhatikan kain tersebut diserahkan oleh lelaki tua itu kepada Minah yang pada sangkaan Minah dia menemui kain tersebut tersangkut pada ranting aur. Sebenarnya Mak Pilin sudah dinikahi oleh puaka sungai berkenaan yang sekian lama telah memerhatikan keadaan kehidupan Mak Pilin suami isteri.

"Kalau Mak Tua mudik ke hulu itu tandanya Mak Tua nak makan" dia memberitahu Minah.

"Kalau Mak Tua menghilir, Mak Tua nak main-main aje" itulah pesan Mak Pilin pada anak tirinya.

Sebelum pergi Mak Pilin mengingatkan Minah supaya tidak terkejut kalau ditegur oleh Mak Pilin. Kalau Minah terkejut tidak dapatlah Mak Pilin mengetahui akan siapakah Minah sebenarnya, kerana dia sendiri memang tidak ada keturunan. Hanya Minah dianggapnya sebagai keturunan dia.

"Mak Tua tak akan mengganggu Minah" jelasnya.

Sejak itu hilanglah Mak Pilin dari pandangan Minah. Sebagaimana sumpahnya apabila dia mudik parit berkenaan, maka adalah mangsanya. Sebaliknya kalau ada yang menghilir, maka mangsanya akan lumpuh. Demikianlah kisah Angut Lumpuh yang diceritakan oleh Tok Sheikh.

"Sayalah keturunan dari Minah itu..." beritahu orang tua berserban yang memimpin Zuki.

"Jadi, Tok Sheikh pun tak suka dengan perbuatan Angut Lumpuh?" saya menduga.

"Iya..." dia mengangguk lemah.


"Tapi, saya tak boleh menghalangnya. Cuma saya akan selamatkan mangsanya, itu saja" jelas dia tenang.

"Mengapa pula?" soal saya.

"Sebab dia tidak menjadikan anak cucu Minah sebagai mangsanya" ujar orang tua berjubah dan berserban putih itu.

"Mana dia nak tau anak cucu Minah?" saya mendesak lagi.

"Kalau tidak terkejut bila ternampak dia, itulah tandanya anak cucu Minah" beritahunya tersenyum mengerling ke arah saya.

"Bolehkah saya bertemu dengan Angut Lumpuh?" saya memberanikan hati bertanya kepada Tok Sheikh itu.
“Memang anak seorang yang berani..! kata Tok Sheikh itu tidak menjawab pertanyaan saya.

Dia pun menyerahkan Zuki kepada saya lantas menghilangkan diri. Heran juga saya mengapa dia tidak mahu menjawab pertanyaan saya untuk bertemu dengan Angut Lumpuh atau Mak Pilin yang sudah diperdayakan oleh syaitan itu.

Bagaimanapun saya tidaklah mengesyaki yang Mak Pilin itu bertemu dengan puaka sungai seperti yang diceritakan oleh Tok Sheikh. Kemungkinannya ialah dia mati lemas semasa menghilir parit itu. Sebenarnya Mak Pilin itu sendiri yang bertukar menjadi puaka di situ di sungai tersebut.

Ketika saya mahu membawa Zuki balik, saya ternampak seorang nenek tua lumpuh menginsut punggung mudik ke hulu. Matanya merah menyala seperti api. Mukanya kelihatan garang seolah-olah menyimpan dendam. Kelihatan dia terlalu payah mahu menginsut punggungnya.

Saat inilah Tok Sheikh yang menghilang tadi muncul di hadapan saya. Dia memegang tongkat rotan beruas songsang itu di tangannya.

"Angut jangan ganggu Zuki ni!" kata Tok Sheikh perlahan.

"Dah masuk ke tangan, takkan nak lepaskan" suaranya bergetar seperti menyimpan dendam.

"Tak usahlah Angut, dah banyak sangat mangsa Angut" Tok Sheikh mengeraskan suara.

"Kau jangan masuk campur!" jerkah Angut Lumpuh.

"Saya kata jangan, janganlah Angut..." Tok Sheikh memberi amaran.

"Kalau Angut berkeras, saya juga akan berkeras" tegasnya lalu menghentakkan tongkat rotan beruas songsang itu ke tanah.

Terjerit Angut Lumpuh menekup dadanya dengan tangan. Kenudian dia melompat bertukar menjadi asap berkepul mahu menerkam ke arah Tok Sheikh. Tetapi Tok Sheikh tidak melepaskan tongkatnya yang tercancang di tanah. Asap berkepul itu tidak dapat menerpa.

Dia berlegar-legar mahu menerkam. Bagaimanapun dia tidak dapat merapati Tok Sheikh kerana tongkat itu tetap tercancang di situ. Sekali sekala suara jerit Angut Lumpuh bergema juga menahan kesakitan. Melihatkan keadaan tersebut saya pun mengambil kesempatan lalu membacakan lanarjumannakum, menyebabkan panahan api datang menerjah beratus-ratus.

Angut Lumpuh terpekik-pekik menepis panahan api yang menerjah ke arahnya.

"Saya dah cakap, Angut jangan mengganggu lagi...!" seru Tok Sheikh melihat asap berkepul-kepul itu jatuh semula ke dalam parit.

Terkial-kial Angut Lumpuh menginsut punggung.

"Angut tidak akan diganggu, kalau Angut tidak mengganggu orang" jelas Tok Sheikh mengingatkan.

Angut Lumpuh mengerang-ngerang kesakitan. Dia masih tidak berputus asa mahu menerkam balik. Tetapi tongkat rotan beruas songsang yang tercancang di tanah itu membuatkan dia menekan-nekan dadanya. Tongkat tersebut seolah-olah menusuk ke dadanya.

Lama dia terkial-kial menekup dadanya barulah dia menghilir semula dengan hampa. Selepas dia menghilang, Tok Sheikh berpaling ke arah saya, "Bawalah budak ni balik. Insya Allah semuanya akan selamat..." beritahu Tok Sheikh itu kemudian pergi dengan tidak meninggalkan apa-apa pesan.

Beberapa kali Pak Cu Jabat menepuk bahu saya, barulah saya membuka mata. Dia memicit tengkuk saya, sambil menghembus ubun-ubun saya. Betul-betul saya keletihan.

"Berani sangat ustaz berjalan jauh..." bisiknya ke telinga saya.

Baru saya sedari bahawa Pak Cu Jabat memang tahu saya sudah terlalu jauh melepasi had yang sepatutnya.

Saya menceritakan pengalaman saya kepada Pak Cu Jabat selepas itu. Kata Pak Cu Jabat bahawa Tok Sheikh yang saya temui itu memang tok akinya yang telah meninggal dunia berpuluh tahun dulu. Akinya memang seorang ulama yang pernah belajar agama di Sumatera. Dari Pak Cu Jabat juga saya mendapat tahu dia memang keturunan Minah anak tiri Angut Lumpuh itu.

Selepas Zuki pulih semula dia juga menceritakan dirinya telah dikurung di satu pondok buruk. Tidak lama kemudian datang Tok Sheikh itu membawa dia keluar dari pondok berkenaan. Angut Lumpuh cuba merampasnya dari Tok Sheikh, tetapi Tok Sheikh terus membawa dia lari.

"Saya fikir elok juga carikan saya rotan beruas songsang" saya memberitahu Pak Cu Jabat.

Pak Cu Jabat tersenyum. "Itulah pun musuh dia..." katanya.

Dia tidak menceritakan lebih lanjut mengenai rotan beruas songsang itu. Tetapi saya memang sudah mengagaknya, kerana Tok Sheikh itu saya lihat memegang tongkat dari rotan beruas songsang.
Reply

Use magic Report

Post time 21-7-2013 03:10 PM | Show all posts
best-best beul cerita dalam ni.. tak boring aku.. hhuuhuh,,, baca macam kita berada didalam situasi tu pulak....
Reply

Use magic Report

Post time 22-7-2013 02:43 PM | Show all posts
ni cerita dalm buku ke? memang teruja saya baca...tq la tt..
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-7-2013 02:00 AM | Show all posts
9~ Orang Dewasa Kena Sunat

Serba salah juga Ulung Bahar kalau orang sudah datang memanggil di rumah. Kalau tidak pergi nanti dituduh orang mementingkan diri saja, kalau pergi pula kerja sendiri terbengkalai. Orang datang menjemput tidak kira siang atau malam. Walaupun diberi saguhati, tetapi tidak tergamaklah mengambil lebih. Takut juga dia akan tuduhan orang mengatakan dia bomoh cari wang.

Dia sendiri tidak mahu dipanggil bomoh. Ulung Bahar tahu dirinya bukanlah bomoh. Tetapi entah mengapa orang ramai menganggap dia seorang bomoh.

Segalanya bermula ketika dia pergi ke rumah anaknya di Felda Air Kuning sepuluh tahun dulu. Jiran anaknya memberitahu anak gadisnya berumur 17 tahun digigit lipan, sudah tiga hari tidak baik. Sudah pun dibawa ke hospital, tetapi bisa lipan itu semakin bertambah pasang.

