Frankfort: Seorang wanita dari Kentucky yang pernah bertindak kejam terhadap haiwan peliharaannya dipercayai dimakan puluhan anjing serigalanya selepas dia mati. Mayat Patricia Ritz, 67, ditemui di kediamannya di Fordsville oleh polis selepas jiran tetangga membuat laporan yang mereka tidak melihat kelibatnya lebih daripada seminggu, lapor NBC News. Pihak berkuasa yang memeriksa kediamannya kemudian hanya menemui rangka manusia dan tulang rahang yang dipercayai milik Patricia, menurut laporan stesen televisyen WHAS 11. Polis percaya Patricia maut selepas jatuh sakit dan haiwan peliharaannya yang terbiar tanpa diberi makan selepas kematian wanita itu kemudian memakan mayatnya. Menurut laporan stesen WFIE, Patricia sebelum ini pernah disabitkan dengan kesalahan menzalimi haiwan pada 1986.
Badan sukarelawan haiwan Adopt-A-Husky memberitahu stesen berkenaan, kesalahan pertama Patricia membabitkan 50 anjing walaupun tidak dijelaskan apa kesalahan yang dilakukannya. Pada tahun berikutnya ketika dia tinggal di Evansville, Indiana, Patricia didapati bersalah terhadap lima pertuduhan mendera haiwan dan dilarang daripada membawa masuk anjing ke negeri itu. Dia dituduh menzalimi haiwan sekurang-kurangnya lima kali lagi selepas 1986 hingga 2003. Dalam satu kejadian pada 1999, pihak berkuasa menemui 184 anjing di kawasan kediamannya tidak terurus dan terpaksa membunuh 159 daripadanya yang dijangkiti wabak penyakit. Mereka membenarkan Patricia memelihara baki anjing berkenaan dengan syarat dia mengkasi haiwan itu. Bagaimanapun, bilangan haiwan berkenaan kian bertambah sejak beberapa tahun lalu. - Agensi
|