CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2260|Reply: 1

Banjir, hudud siapa?

[Copy link]
Post time 2-1-2015 09:09 PM | Show all posts |Read mode

JUGA DARIFaisal Tehrani





Banjir, hudud siapa?

Pada hujung tahun 2014, Malaysia mengalami bencana banjir besar yang dahsyat. Di Kelantan sahaja, pada 29 Disember tahun tersebut, mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan adalah seramai 151,072 orang. Terdapat pelbagai sudut pandang mengenai musibah yang menimpa. Salah satunya adalah sudut pandang agama.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai contoh bertitah memberi pandangan, “Banjir yang menimpa rakyat beta adalah sebahagian daripada qada' dan qadar Allah, dan hal ini harus diyakini.”

Premis yang sama digunakan oleh ahli politik Nik Abduh Nik Abdul Aziz (kanan).

Beliau menyatakan; “Bencana banjir ingatkan umat Islam agar kembali kepada Allah dan jauhi murka-Nya. Ia wajarkan kerajaan Kelantan terus istiqamah laksana syariat Hudud.”

Menteri Besar Kelantan turut membawa rentak yang hampir sama, dan menggesa rakyat Kelantan supaya; “tidak memutuskan doa dan bermunajat kepada Allah SWT kerana banjir pada tahun ini adalah luar biasa”.

Seorang kawanku, pelajar Usuluddin universiti tempatan menyergah memberitahu pendapatnya bahawa banjir besar ini terjadi kerana kelengahan melaksanakan hudud yang telah dirancangkan oleh kerajaan negeri Kelantan untuk sekian lama.
“Ia adalah amaran dari langit”. Demikian ia memutuskan.
Aku membalas, “Aku bersetuju bahawa banjir ini ada kaitannya dengan hudud.”

'Law of nature', Sunnatullah

Teman itu terdiam, hasratnya memang untuk mencucuk dan melakukan provokasi. Ia sama sekali tidak menyangka aku akan menyahut kenyataan tersebut.

Aku kemudian menjelaskan, dalam surah Al-Baqarah ayat 229, terjemahannya;

“Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

Memang ada disebut tentang hudud Allah. Ayat tersebut juga mengatakan janganlah aturan hukum Allah dilanggar, jika dilanggar nescaya akan mendapat padahnya.

Salah satu hukum Allah yang diabaikan oleh kita ialah hukum alam semesta. Hukum ini adalah tetap dan tertakluk kepada sebab dan akibat. Orang bijak pandai memanggilnya law of nature, para agamawan akan menggunakan istilah ‘Sunnatullah’. Dalam bahasa mudahnya, alam yang diciptakan oleh Allah ini terikat dengan ketentuan undang-undang. Sebarang perubahan dan pelanggaran akan mendatangkan musibah. Aturan dan ketentuan alam yang dicipta oleh Allah tersebut amat sempurna dan telah pun cukup serba-serbi.

Allah berfirman, terjemahan surah Al-Mulk ayat 3;

“Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan - (Mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?’

Kertas Tuan Pah Rokiah

Musibah banjir yang berlaku di negara ini, dalam hal ini di Kelantan memang terjadi akibat gangguan sebab dan akibat, atau pelanggaran hudud (dalam bahasa Melayu ia bererti batas) yang telah ditentukan oleh Allah. Dalam hal ini hukum Allah adalah hukum alam yang diciptakan oleh-Nya.

Aku mensekolahkan teman dari pengajian Usuluddin itu. Aku memberitahu, pada tahun 2011, dalam satu makalah akademik berjudul “Implikasi Bencana Banjir Terhadap Sosioekonomi Penduduk Lembangan Kelantan” yang disediakan oleh Tuan Pah Rokiah Syed Hussain dari Universiti Utara Malaysia untuk Persidangan Ekonomi Kebangsaan Malaysia ke VI, perihal pelanggaran hudud Allah ini telah pun disampaikan dengan rapi dan kemas.