"Di mana digigitnya?" tanya Ulung Bahar.

"Paha..." beritahu jiran itu sugul.

Ulung Bahar sengaja menziarahi jiran itu setelah mendengar berita anak gadisnya digigit lipan. Adat berjiran kenalah ziarah menziarahi bila ada di antaranya mendapat susah.

"Lipannya dapat dibunuh?" tanya Ulung Bahar lagi.

"Tidak..." jiran itu menggeleng kepala.

"Tak sempat saya nak bunuh, sebab cepat sangat dia menghilang masuk ke bawah tikar" ujarnya.

"Nampak lipannya?" Ulung Bahar ingin tahu.

"Nampak..Nampak..." jelas jiran tersebut.

"Lipan bara, memang saya nampak lipan itu menyusup bawah tikar, kemudian hilang" katanya mengingatkan kembali peristiwa bagaimana anaknya digigit lipan bara.

Tiba-tiba saja anak gadisnya terjerit sebaik selesai makan malam. Dia menepis bahagian pahanya sampai lipan tersebut jatuh ke tikar. Cepat-cepat dia mahu memukulnya, tetapi cepat-cepat pula lipan berkenaan menyusup ke bawah tikar.

"Cuba bagi saya air sejuk" pinta Ulung Bahar.Dalam keadaan begini dia merasa patut juga membantu.
Dia bukanlah mahu menunjukkan pandai, tetapi tidak mungkin bisa lipan bertambah pasang setelah tiga hari. Lagipun sudah dibawa ke hospital.

Jiran itu segera mengambilkan air sejuk. Hatinya gembira kerana tiba-tiba saja ada orang sanggup menolong anaknya digigit lipan. Tidak pula disangkanya Ulung Bahar boleh mengubati anaknya itu.

Kumat-kamit mulut Ulung Bahar merenung air sejuk di dalam gelas di tangannya. Pada mulanya dia mahu menyuruh gadis itu minum saja air tersebut, tetapi kemudian Ulung Bahar tidak jadi memberikan air tersebut pada gadis berkenaan.

"His, permainan orang..." Ulang Bahar mencebik bibir.

"Permainan macam mana tu Ulung?" tanya jiran itu keheranan.

"Tak usahlah kita panjangkan" sahutnya memerhatikan gadis itu masih mengerang kesakitan.

"Tak ada bisa lipan, cuma perasaan dia saja sakit..." ujar Ulung Bahar sambil mengetuk-ngetuk jari telunjuk pada bibir gelas.

"Permainan macam mana tu?" desak jiran itu lagi.

"Permainan orang muda..." kata Ulung bahar tersenyum.

Termenung jiran itu memikirkan maksud Ulung Bahar. Bila dia mengerling pada anaknya, gadis itu masih juga mengerang-ngerang kesakitan. Tidak mungkin anaknya berpura-pura sakit kerana dia sendiri melihat lipan bara tersebut jatuh dari paha anaknya. Lipan itu lari menyusup ke bawah tikar.

Sekaligus dia memukulkan jarinya kuat sedikit ke bibir gelas. Tiba-tiba terapung satu lembaga lipan diperbuat dari upih pinang di dalam gelas tersebut. Macam dibuat-buat saja nampaknya, gadis anak jiran itu pulih semula. Dia tidak merasa sakit apa pun.

Bila ditanya sama ada dia digigit lipan atau tidak, dia sendiri tidak tahu.

"Lipan apa pula...?"soalnya keheranan.

Cepat-cepat emaknya melihat bahagian paha yang digigit lipan itu. Tidak ada kesan langsung digigit lipan.

"Permainan orang..." ulangi Ulung Bahar.

Barulah jiran itu faham, rupanya ada orang yang sengaja mempermain-mainkan anaknya dengan memuja upih pinang tadi dengan digambarkan seperti lipan. Jadi, anaknya merasa seolah-olah digigit lipan, sebaliknya sakit bisa lipan itu hanya pada pandangan anaknya saja. Anaknya sendiri tidak menyedari apakah sebenarnya yang telah berlaku ke atas dirinya.

"Pulangkan sajalah Ulung..." jiran itu menggertap bibir.

Marah sangat dia pada orang yang melakukan tipu daya demikian.

Ulung Bahar tersenyum. Dia tahu inilah sifat manusia mudah saja mahu membalas dendam apabila dianiaya. Sepatutnya  seseorang mukmin wajib mendoakan orang yang menganiaya orang itu supaya insaf dan bertaubat.

"Kita pulangkan saja Ulung" desak jiran itu.

"Apa faedah kita dapat?" Ulung Bahar marah bila didesak demikian.

Tidak sepatutnya jiran itu memaksa dia melakukan sesuatu yang tidak disukainya.

"Biar dia jeran..." sahut jiran itu masih menyimpan dendam.

"Jangan berdendam" ujar Ulung Bahar mengingatkan.

"Anak awak selamat cukuplah. Bersyukurlah pada Allah..." katanya macam menyindir.

Sejak itulah orang-orang di situ akan memanggil Ulung Bahar kalau mereka ditimpa sakit pening. Kadangkala mereka sanggup mengajak anaknya Dalip menjemput dia ke kampung. Tidak dapatlah Ulung Bahar mengelak lagi bila sudah ramai tahu mengenai kebolehannya.

Orang-orang jauh dari Gedangsa di Selangor, Hutan Melintang di Perak, di Sabak Bernam, Pengkalan Kempas di Port Dickson akan datang mencari Ulung Bahar, setelah mendapat tahu dari mulut ke mulut yang bermula di Felda Air Kuning itu. Keballah dia dianggap seorang dukun di kalangan masyarakat.

Malah Ulung Bahar juga pernah dipanggil ke istana bagi mengubat kerabat diraja. Pendek kata nama Ulung Bahar sudah dikenali oleh ramai pembesar-pembesar dan pegawai tinggi kerajaan. Jadi, macam mana dia hendak mengelak apabila ada orang menjemputnya.

Kalau sudah orang-orang besar memanggil tentulah serba salah mahu mengelak. Bila sudah pergi memenuhi jemputan orang-orang besar, tentu tidak sedap hati kalau mengelak dari menerima jemputan orang-orang kampung. Tentu mereka menuduh dia memilih pesakit kerana mengejar wang. Hanya orang-orang besar saja yang sanggup memberi wang banyak.

Tetapi bukanlah itu maksud Ulung Bahar. Dia terpaksa meninggalkan tanggungjawabnya mencari nafkah hidup, disebabkan selalu dipanggil mengubati orang. Walaupun dia tinggal bersama isterinya, disebabkan anak-anaknya semua sudah berumahtangga, tetapi tanggungjawab mencari nafkah hidup masih menjadi fardhu ain yang tidak boleh diwakilkan kepada sesiapa.

Apakah pendapatannya tidak lumayan menjadi dukun? Perkara inilah yang sangat ditakutinya. Dia tidak mahu dituduh mencari nafkah hidup dengan berdukun. Walaupun tidak salah, tetapi tuduhan tersebut sangat menyeksa batinnya.

Inilah yang menyebabkan Ulung Bahar termenung panjang bila diminta datang ke Kuala Lumpur oleh seorang Orang Besar. Puas juga dia berfikir bagaimana caranya mahu mengelak, tetapi masih juga buntu. Malu juga dia mahu ke rumah Orang Besar itu, kerana apalah kurangnya ilmu bomoh-bomoh lain yang lebih terkenal.

Ulung Bahar merasa dirinya terlalu kecil bila dibandingkan dengan bomoh-bomoh terkenal yang sering datang ke Kuala Lumpur. Tetapi anak saudaranya yang berkhidmat di bawah Orang Besar mendesak dia. Anak saudaranya itu sudah diberi kepercayaan oleh Orang Besar itu untuk mencari dukun yang boleh mengatasi masalah dia.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 23-7-2013 02:02 AM | Show all posts
9~ Orang Dewasa Kena Sunat

Lebih kurang pukul 9.00 malam Ulung Bahar mula menarik geluk air ke depannya. Mulutnya kumat kamit serta matanya terpejam rapat. Sekali sekala dia membuka mata memerhati ke dalam geluk sambil menghembus perlahan-lahan.

Ketika ini Ulung Bahar sudah menguatkan zikirnya di dalam hati. Seluruh bulu romanya terasa meremang. Dia melihat dalam makrifat tentang masalah yang dihadapi oleh Orang Besar. Sekali sekala orang-orang yang melihat Ulung Bahar nampak dia mengerutkan dahi sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Ulung Bahar melihat seorang lelaki berpakaian seperti sami Budha tersengih-sengih menunggu kedatangannya. Lelaki itu dipenuhi dengan tangkal azimat di seluruh badan. Lelaki itu seolah-olah mempersilakan dia hampir kepadanya. Tetapi Ulung Bahar tidak mahu datang hampir. Dia membaca Fatihah tiga kali lantas dihembus kepada lelaki berkenaan.

Terpelanting lelaki itu bila dihembuskan dengan Fatihah. Mukanya merah padam menahan perasaan marah.

