Georgetown, 15 Ogos : Puluhan pelanggan di sebuah restoran nasi kandar di Solok Sungai Pinang di sini, yang sedang menjamu selera bergegas beredar apabila terhidu bau busuk yang amat kuat hingga menyebabkan ada antara mereka yang diserang sesak nafas.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam, kelmarin, misteri bau terbabit menimbulkan persoalan antara mereka sebelum diberitahu ia gas amonia yang bocor dari sebuah kilang ais kira-kira 500 meter dari restoran berkenaan.
Menurut seorang pelanggan yang mahu dikenali sebagai Khairul, dia bersama dua rakan sedang makan di restoran terbabit terhidu bau busuk terbabit.
“Kami sudah berada di restoran terbabit kira-kira 30 minit sebelum terhidu bau busuk yang amat kuat.
“Kemudian nampak jentera bomba dan penyelamat lalu kawasan berkenaan dan baru menyedari ia berpunca daripada kebocoran gas sebuah kilang ais berhampiran,” katanya.
Menurutnya, dia dan rakan serta berapa pelanggan lain berasa pening dan loya, malah ada yang sesak nafas.
ANGGOTA bomba mengawal dan memeriksa kebocoran injap gas amonia di sebuah kilang ais.
Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebocoran gas di sebuah kilang ais di Solok Sungai Pinang berhampiran Lebuhraya Dr Lim Chong Eu kira-kira jam 12.35 tengah malam.
“Bomba tiba 10 minit kemudian di lokasi kejadian dan Pasukan Khas Tindakan Bahan Berbahaya (HAZMAT) Balai Bomba Jalan Perak memeriksa dan mendapati terdapat kebocoran injap gas amonia di kilang terbabit.
“Keadaan terkawal sepenuhnya kira-kira sejam kemudian dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan kami sudah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.
p/s hamdalah...tak jadi tragedi Bhopal di Penang...
|