Soalnya sekarang, apakah pihak berwajib mendengar?
Dalam kertas ilmiah tersebut Tuan Pah Rokiah menekuni pembangunan guna tanah di Kelantan pada tahun 1984, 1997 dan 2004. Kerakusan manusia melakukan pembangunan dan aktiviti pengawangan (baca: kegiatan masuk poket) pada tahun 2004 misalnya telah dinyatakan bakal mengakibatkan bencana.

Tuan Pah Rokiah dalam kajiannya menjelaskan pelbagai corak guna tanah pada tahun 2004 telah menodai kawasan hutan, hutan semak, hutan paya, hutan rekreasi dan hutan pembalakan.

Beliau mengingatkan, dipetik, “pembangunan ruang yang tidak sistematik menyebabkan bencana terus berlaku, misalnya kejadian banjir yang semakin kerap dengan intensiti semakin meningkat setiap tahun”.

Dalam kertas pembentangan yang sama, pengkaji dari Universiti Utara Malaysia ini menulis, “situasi kejadian banjir di Lembangan Lebir berpotensi menjadi lebih teruk jika ekosistem semula jadi diganggu terutamanya dari segi magnitudnya atau kedalaman air. Lembangan ini terletak dalam Jajahan Kuala Krai yang mana merupakan antara jajahan tertinggi yang mengalami kemusnahan harta benda”.

Banjir memburuk

Ini menjelaskan kepada kita mengapa antara tempoh 1961 sehingga 2006, keadaan banjir di Kelantan semakin teruk, bahkan tempoh lama banjir menjadi semakin panjang ekoran pelanggaran hudud Allah ini. Pada tahun 2000 sebagai misal, tempoh banjir adalah kira-kira 10 hari, kemudian pada tahun 2001 banjir melanda selama 11 hari, manakala tahun 2003 pula selama 9 hari dan pada tahun 2005, banjir berlaku selama 14 hari.

Sebagai sarjana yang bertanggungjawab, Tuan Pah Rokiah mengingatkan; “akibat keghairahan manusia mencipta pembaharuan melalui pembangunan dan pemodenan dalam segenap sudut, namun pada masa yang sama juga manusia telah membuka ruang keterdedahan yang tinggi kepada risiko bencana seperti di Lembangan Kelantan”.

Teguran Tuan Pah Rokiah bukanlah satu-satunya kajian berkaitan pembangunan pincang yang berlaku di negeri Pantai Timur tersebut. Juga pada tahun 2011, dalam kertas “Pembangunan Dataran Banjir Lembah Sireh, Kelantan: Isu dan Cabaran” sekumpulan pengkaji diketuai Mariney Mohd Yusoff dari Universiti Malaya telah pun mengingatkan bahawa pembangunan di dataran banjir Lembah Sireh melibatkan pembinaan pasar raya besar TESCO, apartmen dan pelbagai perubahan guna tanah lain telah mengubah alam sekitar dan boleh mengakibatkan kesan alam sekitar yang negatif.

Umum, khusus orang Kelantan mengetahui apa yang dinamakan sebagai Projek Lembah Sireh ini melibatkan pembangunan dan pengindahan di tebing Sungai Kelantan yang membabitkan kos kira-kira RM2 bilion. Ia adalah sebuah projek pembangunan yang meliputi kawasan seluas 400 hektar menjangkau jajahan Kota Bharu dan Tumpat.

Antara muatan projek tersebut adalah kompleks membeli-belah antarabangsa, bangunan pejabat, pusat komersial, taman perumahan, taman rekreasi, pusat peranginan, hotel, kemudahan marina dan pusat air, taman awam dan jambatan merentangi Sungai Kelantan di Kampung Cina. Pada tahun 2010, menurut laporan media kerajaan negeri Kelantan dikatakan akan mengkaji semula perjanjian Projek Lembah Sireh yang ‘bermasalah’ iaitu kerana pemaju ‘hanya berjaya melaksanakan 50 peratus projek’ dan kerajaan negeri ‘hanya menerima bayaran sebanyak RM7,357,883 daripada pihak pemaju’.