"Aku terima kau baik-baik, kau balas dengan jahat!" bentak lelaki itu cepat-cepat berdiri bercekak pinggang.

"Kau nak tunjuk pandai dengan aku, sekarang terima habuan kau pula" pekiknya mengambil debu tanah lalu dihembuskan ke arah Ulung Bahar.

Terasa pada Ulung Bahar ribut kencang mahu menerbangkannya, tetapi dia menguatkan zikir di dalam hati menyebabkan ribut kencang tersebut tidak dapat menerbangkan dia. Setelah ribut kencang itu berhenti, Ulung Bahar tidak nampak lagi ke mana lelaki tadi bersembunyi.

"Kenapa kau lari?" Ulung Bahar mencabar.

"Aku tak lari...!" sahut lelaki tadi tertawa mengejek.

"Nampaknya kau takut dengan aku" lelaki itu terus mempersenda-sendakan Ulung Bahar.

"Aku tak takut pada kau. Aku takut pada Allah" kata Ulung Bahar memerhati di sekeliling kawasan itu menjadi hutan rimba yang jauh dari manusia.

Tetapi suara lelaki itu tertawa berdekah-dekah masih mengejek-ngejeknya.

Ulung Bahar membacakan Surah Waddhuha dihembuskan sekelilingnya. Serentak dengan itu lelaki tadi tersungkur di depannya. Terkial-kial lelaki itu bangun akibat jatuh terhempas.

"Sekarang sembunyilah!" Ulung Bahar menyindir.

Kemudian dia mendengar lelaki itu merungut dalam bahasa yang tidak difahaminya. Bagaimanapun dia dapat mengagak lelaki tersebut menggunakan Bahasa Thai. Jelaslah kepadanya lelaki itu adalah Bomoh Siam.

"Berapa upah yang orang beri pada kau ni?" tanya Ulung Bahar.

"Aku bukan makan upah...! sahut lelaki itu marah.

"Ah, Bomoh Siam macam kau tak makan upah?" ejek Ulung Bahar mahu menyakiti hati lelaki tersebut.

"Aku menolong orang saja" jawabnya membentak kerana terlalu marah diperolok-olokkan.

Dia sendiri hairan bagaimana Ulung Bahar boleh menembusi tempat persembunyiannya.

"Aku menolong orang, tapi macam mana kau boleh sampai ke sini?" dia mendongak Ulung Bahar yang berdiri berpeluk tubuh di tempat dia terguling.

"Itu kuasa Allah..." beritahu Ulung Bahar tersenyum.

"Sudah banyak dukun-dukun Melayu mencari tempat aku tak jumpa, macam mana kau boleh jumpa?" pekik lelaki itu berdiri dengan lutut.

"Kuasa Allah...!" ulangi Ulung Bahar.

"Kau tak takut kuasa Allah?" tesengih-sengih Ulung Bahar mengejeknya lagi.

Lelaki itu menggeleng kepala.

"Baiklah, kau akan tahu kuasa Allah" Ulung Bahar pun mula azan tiga kali.

Sebaik saja azannya bergema lelaki itu terumbang ambing apabila seluruh tempatnya berdiri bergegar. Dia terhumban macam bertih direndang dalam kuali mencari tempat mahu berpijak.

"Ilmu apa kau pakai ni!" jeritnya meminta Ulung Bahar berhenti dari azan.

"Kau kata tak takut Allah" ejek Ulung Bahar.

"Aku takut, aku takut..." sahutnya terketar-ketar.

"Sekarang cakap! Siapa yang suruh kau?" Ulung Bahar mula keraskan suara.

"Orangnya baik..." ujar lelaki itu termengah-mengah.

"Dia dianiaya oleh Orang Besar tu, kalau awak nak tau, Orang Besar tu jahat. Dah dapat manis sepah dibuang" jelasnya memepertahankan diri.

"Berapa dia upah kau?" soal Ulung Bahar.

"Aku tolong saja"

"Mana boleh! Bomoh Siam mesti terima upah!"

"Aku ambil sikit..."

"Berapa?"

"Satu ribu..."

"Bodoh punya Bomoh Siam! Kenapa tak minta lebih?"

"Tak boleh, kita nak tolong aje..."

"Selalu Bomoh Siam ambil upah sampai lima ribu!"

"Itu Bomoh Siam moden..."

Terkekeh-kekeh Ulung Bahar tertawa mendengar kata-kata lelaki berkenaan. Manakan tidak ketawa bila dia menyebut Bomoh Siam moden yang ambil upah mahal, sedangkan dia adalah Bomoh Siam yang bertugas menolong orang.

Bagi Ulung Bahar memang selalu menghadapi keadaan demikian. Sebab itulah dia boleh berhujah dengan syaitan yang datang mengganggu. Syaitan juga mempunyai ilmu psikologi bila berhadapan dengan manusia. Oleh itu manusia yang terperdaya dengan ilmu psikologi syaitan akan cepat mengalah.

Sikap mengalah syaitan bukanlah bererti dia benar-benar mengalah. Sebaliknya mencari strategi untuk menyerang balas. Sebab itu Ulung Bahar sengaja menyoal macam-macam biar syaitan sendiri serba salah mahu menjawab.

"Kalau begitu cakap, apa yang kau buat pada Orang Besar?" tanya Ulung Bahar.

"Aku tak buat apa" jawabnya tersengih-sengih.

"Kalau tak cakap aku azan!" cepat-cepat Ulung Bahar mengugut.

"Eh, jangan..." rayunya mula berpusing-pusing mahu mencari helah.

"Jangan cari helah!" jerkah Ulung Bahar yang sudah tahu cara mana syaitan mahu bertindak.

Lelaki itu menjadi serba salah, sebab apa saja helah yang mahu dibuatnya sudah diketahui oleh Ulung Bahar. Dia menjadi hairan kerana selama ini dukun yang mengubat Orang Besar terperdaya dengan helah dia. Tetapi menghadapi Ulung Bahar dia menjadi kebingungan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-7-2013 02:04 AM | Show all posts
9~ Orang Dewasa Kena Sunat

Dia sudah meniupkan ribut kencang tetapi tidak berjaya menerbangkan Ulung Bahar kerana zikirnya yang mantap. Dia membawa Ulung Bahar merentas hutan, tetapi Ulung Bahar dapat mencari tempat persembunyiannya. Apa saja helah yang dibuatnya dapat dikesan oleh Ulung Bahar.

Sudah banyak dukun-dukun Melayu yang ditentangnya, akhirnya dia dapat memperdayakan. Kadangkala apabila ditiupkan ribut kencang mereka tidak dapat bertahan. Mereka cepat berlindung diri dan terus balik meninggalkannya. Kalau ada pun yang boleh bertahan dari ribut kencang, akan sesat meraba-raba bila dibawa merentas hutan rimba.

Ternyata Ulung Bahar sangat berbeza dari dukun-dukun Melayu yang pernah cuba mengubat Orang Besar. Malah Bomoh Siam yang dipanggil mengubati Orang Besar juga tidak berdaya menentang dia.

Tertanya-tanya dia apakah ilmu yang digunakan oleh Ulung Bahar. Hanya yang didengarnya Ulung Bahar menyebut kuasa Allah. Tentulah ilmu Ulung Bahar ini bukan ilmu baru, tetapi sudah ujud sejak bertahun-tahun. Ilmu yang ada padanya tidak dapat menentang ilmu yang dimiliki oleh Ulung Bahar.

"Apa ilmu yang awak pakai?" tanya lelaki itu gementar.

"Ilmu Allah yang diturunkan kepada umat Islam" jelas Ulung Bahar.

"Bolehkah awak ajar aku?" dia mahu menguji.

"Jangan nak cari helah..." Ulung Bahar mengingatkan.

"Cakap, apa awak sudah buat pada Orang Besar?" bentaknya keras.

"Tak buat apa pun..." sahutnya tersengih-sengih.

Tidak bertangguh lagi Ulung Bahar terus azan. Bumi tempat lelaki itu berpijak bergegar kuat. Dia terlambung-lambung macam bertih di dalam kuali tidak dapat berjejak. Terpekik-pekik dia meminta Ulung Bahar memberhentikan azan. Tetapi Ulung Bahar tidak peduli. Dia terus azan berulang kali.

"Aku cakap, aku cakap..." tercungap-cungap lelaki itu merayu pada Ulung Bahar supaya berhentikan azan.

"Sekarang cakap!" herdik Ulung Bahar.

"Aku dah lepaskan dalam Sungai Gombak" kata lelaki itu gementar.

"Apa yang kau lepaskan?" soal Ulung Bahar mengancam.

"Ikan haruan..." jelasnya terketar-ketar.

"Ada penunggunya di situ..." ujar lelaki itu dalam ketakutan.

Setelah mendapat rahsia dari lelaki yang berpakaian seperti Sami Budha itu, Ulung Bahar menghembus lelaki itu dengan ayat Al-Ikhlas hingga melayang-layang seperti bunga lalang. Kemudian Ulung Bahar terus melayangkan dirinya di sepanjang Sungai Gombak.

