Merpati bukan satu-satunya burung paling romantik. Terdapat satu jenis lagi burung yang turut dikenali bersifat lebih romantik dalam memikat hati pasangannya. Burung yang dimaksudkan itu ialah Bowerbirds.
Bowerbirds termasuk dalam keluarga Ptilonorhynchidae. Kebanyakannya berasal dari kawasan tropika di Australia dan New Guinea. Satu keistimewaan Bowerbirds yang tidak terdapat pada mana-mana burung lain ialah kemahirannya dalam membuat sarang dengan tingkat kerumitan dan nilai artistik yang tinggi. Ia akan menunjukkan kehandalannya itu setiap kali tiba musim mengawan.
Si jantan akan bersiap-siap membuat sarang dengan hiasan indah dan di dalamnya terdapat aneka barang berwarna cerah. Ia turut menggunakan bahan-bahan terbuang atau tercicir seperti plastik, syiling,serpihan kaca, penutup botol, straw dan butang baju. Dalam bab menghias, burungjantan sangat suka menggunakan konsep warna biru. Tapi kenapa biru, tidak warna lain?
Kajian zoologi mendapati bahawa burung betina sebenarnya lebih tertarik pada warna biru. Ini kerana, elemen tersebut jarang ditemukan di habitat burung betina. Atas sebab itu, jantan cuba merebut peluang memikat burung betina dengan mengumpulkan benda-benda berwarna kebiruan.
Sarang berbentuk U, berbumbung tinggi, terbina dari ranting dan rumput kering inilah yang disebut sebagai “bower”. Bermula dari situ,istilah Bowerbirds kemudian diguna pakai dan diberikan kepada keluarga Ptilonorhynchidae. Ia bukan binaan berbentuk sarang semata-mata, tetapi ia boleh dikatakan lebih berupa seperti sebuah rumah. Malah lengkap dengan halaman yang luas, berukuran lima meter.
Si jantan juga akan menari-nari dengan hanya mengepakkan sayap sambil bersiul untuk menarik perhatian burung betina. Sekiranya semua usaha itu masih tidak membawa hasil, si jantan tidak akan merobohkan sarangnya sebagai tanda protes kecewa. Akan tetapi ia akan terus menghias dan mencantikkan sarang tersebut sehingga ada burung betina sudi menerima.
Sumber Artikel : Majalah INFINITI Disember 2014.
Sumber Gambar : Google Image
Last edited by bianglala on 21-12-2014 08:52 PM
|