CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1381|Reply: 0

KL rampas semula juara boling

[Copy link]
Post time 12-3-2015 10:35 AM | Show all posts |Read mode
                            SKUAD boling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya merampas semula kedudukan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Boling Antara Negeri Ke-28 yang menutup tirainya di sini, hari ini.
          
        Pada kejohanan itu, yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, skuad ibu kota itu mengumpul lapan pingat emas, lima perak dan lima gangsa.
        Kedudukan itu diikuti Selangor dan Perak dengan masing-masing mengumpul 3-6-1 dan 3-0-1.
        "Berdasarkan kepada prestasi yang dipamerkan semasa pertandingan, saya  melihat skuad kali ini mampu mengulangi kejuaraan.
        "Saya amat berpuas hati dengan persembahan atlet-atlet kita terutamanya daripada atlet remaja yang kita gilap untuk menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) tahun hadapan," kata jurulatihnya Steven Teng kepada Bernama di sini.        
       
        Kejayaan itu adalah yang keempat buat skuad Kuala Lumpur selepas muncul juara keseluruhan pada 1990, 2012 dan 2013.
        Mereka berjaya menambah lima lagi pingat emas pada hari terakhir melalui acara berpasukan lelaki, remaja lelaki dan remaja perempuan serta dua pingat emas melalui acara keseluruhan individu melalui Muhd Rafiq Ismail dan Qalif Adnor masing-masing dalam kategori lelaki dan remaja lelaki keseluruhan (all-events).
        Bagi Muhd Rafiq, 18, kejayaan meraih tiga pingat emas pada kejohanan kali ini adalah permulaan yang baik buat dirinya, yang  kembali aktif selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pulih daripada kecederaan retak tulang lengan kiri tahun lepas.
        Beliau meraih pingat emas dalam acara keseluruhan, beregu dan berpasukan lelaki.
        "Saya berpuas hati dengan prestasi saya setakat ini dan kejayaan ini memberi keyakinan untuk terus meningkatkan prestasi saya," kata Muhd Rafiq, yang akan membawa cabaran negara di Kejohanan Boling Remaja Asia di Macau pada 22 Mac hingga 1 April ini.
       
        "Berdasarkan prestasi di sini (Kejohanan Boling Antara Negeri) saya mula mendapat balik rentak permainan dan saya akan cuba untuk mendapat tempat yang baik dalam Masters pula (Kejohanan Boling Kebangsaan Malaysia) hujung minggu ini," katanya yang menyimpan hasrat untuk mewakili negara buat pertama kali di Sukan SEA Singapura pada Jun depan.
        Sementara itu, pemain Perak Syaidatul Afifah Badrul Hamidi menafikan peluang Sharon Koh untuk menambah pingat emas buat Kuala Lumpur selepas berjaya mengatasi dengan kelebihan 128 pin untuk pingat emas acara keseluruhan wanita.
        Selain pingat emas keseluruhan wanita, Syaidatul Afifah turut membantu pasukan Perak meraih pingat emas dalam acara berpasukan wanita.
        "Saya rasa kejayaan hari ini adalah kerana semua pemain memberi fokus terhadap balingan masing-masing walaupun dua daripada anggota pasukan tidak dapat membuat latihan sepenuh masa sebab bekerja namun mereka bermain dengan baik sekali.
        "Saya harap prestasi saya akan terus meningkat untuk menghadapi lain-lain kejohanan akan datang," kata Syaidatul Afifah, yang turut menyimpan hasrat untuk mewakili Malaysia di Sukan SEA buat kali pertama.
        Beliau dijadual mewakili negara ke Brunswick World Challenge di Jerman minggu hadapan. - Bernama
               

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

26-4-2024 09:46 PM GMT+8 , Processed in 0.075159 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list