Puas dia mencari-cari di kawasan yang dituju tetapi tidak juga berjumpa. Ulung Bahar terus membaca Surah Waddhuha dengan penuh khusyuk. Ketika ini dia sampai jauh dari bangunan-bangunan tinggi di tengah bandar. Air Sungai Gombak yang keruh jelas pada penglihatan dia.

Dalam masa dia memerhatikan di sekitar kawasan Sungai Gombak itu, tiba-tiba dia nampak seorang perempuan cantik berdiri di tengah sungai memegang tangguk. Dia percaya perempuan ini bukannya bunian, tetapi penunggu sungai yang menjelmakan dirinya sebagai isteri muda Orang Besar.

Memang Ulung Bahar tahu Orang Besar sudah berkahwin dengan seorang gadis cantik berasal dari Kelantan. Perkahwinan itu tidak kekal. Hanya selama lapan bulan saja. Gadis itu diceraikan setelah Orang Besar diberi tangkal pembenci oleh isteri tuanya, sebaik saja isteri tuanya mendapat tahu Orang Besar berkahwin lagi.

Tidak lama selepas penceraian itu Orang Besar bermimpi dia dikhatankan oleh seorang mudim yang dikenalinya. Esoknya apabila dia bangun dari tidur, dia merasa kemaluannya ngilu. Lama kelamaan tidak terasa lagi kalau dijentik pun.

Orang Besar telah bertemu ramai dukun untuk mengubatnya. Sejak lapan tahun dia mengidap dan menderita keadaan demikian. Isteri tuanya terasa juga menyesal, tetapi lebih gembira kerana Orang Besar tidak akan berkahwin lagi. Bagaimanapun ada juga dukun menasihati dia supaya rujuk semula dengan bekas isteri muda yang pernah diceraikan.

Tetapi dia diberitahu jandanya itu sudah berkahwin lain. Orang Besar tidak mahu sangat ambil tahu mengenai diri jandanya itu. Soal yang penting dia harus mengatasi masalah yang dihadapinya.

"Buat apa awak bawa tangguk, kalau tak menangguk ikan?" tegur Ulung Bahar mendekati perempuan cantik yang berdiri di tengah sungai.

"Kita punya sukalah" sahut perempuan itu mengerling ke arah Ulung Bahar.

"Kalau tak mahu menangguk, pinjamkan aku. Biar aku yang menangguk" ujar Ulung Bahar.

Bagaimanapun dia tidak leka semasa berhadapan dengan perempuan cantik tesebut.

Masa ini terasa ribut bertiup kencang. Ulung Bahar terus bertahan di tengah ribut kencang. Kemudian dia azan sekuat hatinya menyebabkan ribut kencang terhenti tiba-tiba. Lelaki yang berpakaian seperti Sami Budha tadi tersungkur di tengah sungai.

Bersama dengan perempuan cantik di sampingnya, lelaki berkenaan melemparkan bola api ke arah Ulung Bahar. Perempuan itu melontarkan serpihan besi tajam seperti paku menerjah ke tubuh Ulung Bahar. Tetapi semuanya tidak memberi kesan  kepada tubuh Ulung Bahar yang sentiasa berzikir.

Akhirnya mereka berdua mengeluh panjang kerana melihat Ulung Bahar tetap berdiri di tebing sungai mengejek mereka. Ternyata serangan mereka berdua menjadi sia-sia.

"Tadi, awak dah kalah. Masih degil lagi mahu melawan!" cabar Ulung Bahar.

Lelaki tersebut tidak menyahut. Dia serba salah mengerling perempuan cantik di sebelahnya. Perempuan itu melemparkan tali lantas membelit seluruh tubuh Ulung Bahar. Mereka berdua ketawa berdekah-dekah melihat tali tersebut melilit seluruh tubuh Ulung Bahar.

"Hasbiallahu Lailahaillallah alaihi watawakkal.." kumat kamit mulut Ulung Bahar membaca doa mengehembuskan ke seluruh tubuhnya. Tali yang melilit tubuhnya jadi cair seperti air. Sekali lagi lelaki dan perempuan cantik itu tercengang kerana Ulung Bahar tidak takut pun menghadapi serangan mereka.

"Hei, bomoh bodoh..!" jerkah Ulung Bahar bercekak pimggang di atas tebing sungai.
"Kau nak mengaku kalah atau nak merasa lagi serangan aku?" tanyanya memberi amaran.

Tidak bertangguh lagi lelaki itu terus menghilangkan diri. Dia tidak berani lagi bertahan apabila Ulung Bahar sudah memberi amaran. Hanya tinggal perempuan cantik itu kebingungan ditinggalkan lelaki tadi.

Memandangkan perempuan cantik itu degil, Ulung Bahar membaca beberapa ayat lagi menyebabkan perempuan itu berputar seperti gasing beruri ligat. Laungnya bergema kerana berputar-putar di dalam air. Setelah putaran itu berhenti dia termengah-mengah menengadah Ulung Bahar. Kecantikannya juga luntur akibat diputar tadi.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 23-7-2013 02:04 AM | Show all posts
9~ Orang Dewasa Kena Sunat

"Bukan aku yang salah" dia merayu supaya dibebaskan.

"Jangan berdalih!" jerkah Ulung Bahar.

"Iya..." katanya gementar.

"Botak tadi yang suruh. Dia suruh aku jagakan haruan yang dilepaskan di sungai ni" ujarnya bertambah gerun bila mengerling Ulung Bahar.

"Mengapa kau ikut cakap dia?" tanya Ulung Bahar mahu menduga.

"Kalau tak ikut dia bunuh aku..." jelasnya menangis teresak-esak.

"Kau takut pada dia?" ejek Ulung Bahar seterusnya.

Dia mengangguk lemah.

"Kau tak takut Allah...!” suara keras Ulung Bahar semakin menggerunkan dia.

Dia mengangguk juga.

"Kalau kau takutkan Allah, jangan pedulikan botak tadi" perintah Ulung Bahar merentap rambut perempuan tersebut.
"Sekarang serahkan pada aku haruan tu!" bentaknya.

Mahu tidak mahu terpaksalah perempuan tadi menangguk ikan haruan yang dilepaskan ke dalam sungai. Ulung Bahar terus menangkap ikan tersebut dari tangguk perempuan berkenaan melalui makrifat. Dan terus dibawanya semula ke rumah Orang Besar.

Ketika ini mereka yang ada di rumah Orang Besar melihat Ulung Bahar mengetuk jari telunjuknya ke bibir geluk. Tiga kali dia mengetuk berdentum seekor haruan yang masih berlumpur lagi tubuhnya menjelma di dalam geluk.

"Alhamdulillah..." Ulung Bahar menarik nafas.

Orang Besar terkejut melihat ikan haruan di dalam geluk di depan Ulung Bahar. Geluk itu juga menjadi keruh disebabkan lumpur yang dibawa oleh haruan tadi. Kemudian dia membelah perut ikan itu. Di dalam perut ikan haruan berkenaan terdapat segulung benang kuning yang diikat pada paku setengah inci.

Barang-barang yang dikeluarkan dari perut ikan itu diambil oleh Ulung Bahar dibungkus dengan sapu tangannya. Ikan haruan itu juga dibungkus dengan plastik, kerana menurut Ulung Bahar dia sendiri akan membuangnya ke laut.

Setelah semuanya selesai, Ulung Bahar tidak membuat apa-apa tangkal atau azimat untuk Orang Besar. Dia hanya membacakan doa lalu dihembuskan ke kepala Orang Besar. Kemudian dia menyuruh Orang Besar solat tengah malam dua rakaat.

Tidak ada ubat-ubat lain yang diberikan oleh Ulung Bahar. Selepas dia mengubat malam itu, esoknya dia terus balik ke kampung. Orang Besar bertanya sama ada dia akan mengubatnya tiga kali ulang, tetapi Ulung Bahar menjawab, "Nak ubat apa lagi Tuan, bukannya Tuan sakit..." dia tersenyum mengerling Orang Besar.

Khabarnya Orang Besar berkahwin lagi tidak lama selepas itu. Selepas peristiwa ini isteri Orang Besar tidak lagi mencari tangkal pembenci. Dia sendiri tidak marah lagi kalau Orang Besar berkahwin lain.
Reply

Use magic Report

Post time 24-7-2013 09:24 AM | Show all posts
sahur ni takde update ke? huhu...takpe..menanti dgn setia..
Reply

Use magic Report

Post time 24-7-2013 01:17 PM | Show all posts
best citerrrrr.. x sabor rasenya next episod.. he.. he.. tengkiu TT
Reply

Use magic Report

Post time 24-7-2013 03:23 PM | Show all posts
edoraixora posted on 18-7-2013 10:08 AM
tok muda awang ngah ni asal nye dari mana ek....
tgok2 kt pokcik gugel katenye dari negeri sembilan ...

OT kejap ye utk menerangkan ttg asal usul Jalan Tok Muda Awang Ngah di Temerloh tu

Arwah Tok Muda Awang Ngah ialah wakil rakyat di kawasan temerloh pada tahun 60an n 70an dulu...

