Haiwan jalanan sering kita pandang jijik. Basyar Mustapha bangga dengan sikap mulia anak muda yang tampil membantu haiwan kurang bernasib baik ini.
Hampir setiap hari kita melihat gambar dan video kucing comel yang dimuat naik di laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya. Kebanyakan kucing berbaka premier ini berbulu tebal, montel dan sungguh manja sehingga apa sahaja ragam mereka kita lihat sangat comel dan menghiburkan. Jadi ramailah yang meletakkan komen ‘comelnya’ dan ‘geramnya mahu peluk’ bagi menunjukkan sayang mereka terhadap haiwan ini.
Namun nasib yang sama tidak diperoleh kucing atau binatang lain di jalanan. Haiwan ini tidak dilihat comel, kurus, bulu tidak gebu malah comot. Akibatnya, mereka tidak diberi perhatian, dibiarkan kelaparan malah ditendang sesuka hati oleh individu yang tidak mengerti kehidupan haiwan itu.
Bagaimanapun, masih ada segelintir individu yang mempunyai belas kasihan terhadap kucing jalanan dan melihat haiwan itu sebagai makhluk Tuhan yang patut disayangi. Kucing yang tidak terbela nasibnya ini dekat di hati Nurzahirah Mohd Tajuddin, 26. Nurzahirah yang dahulunya tidak mempedulikan kucing ini kini membela lebih 15 ekor kucing di rumah. “Sebelum ni memang saya tak pernah terfikir langsung nak jaga dan beri makanan kepada kucing yang saya lihat berkeliaran di luar sana kerana tak terlintas pun nak sayang kat mereka ni. “Tambahan sejak kecil saya tidak pernah mempu-nyai binatang peliharaan kerana tidak digalakkan.
“Satu hari sekitar Oktober tahun 2012 saya terjumpa tiga ekor anak kucing di tepi rumah tunang saya.
“Saya kasihan melihat haiwan itu kelaparan dan mencari-cari makanan. Timbul perasaan ingin memberi mereka makan dan membersihkan mereka. “Selepas memberi makanan timbul perasaan sayang pada mereka dan saya dan tunang pun mengambil keputusan mahu menjaga mereka,” katanya. Menurutnya, sejak menjaga kucing dijumpai itulah dia dan tunangnya mula mempunyai perasaan sayang terhadap binatang teraniaya.
“Bayangkanlah daripada saya takut hendak pegang kucing kepada mahu pegang dan belai kucing-kucing ini dan sekarang saya jaga 15 kucing di rumah. “Saya anggap kucing jalanan yang saya bela ini sebagai anak sendiri dan kucing yang kami terserempak di luar pula sebagai anak angkat,” katanya. Nurzahirah juga masih ingat lagi beberapa kisah yang menyentuh hatinya ketika terserempak dengan kucing yang sempat diselamatkannya.
“Satu hari saya lalu di restoran makanan segera dan ada seekor kucing berhampiran pintu restoran itu kelihatan kelaparan dan mengharap orang memberi makan kepadanya. Berpuluh-puluh orang yang lalu dan keluar masuk namun langsung tidak mempedulikannya. “Tanpa buang masa saya pun membawanya pulang dan memberinya makan dan membersihkan haiwan itu. “Lagi satu kucing jalanan saya jumpa dengan kaki yang putus dan berdarah-darah, tidak sanggup melihatnya terus begitu dan tidak mahu luka itu melarat, saya bawa-nya ke klinik haiwan untuk memberi rawatan dan membawanya pulang,” katanya.
Menurut Nurzahirah, setiap kucing yang dibawa pulang akan diberi rawatan mengikut keadaannya. Setiap beberapa bulan juga dia dan tunang akan membawa haiwan itu ke klinik untuk pemeriksaan kesihatannya.
“Saya gembira melihat mereka sihat dan tidak lagi kelaparan, malah ia memberi saya satu kepuasan kerana dapat membantu makhluk ciptaan Allah ini. “Apabila difikirkan, kita perlu bersyukur diberikan akal dan fikiran tidak seperti haiwan ini, jadi tidak -salah kita berkongsi rezeki kita dengan haiwan kurang bernasib baik ini. - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/29854#sthash.V3vSK9AJ.dpuf
|