Gambaran yang diberikan adalah projek ini hanya ‘dipermasalahkan’ apabila ia melibatkan kerugian. Hari ini ketika sebahagian besar Kelantan terendam dalam air lumpur kotor, masyarakat boleh menilai semula kenyataan yang dibuat pada tahun 2012, bahawa Projek Lembah Sireh ‘membolehkan kerajaan negeri menyelamatkan wang Persekutuan antara RM500 juta hingga RM600 juta melalui pembinaan benteng tebatan banjir sepanjang 4.6 kilometer’.

Padam jejak jenayah

Berdasarkan kajian-kajian di atas, manusia wajib berhenti menyalahkan Allah dengan mencipta poin argumen berbentuk akidah seperti bencana atau musibah adalah persoalan takdir memandangkan hudud Allah terhadap alam telah pun diganggu dengan begitu haloba sekali. Di negara kita, secara umumnya golongan pemodal syaitan, kapitalis perakus, pembalak iblis sebegitu gemar apabila hujah-hujah keagamaan digunakan untuk memadamkan jejak jenayah yang mereka lakukan apabila mencemar aturan Allah ini.

Justeru memanglah benar hudud dapat dikaitkan dengan banjir yang berlaku di negara ini. Hudud yang dimaksudkan adalah hudud Allah yang telah menetapkan supaya manusia berhenti melakukan kepincangan dan penyelewengan lantas menzalimi diri sendiri. Orang sepertiku memang mengetahui sesungguhnya apabila kami berhujah sebegini, apa alasan atau sanggahan yang akan diberi oleh golongan kapitalis dan pelindungnya yang terdiri daripada orang politik dan penguasa.

Alasan mereka telah pun direkod oleh Allah, dalam surah Al-Baqarah ayat 11 terjemahannya;

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: 'Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi', mereka menjawab: 'Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan'.”
Allah seterusnya mengingatkan manusia, dalam ayat 12 surah yang sama terjemahannya;

“Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.”

Hudud batasan korupsi

Sudah tiba masanya rakyat bangkit menolak alasan keagamaan yang apologetik digunakan oleh ulama dan penguasa. Sudah tiba masanya kerajaan (negeri dan persekutuan) akur dengan saranan dan nasihat berasaskan kajian yang dilakukan oleh ahli akademik di negara ini. Sudah tiba masanya pembangunan sistematik diatur agar hudud Allah tidak dilanggar dan dicopot sehingga menghadirkan bencana yang dahsyat ini.

Nik Abduh, ahli politik muda Kelantan mengatakan; “bencana banjir ingatkan umat Islam agar kembali kepada Allah dan jauhi murka-Nya. Ia wajarkan kerajaan Kelantan terus istiqamah laksana syariat Hudud”.

Ya, Kelantan memerlukan hudud. Malah seisi negara ini memerlukan hudud. Dalam hal ini hudud yang dimaksudkan adalah batasan korupsi, batasan tangan-tangan rakus manusia, batasan pembangunan yang pincang dan batasan hawa nafsu segelintir golongan pemodal yang dilindungi politikus-agamawan. Ya anda benar wahai ulama. Masanya untuk rakyat mengambil alih.

Masanya untuk rakyat melakukan had atau hudud. Masanya untuk orang tertindas mengajar penindas. Jangan dilekakan atau diperbodohkan oleh sangkalan dan pujukan agamawan bahawa ini takdir Tuhan. Banjir ini adalah natijah kerakusan mereka yang berada di atas.

Yang di atas kita adalah rantaian syaitan iaitu ‘peniaga haloba-politikus khianat-agamawan berperangai anjing’. Mereka tidak dapat berada di atas jika kita di bawah tidak menggalas mereka.

Lengserkan mereka dan kita sendiri tetapkan ketentuan Allah seperti mana yang difirmankan oleh Tuhan dalam kitab-Nya. Kita belajar dari banjir kali ini. Kita belajar dari alam.


Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 16-2-2024 02:06 AM | Show all posts
[AceHand SPECTaceLAR]

Sekarang pakat dok bergilir banjir besar...


Jizzz... Klong! Klong!

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Lawak & Santai


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 11:56 PM GMT+8 , Processed in 0.060113 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list