Reply

Use magic Report

Post time 24-7-2013 03:53 PM | Show all posts
toksira posted on 24-7-2013 03:23 PM
OT kejap ye utk menerangkan ttg asal usul Jalan Tok Muda Awang Ngah di Temerloh tu

Arwah Tok Mu ...

itulaa....adekah org yg same ato kebetulan ajer namenye same?

pengarah hosp.sultan ahmad shah temerloh tu, anak arwah tok muda awang ngah politician tu kan...

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-7-2013 12:56 AM | Show all posts
10~ Orang Tua Berserban Kuning

Demikianlah diberitahu oleh Meon kepada saya mengenai Ulung Bahar. Dari apa yang diceritakan oleh Meon itu saya dapati dia bukanlah orang dukun yang mengamalkan cara perubatan tradisional. Kalau dukun tentulah dia menggunakan ramuan seperti bunga-bunga, bertih direndang, kemenyan dan sebagainya.

Cara yang dilakukan oleh Ulung Bahar ketika mengubat Orang Besar samalah seperti yang pernah dilakukan oleh Pak Tua Mahat, Aki Sahak dan Tok Aji. Berbeza dengan Pak Tua Mahat dan Aki Sahak, Tok Aji adalah guru agama yang mempunyai madrasah sendiri.

Sebab itulah saya berminat sangat mahu bertemu muka dengan Ulung Bahar ini.

Saya datang ke rumah Meon di Gombak kira-kira jam 9.00 malam kerana mahu menetapkan hari bilakah dia akan balik ke kampungnya. Memang saya tertarik hati mahu mengenalinya. Ulung Bahar hanya menggunakan doa-doa tertentu saja dari ayat-ayat Quran, dan bukannya menggunakan jampi mentera. Dia juga tidak menggunakan ramuan seperti bertih, kemenyan, limau, bunga-bunga sebagaimana yang lazim digunakan oleh dukun-dukun.

Inilah persamaan yang dapat saya lihat antara Ulung Bahar dengan Pak Tua Mahat dan Aki Sahak.

"Macam ustaz buat apa lagi jumpa Ulung Bahar..." kata Meon sebaik saja saya masuk ke rumahnya.

"Orang macam tu patut kita jumpa" jelas saya lalu duduk.

"Orang tua banyak pengalaman..." ujar saya tertawa.

"Saya agak orang macam ustaz ni memang suka sangat Ulung Bahar nak berjumpa" isteri Meon menyampuk.

"Ah, apa sangat saya ni..." saya serba salah bila dikatakan begitu.

Sebenarnya saya baru setahun mengenali Meon dari seorang kawan. Kawan saya itu mengidap sakit lelah beberapa tahun. Meon telah membawakan dia berjumpa dengan Ulung Bahar. Katanya penyakit lelahnya itu sudah beransur baik. Dialah yang membawa saya pula bertemu dengan Meon.

Dari Meon pulalah saya mendengar cerita Ulung Bahar mengubat Orang Besar yang hilang tenaga kelelakian itu. Tidak lama kemudian Simah isteri Meon meminta masuk ke bilik kerana dia merasa pening kepala. Tinggallah saya dengan Meon berbual-bual kosong. Pada mulanya saya tidak berniat untuk lama di rumah Meon, tetapi bila Meon bercerita mengenai beberapa kisah di kampungnya yang melibatkan Ulung Bahar, saya tertarik hati pula mahu mendengarnya.

Kata Meon, satu waktu dulu kampungnya diganggu oleh lembaga hitam pada setiap malam. Lembaga hitam ini akan masuk ke dalam rumah dan mencabul wanita-wanita dengan sesuka hatinya. Kebanyakan wanita itu tidaklah diperkosanya, hanya dibukakan pakaian wanita berkenaan, kemudian dia melarikan diri.

Bagaimanapun Ketua Kampung enggan melaporkan kepada polis, kerana orang-orang kampung mahu menangkap sendiri, siapakah yang melakukannya.

Seorang janda beranak terjerit bila tiba-tiba satu lembaga hitam menjelma di depannya. Jeritannya hanya sekaligus saja, kerana selepas itu dia terus kebingungan akibat dipukau oleh lembaga berkenaan. Lembaga hitam itu telah membuka pakaian janda tadi hingga tidak tinggal sebenang pun. Sebelum lari meninggalkan wanita tersebut dia memangkahkan kapur pada kemaluan janda itu.

Satu malam sampai lima enam orang diganggunya. Dia tidak peduli sama ada anak dara, janda atau isteri orang, semua diganggunya. Setelah ditelanjangkan dia akan memangkah kemaluan wanita tersebut dengan kapur. Apakah tujuannya tidak pula diketahui.

Anehnya rumah-rumah yang berdekatan dengan Ulung Bahar tidak pula diganggunya.

Apabila diberitahu pada Ulung Bahar dia juga tidak dapat memberi jawapan. Katanya sukar juga mahu memerangkap lembaga hitam itu, keran tidak tahu rumah mana yang akan diganggunya.

"Kalau kita tahu rumah siapa mahu diganggunya, mudahlah kita memerangkap dia..." jelas Ulung Bahar.

"Apa tujuannya lembaga hitam ni Ulung?" Ketua Kampung hairan dengan suasana yang melanda kampung.

"Ah, ilmu sesat. Ilmu orang tak ingat Allah..." beritahu Ulung Bahar selamba.

Bagaimanapun tiap-tiap malam Ketua Kampung mengarahkan penduduk-penduduk kampung berkawal malam. Lembaga hitam itu pula bagaikan tahu di mana penduduk-penduduk kampung berkawal. Dan dia akan datang mengganggu rumah yang jauh dari kawalan.

Sebenarnya Ulung Bahar boleh memerangkap lembaga hitam berkenaan sekiranya mendapat kerjasama dari penduduk-penduduk kampung. Sayangnya, penduduk-penduduk kampung sendiri tidak mahu bersatu apabila diajak berkumpul di surau. Ulung Bahar mengajak mereka membaca Yassin beramai-ramai supaya lembaga hitam itu tidak dapat lagi masuk mengganggu.

Tetapi sebahagian besar penduduk mahu menangkap lembaga hitam itu. Mereka mahu tahu siapakah orangnya yang berani melakukan perbuatan terkutuk tersebut. Disebabkan Ulung Bahar enggan menerima cadangan orang-orang kampung yang berdendam mahu menangkap lembaga hitam tersebut, maka mereka telah menemui seorang dukun bernama Pak Musiro.

Pak Musiro mendakwa dialah yang menjadi guru kepada lembaga hitam yang mengganggu orang-orang kampung. Mengikut cerita Pak Musiro seorang pemuda telah datang menemuinya untuk belajar ilmu ghaib. Bila ditanya siapakah pemuda berkenaan, Pak Musiro tidak mahu menerangkannya.

"Nantilah, bila dapat kita tangkap, kalian semua akan tau..." kata Pak Musiro.

Pak Musiro ini dipercayai memiliki ilmu ghaib. Pernah di zaman pemerintahan Jepun dia mahu ditangkap oleh askar-askar Jepun. Tetapi askar-askar Jepun tidak menemuinya. Semasa darurat juga gerila komunis mahu menangkapnya, tetapi tidak dapat dikesan di mana dia bersembunyi.

Satu hari seekor babi hutan telah masuk ke kampung menyerang beberapa orang penduduk. Tetapi apabila terserempak dengan Pak Musiro babi hutan itu berpusing-pusing mencari Pak Musiro. Sempat pula Pak Musiro mengasah parangnya sebelum menetak kepala babi itu sampai tersungkur mati.

Mungkin kerana mendengarkan cerita kehebatan Pak Musiro inilah pemuda berkenaan ingin sangat mempelajari ilmu ghaib dari orang tua tersebut.

"Ilmu ghaib macam mana yang kau nak belajar?" tanya Pak Musiro.

"Ilmu ghaib yang ada pada Pak Musiro" sahut pemuda berkenaan.

"Ilmu ghaib ni ilmu jahat..." beritahu Pak Musiro menjelaskan kepada pemuda itu.

"Tetapi kalau mahukan ilmu supaya tidak ditemui oleh musuh, kau boleh amalkan dari Surah Yassin" dia menerangkan selanjutnya.

"Saya bukannya ada musuh..." kata pemuda itu tersengih-sengih.

Pak Musiro telah menerangkan satu cara yang paling sulit dilakukan dengan harapan pemuda tersebut tidak jadi meneruskan usahanya mahu menuntut ilmu ghaib. Lagi pun Pak Musiro bukanlah bersungguh-sungguh mengajarnya. Dia hanya menerangkan satu perkara yang dia sendiri tidak pernah melakukannya. Pendek kata apa yang dicakapkan oleh Pak Musiro itu hanyalah rekaan semata-mata.

Kata Pak Musiro. "Kalau kau berani cubalah".

"Cuba macam mana?" pemuda itu mendesak.

"Aku ingat lebih baik tak usah"

Dia masih lagi mencari akal apakah cerita yang hendak direkanya.

