Nora Danish
PETALING JAYA: Pelakon Nora Danish mengambil pendekatan untuk tidak lagi menerima tawaran berlakon berwatak wanita manja kerana mula berasa malu.
Nora atau nama sebenarnya Nora Danish Mohd Hanif, 31, berkata, dengan statusnya sebagai seorang ibu kepada Putera Rayqal Ramli Rizal Ashram, 4, dia menganggap watak sebegitu tidak lagi sesuai dengannya.
"Memang saya segan membawakan watak-watak comel dan manja kerana rasa tidak sesuai dengan diri saya. Cukuplah watak itu pernah saya bawa sebelum ini.
"Tambahan pula dengan status saya sebagai ibu serta usia yang semakin meningkat, mungkin saya memerlukan watak-watak yang lebih matang," katanya kepada mStar Online.
Tambah Nora yang dicalonkan bagi pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2013(drama Di Bawah Langit Mu), dia juga mula memilih watak seperti yang dilakonkan dalam filem Bencinta iaitu seorang wanita yang lebih tegas dan serius.
Sementara itu, kata Nora, sehingga hujung tahun ini, dia akan sibuk dengan persiapan teater muzikal Bahayanya Wanita yang bakal dipentaskan bermula 20 hingga 31 Disember depan di Istana Budaya.
Beritahu Nora, buat pertama kalinya dia akan menyanyi menerusi teater tersebut lebih daripada lima buah lagu.
"Dalam banyak-banyak perkara, menyanyi adalah cabaran paling sukar sekali.
"Iyalah, saya bukannya pandai menyanyi sangat. Sehinggakan saya membuat latihan dengan menyanyi karaoke di rumah. Dan pada masa sama mengharapkan agar lagu-lagu yang saya bawakan itu dirakamkan terlebih dahulu sebelum pementasan," selorohnya.