"Saya sanggup buat apa pun Pak Musiro" tegas pemuda berkenaan.

Akhirnya Pak Musiro mendapat satu akal. Dia percaya tentu pemuda itu tidak akan sanggup melakukannya. Memang kalau orang yang waras fikiran pun merasa tidak munasabah dengan apa yang disebutkan oleh Pak Musiro.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-7-2013 12:57 AM | Show all posts
10~ Orang Tua Berserban Kuning

"Apabila ada orang mati, kau ambil abuk papan lahad yang diketam. Dibakar dan ambil abunya. Lepas itu semasa mayat sedang dimandikan, kau masuk ke bawah rumah tempat mayat itu dimandikan dan taburkan abu papan itu di kepala..." ujar Pak Musiro tersengih-sengih kerana pemuda tadi percaya sangat dengan apa yang dicakapnya.

"Lepas tu apa saya nak buat?" tanya pemuda berkenaan dengan yakin.

"Kalau ada apa-apa datang, kau curilah apa saja barangnya" kata Pak Musiro seterusnya.

"Lagi..." pemuda tersebut sedikit pun tidak ragu-ragu akan cerita Pak Musiro.

"Kalau ada sesiapa mengejar kau carilah sungai, dan cepat-cepat menyeberang" ujar Pak Musiro.

Pemuda itu mengangguk lemah. Terasa padanya terlalu berat mahu melakukan seperti yang diterangkan oleh Pak Musiro. Namun dia tidak sedar bahawa Pak Musiro hanya berolok-olok saja untuk melemahkan semangat dia dari meneruskan cita-citanya mahu belajar ilmu ghaib.

Bagi Pak Musiro orang yang akan mengejar sekiranya pemuda itu meneruskan cita-citanya mestilah keluarga si mati. Tentulah mereka marah apabila ada orang melakukan perbuatan demikian semasa si mati dimandikan. Sebab itulah dia sentiasa tersengih-sengih bila memberitahu demikian.

Selepas itu Pak Musiro tidak tahu apa yang berlaku ke atas pemuda tadi. Apabila orang-orang kampung gempar dengan kejadian lembaga hitam mengganggu dan datang menemuinya, Pak Musiro mula teringatkan kepada pemuda yang pernah menemuinya untuk belajar ilmu ghaib itu. Hanya orang yang melakukan ilmu halimunan saja yang boleh hilang dari pandangan orang ramai.

Orang-orang kampung menjadi bingung kerana lembaga hitam itu boleh masuk ke dalam rumah mangsa mengikut lubang yang boleh ditembusi angin. Bagaimana rapat dikunci pun pintu dan tingkap, dia boleh masuk selagi ada lubang yang boleh ditembusi angin.

Setelah berjanji untuk menangkap lembaga hitam tersebut, Pak Musiro pun bersiap-siap dengan ramuan dukunnya. Dia menyediakan tujuh jenis bunga, tujuh biji limau dan tujuh geluk air yang diambil dari tujuh batang sungai. Dia akan memanggil lembaga hitan itu datang ke rumahnya dan akan menggunakan 'pasung bumi' iaitu ilmu kebatinan yang mengunci musuh tidak dapat mencari jalan keluar untuk melarikan diri.

Penduduk-penduduk kampung yang ditugaskan membantu Pak Musiro juga bersiap sedia di sekitar rumah Pak Musiro. Mereka akan menyerbu sebaik saja mendapat isyarat dari Pak Musiro.

Kira-kira jam 9 malam, Pak Musiro memulakan tugasnya. Dia mencucukkan tujuh batang lidi kepada setiap biji limau dan direndamkan ke dalam tujuh geluk yang berisi air dan tujuh jenis bunga. Kemudian Pak Musiro membakar kemenyan sambil mulutnya kumat-kamit membaca mentera.

Lama dia membaca menteranya, tiba-tiba dia hilang dari pandangan orang ramai. Selepas itu mereka terdengar bunyi pergelutan di sekitar rumah itu. Meon yang ditugaskan oleh Pak Musiro membakar kemenyan apabila dia sudah hilang dari pandangan, terus membakar kemenyan yang siap dijampi oleh Pak Musiro.

Orang ramai mahu membantu tidak dapat kerana masing-masing tidak nampak siapakah yang bergelut. Hanya barang-barang di dalam rumah itu saja tunggang-langgang seperti dirempuh. Mereka semua menjadi cemas juga kerana tidak tahu siapakah akan tewas dalam pergelutan itu. Dalam masa mereka tidak ketahuan itu tiba-tiba Pak Musiro terpelanting di hadapan mereka. Termengah-mengah Pak Musiro menahan kesakitan. Mulutnya kelihatan berdarah dengan seluruh badannya calar balar.

Pak Musiro terbaring di lantai dalam keadaan tidak sedar diri. Orang-orang kampung semakin cemas melihatkan Pak Musiro tidak sedarkan diri setelah dipercayai bergelut dengan lembaga hitam yang mengganggu penduduk-penduduk kampung selama ini.

Dua hari Pak Musiro tidak sedarkan diri. Nafasnya mengombak-ngombak. Kuku kaki dan tangannya sudah menjadi lebam. Melihatkan keadaan Pak Musiro semakin tenat Meon pun menyuruh isteri Pak Musiro memanggil Ulung Bahar. Orang-orang kampung selama ini tidaklah menganggap Ulung Bahar sebagai dukun, tetapi sebagai orang tua yang banyak pengalaman saja. Lagi pun Ulung Bahar sendiri tidak suka dirinya dipanggil dukun seperti Pak Musiro.

Jiran-jiran masih ramai berkumpul di rumah Pak Musiro semasa Ulung Bahar datang. Ketua Kampung juga ada sama menziarahi Pak Musiro. Mereka semua merasa terhutang budi kepada Pak Musiro yang sanggup menyabung nyawa untuk menyelamatkan penduduk-penduduk kampung.

Ulung Bahar memegang kepala Pak Musiro. Kesan calar-balar di tubuhnya juga menjadi lebam.

"Musiro bernasib baik..." keluh Ulung Bahar perlahan.

"Dia hampir berjaya, tetapi tak ada orang membantu. Musuhnya hampir kalah, tetapi cepat mendapat bantuan" katanya macam kesal.

Kekesalan yang terpancar di mata Ulung Bahar, ialah orang-orang kampung hanya berharap kepada Pak Musiro semata-mata. Mereka tidak tahu bagaimana harus membantu bila seseorang seperti Pak Musiro menentang gangguan syaitan. Kalau ada salah seorang darinya azan, sudah tentu Pak Musiro lebih mudah menjalankan tugasnya. Disebabkan tidak ada sokongan itulah Pak Musiro dapat ditewaskan.

"Minta aku air sejuk segelas..." Ulung Bahar meyuruh isteri Pak Musiro ambilkan air.

"Meon, ambil wudhuk" perintahnya lalu berpaling pada Meon. Tidak bertangguh Meon mengambil wudhuk.

"Azan..." katanya lagi sambil mencapai gelas air yang dihulurkan oleh isteri Pak Musiro. "Jangan berhenti selagi aku tak suruh" dia memberitahu Meon.

Meon pun azan seperti yang disuruh oleh Ulung Bahar. Kira-kira sepuluh kali Meon azan barulah disuruh berhenti oleh Ulung Bahar. Ketika ini dia merenung ke dalam gelas air di depannya. Ulung Bahar tersenyum sedikit bila merenung ke dalam gelas.

"Bodoh!" itu saja yang orang ramai dengar terkeluar dari mulut Ulung Bahar. Selepas itu mereka melihat mulut Ulung Bahar terkumat-kamit dengan mata terpejam rapat.

Sebenarnya Ulung Bahar sudah ternampak Jalit abang Meon sedang diubat oleh seorang lelaki tua berserban kuning. Jubahnya juga kuning seperti kain Sami Budha. Apabila mereka berdua nampak Ulung Bahar mereka cuba melarikan diri. Ketika ini Pak Musiro sudah menunggu di muka pintu, lalu mereka bertarik-tarikan.

Sebelah tangan Jalit ditarik oleh lelaki tua berserban kuning itu, manakala sebelah lagi ditarik oleh Pak Musiro.

"Kau ajar dia jadi jahat!" pekik Pak Musiro menendang dada lelaki tua berserban kuning itu.

"Bukankah kau yang suruh dia datang kepada aku?" lelaki tua itu mengejek.

"Aku tak suruh...!" sahut Pak Musiro marah.

"Jangan pula kau berdalih" lelaki tua berserban kuning itu menampar muka Pak Musiro.

"Kau suruh dia datang belajar dengan aku, sekarang kau nak berdalih!" ujarnya masih memaut tangan Jalit.

Sementara Jalit pula menjadi bingung tidak bertindak apa-apa walaupun tangannya dipegang oleh orang tua berserban kuning dengan Pak Musiro.

Terkejut juga Pak Musiro bila dituduh demikian. Dia tidak pernah menyuruh Jalit menuntut dari sesiapa pun.

Semua pertengkaran ini dilihat oleh Ulung Bahar. Tetapi yang menerima akibat dari pertentangan itu ialah Jalit dan Pak Musiro sendiri. Mereka berdua yang cedera, manakala lelaki tua berserban kuning itu tidak menanggung apa-apa kecederaan. Setiap tendangan kaki Pak Musiro yang menyinggahi dada lelaki itu semuanya menuju ke sasaran dada Jalit. Seolah-olah Jalit menjadi pelindung lelaki tua berkenaan apabila Pak Musiro membuat serangan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-7-2013 12:57 AM | Show all posts
10~ Orang Tua Berserban Kuning

"Jalit cakapkan siapa yang suruh kau datang menemui aku?" soal orang tua berserban kuning.

"Pak Musiro..." beritahu Jalit.

"Jangan berdusta Jalit!" marah benar Pak Musiro bila Jalit menuduh dia demikian.

"Bukankah Pak Musiro menyuruh aku curi kulit papan yang diketam untuk papan lahad?" Jalit mengingatkan Pak Musiro.

"Pak Musiro suruh aku bakar, Pak Musiro suruh aku ambil abunya. Pak Musiro suruh aku mandi bawah air mandi mayat. Pak Musiro suruh aku taburkan abu kulit papan ke kepala aku...!" jelasnya bergema memukul gendang telinga Pak Musiro.

"Cukup...!" pekik Pak Musiro marah.

Merah padam mukanya bila mengingatkan balik peristiwa dia menipu Jalit yang bersungguh-sungguh sangat mahu belajar ilmu ghaib. Rupa-rupanya Jalit betul-betul melakukan seperti apa yang disuruhnya, padahal dia hanya mereka-reka supaya Jalit lemah semangat.

Sebaik saja diberitahu oleh Pak Musiro petua-petua mencari ilmu ghaib, Jalit tidak memikirkan sama ada Pak Musiro memperolok-olokkan dia atau tidak. Dia sudah nekad akan mencuba seperti apa yang dicakapkan oleh Pak Musiro. Ilmu yang dituntut mestilah atas keyakinan diri sendiri. Sama ada ajaran guru itu betul atau salah tidak boleh difikirkan. Inilah pendirian Jalit apabila menerima peraturan yang disuruh oleh Pak Musiro kalau mahukan ilmu menghilangkan diri.

Kebetulan tidak lama kemudian ada orang meninggal dunia di kampung itu. Jalit terus menziarahi si mati dengan nekad akan melakukan seperti yang dikatakan oleh Pak Musiro. Semasa orang mengetam papan untuk dibuat papan lahad, Jalit terus mengumpulkannya dan membawa ke lubang sampah. Pada penglihatan orang ramai Jalit sangat rajin membantu dengan membuangkan sampah tersebut.

Di situ dia membakar sampah papan diketam tadi. Abunya dibungkus dengan sapu tangan. Dia menunggu sehingga mayat dimandikan di atas rumah kira-kira jam 12 tengah hari. Orang ramai tidak menyedari bahawa dia sudah pun mencangkung di bawah rumah bersetentangan dengan mayat hendak dimandikan. Sebaik saja derau air yang mula dari mayat itu jatuh ke bawah rumah, teruslah menimpa kepala Jalit yang sudah ditaburkan dengan abu sampah papan diketam.

Belum pun selesai mayat itu dimandikan, Jalit nampak lelaki tua datang bertongkat ikut sama mandi bersamanya. Lelaki itu tidak bercakap sepatah pun. Sebelum masuk mandi bersama dengan Jalit, dia meletakkan serban kuningnya pada gelegar rumah, manakala tongkatnya tetap dipegang di tangan.

Jalit memerhatikan apakah barang yang harus dilarikannya dari orang tua itu. Kalau mahu dilarikan tongkat, orang tua itu masih menggenggam tongkatnya erat-erat. Akhirnya terlintas di kepalanya untuk melarikan serban yang tersangkut pada gelegar rumah. Itu saja barang yang ada pada orang tua itu tidak dipakainya.

Setelah melihat orang tua itu asyik mandi di bawah air mandian mayat tadi, Jalit pun meluru mencapai serban kuning yang tersangkut di gelegar. Serentak dengan itu dia mendengar orang tua itu menjerit memanggil dia dan mengejarnya dari belakang. Jalit pun lari sekuat hati menuju ke arah sungai.

Dia sempat menyeberang sungai. Orang tua yang mengejarnya dari belakang tadi tidak dapat menyeberang.

"Pulangkan serban aku!" pinta orang tua tersebut.

"Tidak..." sahut Jalit berbangga dengan kejayaannya melarikan serban orang tua yang sama-sama mandi air mayat tadi.

"Sekarang serban ni kepunyaan aku. Kalau kau mau marilah menyeberang sungai ke sini..." dia megejek-ngejek.

"Memang aku nak beri kau" orang tua itu tersenyum.

"Memang aku tau kau berhajat sangat hendakkan ilmu ghaib. Kau boleh memakai serban itu, tetapi ada syaratnya" beritahu orang tua itu.

"Apa syaratnya?"

"Senang saja..."

"Kalau aku tak ikut syarat?"

"Aku ambil semula serban"

"Ah! aku tak percaya!" Jalit cuba mengelak dari syarat yang hendak dikenakan oleh orang tua tersebut.

Orang tua itu menunding jarinya ke arah Jalit. Dengan tiba-tiba saja serban kepunyaannya melayang dari tangan Jalit terus masuk berlingkar ke hujung tongkat. Jalit terlopong dengan tindakan orang tua berkenaan. Ternyata dia tidak dapat melawannya. Jalit tidak mempunyai apa-apa kelebihan bagi mempertahankan diri dari tindakan orang tua tadi. Dia hanya melakukan seperti apa yang disuruh oleh Pak Musiro dengan tidak bertanyakan lebih lanjut bagaimana kalau dia tidak boleh melawan dugaan.

"Sekarang kau percaya atau tidak?" tanya orang tua itu ketawa berdekah-dekah mengejek Jalit.

Pucat muka Jalit. Dia percaya dirinya tidak akan dapat lari ke mana. Kalau serban di tangannya lagikan mudah dirampas kembali oleh orang tua itu, tentulah dia juga tidak akan dapat  melarikan diri.

"Aku percaya..." sahut Jalit lemah.

"Cakaplah apa syaratnya?" tanya Jalit mengharapkan pertolongan dari orang tua tersebut.

"Kau mesti mencabul 44 orang perempuan!" ujar orang tua itu memberikan syaratnya.

"Tetapi ingat, kau tidak boleh menodai seorang pun..." katanya memberi amaran.

Lama Jalit berfikir sama ada mahu menerima syarat tersebut atau tidak. Alang kepalang dia sudah pun hampir mencapai maksudnya. Cuma syarat itu saja mesti dilakukan.

"Ingat 44 orang perempuan dalam masa dua minggu!" tegas orang tua itu lagi.

"Baiklah, aku sanggup" Jalit memberi pengakuan.

"Kau mesti tandakan sebagai bukti kau telah mencabulnya!" katanya lagi.

"Baiklah!" sahut Jalit tegas.

Serban kuning itu dipulangkan semula kepadanya. Apabila dipakai di kepala Jalit merasakan dirinya boleh berlari kencang. Dia boleh melompat melepasi sungai. Alangkah gembiranya kerana dapat memenuhi maksudnya.

"Kalau kau tak berjaya mencabul 44 orang perempuan, serban itu aku ambil semula" beritahu orang tua itu menghilangkan diri dari pandangannya.

Untuk memenuhi tuntutan itulah Jalit terpaksa melakukan perintah orang tua berjubah dan berserban kuning itu. Apabila dia balik ke rumah hari itu dia telah bertemu Meon sedang mengembala lembu masuk ke kandang. Jalit memanggil Meon, tetapi Meon berpusing-pusing mencari suara Jalit yang memanggilnya.

Apabila serban itu ditanggalkan barulah Meon melihat dia. Meon juga tidak nampak serban yang dipegang di tangannya. Sejak itulah kegemparan berlaku di kampung itu mengenai lembaga hitam mengganggu perempuan. Setiap malam sekurang-kurangnya tiga orang perempuan telah dicabul. Kemaluannya dipangkah dengan kapur. Kesemua mangsa mengakui bahawa mereka tidak dinoda oleh lembaga hitam tersebut.

Hinggalah Jalit tidak dapat mengelak bila bertembung dengan Pak Musiro. Dia sudah berjaya mencabul hampir 30 orang perempuan bila namanya diseru oleh Pak Musiro. Apabila dia mahu menyerah kalah kepada Pak Musiro, orang tua yang memberikan dia serban kuning itu datang menjelma. Orang tua itu memerintahkan dia supaya menentang Pak Musiro.

Terpaksalah Jalit menentang Pak Musiro. Tetapi setiap kali memberi tentangan, serangan Pak Musiro terlalu keras. Dia tidak dapat bertahan dari serangan Pak Musiro. Mujurlah orang tua berjubah kuning itu datang menolongnya. Orang tua itu meresap ke dalam tubuhnya lalu sama-sama menyerang Pak Musiro. Akhirnya Pak Musiro terpelanting tidak berdaya lagi untuk bangun menentang.

Jalit juga mendapat cedera parah. Bagaimanapun cederanya dapat diubat oleh orang tua yang menolongnya. Hinggalah Ulung Bahar datang menjelma, barulah Pak Musiro kembali bertenaga untuk melepaskan dia dari genggaman orang tua tersebut.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 25-7-2013 12:58 AM | Show all posts
10~ Orang Tua Berserban Kuning

"Kenapa kau lari?" jerkah Ulung Bahar bila melihat orang tua berserban kuning bergegas-gegas menarik Jalit, tetapi ditahan oleh Pak Musiro.

"Kau takut pada aku?" kata Ulung Bahar menghentakkan tumitnya ke lantai rumah Jalit.

Terpekik Jalit bila Ulung Bahar menekan tumitnya ke lantai. Orang tua berserban kuning itu tertawa berdekah-dekah bila Jalit terpekik.

"Kau takkan menang Bahar..." ejeknya menyakitkan hati Ulung Bahar.

Pak Musiro juga masih memaut tangan Jalit. Dia tidak berjaya melepaskan Jalit dari orang tua berkenaan. Kalaulah Pak Musiro dapat melepaskan tangan Jalit dari genggaman orang tua itu, tentulah mudah bagi mereka menyerang orang tua tadi. Syaitan yang menjelma sebagai orang tua itu berjaya menggunakan Jalit menjadi pelindungnya apabila diserang oleh manusia.

Tetapi Ulung Bahar bukan semudah itu hendak ditentang oleh syaitan. Dia tidak putus asa apabila Jalit dijadikan pelindung syaitan. Ulung Bahar terus azan hingga menggegarkan kawasan rumah Jalit. Pak Musiro tetap berpaut pada tangan Jalit walaupun gegaran bertambah kuat.

"Musiro, kuatkan zikir kau..." Pak Musiro mendengar Ulung Bahar membisikkan sesuatu ke telinganya. Pak Musiro mengangguk.

Dia berzikir mengingatkan kudrat dan iradat Allah. Ketika ini dia merasa gegaran itu tidak menyusahkan dirinya. Pak Musiro terselamat dari gangguan gegaran apabila Ulung Bahar azan.

Hanya orang tua itu saja terhumban ke kiri ke kanan tidak dapat berjejak. Gegaran semakin kuat.

"Nanti..." orang tua itu merayu meminta Ulung Bahar berhenti azan.

Tetapi tangannya tetap berpaut pada Jalit.

"Lepaskan Jalit dulu..." perintah Ulung Bahar.

Dia tidak memberhentikan azannya. Semakin galak Ulung Bahar azan berulang kali, semakin kuat gegaran di sekitar rumah Jalit. Orang tua itu terumbang ambing macam bertih direndang dalam kuali terlompat ke kiri ke kanan.

"Tolong berhentikan! Aku tau kau tak sama dengan Musiro. Aku kalah dengan kau, tolong..." rintihnya memanjang.

"Lepaskan Jalit dulu..." tegas Ulung Bahar.

Selagi dia tidak melepaskan Jalit, Ulung Bahar tidak akan berhenti azan.

Tidak tahan dengan gegaran yang semakin kuat orang tua itu terpaksa melepaskan Jalit. Sebaik saja Jalit dilepaskan, Ulung Bahar menyuruh Pak Musiro lindungkan Jalit. Dia tahu Jalit tidak bersalah. Jalit hanya terpengaruh dengan ilmu sesat yang ditunjukkan oleh syaitan.

"Aku tak bermusuh dengan kau" gerutu orang tua itu marah.

"Aku bermusuh dengan Musiro, biarkan saja Musiro melawan aku" ujarnya menyimpan dendam pada Pak Musiro.

"Kalau kau tak mahu bermusuh dengan aku, biar aku yang bermusuh dengan kau" sindir Ulung Bahar.

"Jangan! Aku tak mahu bermusuh dengan kau...!" sahut orang tua itu lemah.

"Aku nak bermusuh dengan kau...!" jerkah Ulung Bahar.

"Mengapa pula?" dia sengaja mencari jalan mahu mengelakkan diri dari bertentang dengan Ulung Bahar.

"Memang syaitan musuh aku!" balas Ulung Bahar menampakkan kebenciannya.

"Aku nak berlawan dengan Musiro..." beritahu orang tua itu lagi.

"Kenalah langkah mayat aku dulu!" Ulung Bahar terus mencabar.

Orang tua itu berlegar-legar mahu menerkam ke arah Pak Musiro. Belum sempat dia menerkam, Pak Musiro menendang dadanya. Terpelanting orang tua itu akibat ditendang oleh Pak Musiro. Masa ini dia tidak dapat lagi menggunakan Jalit  sebagai pelindungnya. Dia terpaksa menanggung sendiri kesakitan akibat tendangan kuat dari Pak Musiro.

Marah benar dia ditendang oleh Pak Musiro. Cepat-cepat dia bangun mahu membalas semula. Dia menerkam tetapi sempat dielak dengan pantas oleh Pak Musiro.

"Di depan Bahar kau memang handal..." bentak orang tua itu marah.

"Baca Fatihah Musiro..." bisik Ulung Bahar.

Pak Musiro membaca Fatihah tiga kali. Satu putaran angin kencang memutar orang tua tersebut seperti uri gasing berputar ligat. Jeritan orang tua itu bergaung di dalam putaran angin kencang itu. Lama dia diputar angin kencang orang tua itu jatuh tersungkur di depan Pak Musiro.

"Sekarang kau nak lawan Musiro lagi?" kata Ulung Bahar mengejeknya.

Orang tua itu tidak dapat bergerak lagi selepas diputar angin kencang tadi. Ternyata dia terlalu lemah untuk bangun semula. Selama ini dia tidak gentar kalau menentang Pak Musiro. Walaupun Pak Musiro dukun terkenal, tetapi dia tahu mempermainkan Pak Musiro. Apabila kalah dia akan berundur buat sementara dulu. Kemudian akan datang semula mengganggu.

Tetapi dengan Ulung Bahar dia tidak berpeluang mahu mengelak. Ke mana saja bersembunyi dapat diekori oleh Ulung Bahar. Sebab itulah sedapat-dapatnya dia mahu mengelak dari bertemu dengan Ulung Bahar.

"Sekarang kau lawanlah Musiro..." ulangi Ulung Bahar.

"Kau tolong dia, fasal itu aku tak terlawan" rintihnya menyimpan dendam pada Pak Musiro.

"Aku tak tolong dia, kau yang tak terlawankan dia" Ulung Bahar mengejeknya.

Orang tua itu bangun terhuyung hayang. Dia masih berdendam pada Pak Musiro. Sebaik saja dia mahu menerkam, Ulung Bahar membisikkan ke telinga Pak Musiro supaya membaca Surah Al-Ikhlas, Pak Musiro membacanya tiga kali. Tiba-tiba bukit bukau berterbangan menimpa ke arah orang tua itu. Jerit orang tua itu bergema menahan kesakitan.

Pak Musiro melihat orang tua tersebut terhimpit di bawah bukit bukau yang berterbangan menimpanya. Apabila dia membuka mata, dilihatnya Ulung Bahar ada di sebelahnya. Malam itu juga Pak Kadut ayah Meon datang memanggil Pak Musiro kerana Jalit diserang sakit sesak nafas tiba-tiba.

Alangkah terperanjatnya dia bila diberitahu Pak Musiro masih belum pulih dari sakit. Bagaimanapun Ulung Bahar mendoakan segelas air dan menyuruh Pak Kadut membawanya pulang. Air itu hendaklah diberi minum pada Jalit dan disapukan ke dadanya.

"Itulah ceritanya ustaz..." kata Meon mengingatkan semula kisah abangnya tersalah tuntut ilmu.

Sebelum saya balik malam itu, kami telah berjanji fasal mahu menziarahi Ulung Bahar. Ketika saya mahu balik terdengar Simah isteri Meon memekik dari dalam bilik. Bergegas-gegas Meon masuk ke bilik bila mendengar isterinya memekik sebentar tadi. Sebentar kemudiannya dia keluar semula dalam keadaan cemas.

"Jangan balik dulu ustaz..." katanya rusuh.

"Tolong tengokkan Simah dulu" ujarnya tidak ketahuan.

"Astaghafarullah hala'zim..." keluh saya mengikut Meon mendapatkan isterinya di bilik.
Reply

Use magic Report

Post time 25-7-2013 01:41 PM | Show all posts
x der sambungan lagi ker citer nie....
Reply

Use magic Report

Post time 26-7-2013 04:05 AM From the mobile phone | Show all posts
woah... best2 cuma nama dia tu mcm asing sikit. hehe
Reply

Use magic Report

Post time 26-7-2013 02:43 PM | Show all posts
wah..nak sambungan....
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

26-4-2024 04:39 PM GMT+8 , Processed in 0.189595 second(s), 42 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list