Sejak mula si ibu sudah merasakan ada yang tak kena dengan bakal menantu. Tapi sebab anak dah suka, si ibu turutkan saja. Namun dia mula kesal dengan sikap menantu yang langsung tak bertanggungjawab malah menyebabkan hidup anaknya terseksa. Selebihnya dia terkilan dengan sikap kurang ajar menantu.
Semasa bekerja, dia mempunyai seorang kawan dan si ibu tak kisah siapa pilihannya. Tapi sayang, hubungan itu tidak menjadi kerana kata anak, hatinya sudah tertarik pada orang lain. Sebagai ibu, naluri hatinya tak begitu senang dengan pilihannya kali itu. Si ibu pernah bertemu dengan bakal menantu dan diberitakan ada rumah, kereta, kerja dan sebagainya. Tapi kerana anak yang nak kahwin, dia turutkan saja katanya.
Nyata selepas itu masalah melanda. Dua minggu sebelum kahwin, duit hantaran tak cukup lagi. Janjinya RM8000, bila si ibu dah bising-bising dia bagi RM3000.
Selebihnya katanya, diberikan pada anak. Betul atau tak, hanya Allah yang tahu. Tapi apa yang buat dada si ibu nak pecah, rupanya dia menjual enjin kereta anaknya untuk mendapatkan modal hantarannya. Sekarang kereta itu jadi bangkai kerana sudah tak boleh digerakkan lagi. Sakit hati si ibu sebab kereta itu dibeli untuk memudahkan dia bergerak ketika belajar dahulu.
Tiba hari perkahwinan, bapa pengantin lelaki tegur: 'kenapa ada bunyi-bunyian di majlis perkahwinan.' Seolah-olah keluarga tidak tahu hukum.
Lepas kahwin, si anak di Seremban dan menantu di Melaka, tinggal dengan emaknya. Namun sebelum itu, dia ada datang ke rumah mahu meminjam RM900 nak bayar duit sewa. Rupanya itu semua tipu helahnya nak dapatkan duit daripada si ibu yang sudah tua.
Lapan bulan berumah tangga, anak disahkan mengandung dan dapat pertukaran kerja di Klang. Tapi malangnya, dia hanya mengemas sendirian barangnya tanpa suami menolong. Sakit hati ibu hadap perangai menantu. Itu belum lagi kes dia jarang balik hanya anaknya yang ulang alik ke Melaka dari Klang. Duit pun anak (isteri) yang bagi kerana menantu malas bekerja.
Semakin perut anak membesar, satu pun barang keperluan anak tak disediakan. Si ibu sudah mula bising dengan perangai menantu.
Tiba hari anak bersalin dan kebetulan rumah kami tiada air. Disebabkan bekerja, jadi menantulah yang pergi carikan air. Ingatkan dia sudah berubah malah si ibu juga nekad berhenti kerja untuk menjaga anak sulungnya.
Kemudian menantu memaklumkan dia nak berpindah rumah. Biarpun isterinya dalam pantang tapi katanya, isteri mesti ikut juga cakapnya. Itu yang buat si ibu sakit hati sedangkan bila ditanya bila nak kerja, katanya tunggu anak habis pantang.
Ketika usia cucu empat bulan, dia dihantar ke rumah si ibu. Ya ibunya menjaganya dengan penuh kasih sayang tanpa meminta sesen pun duit anak menantu.
Anak kata dia mahu tukar kereta. Ibunya membantah, pakai saja kereta lama yang tiada hutang memandangkan suaminya tidak bekerja. Malangnya menantu tetap jual kereta lama dan beli kereta baru. Tak lama kemudian kereta ditarik kerana tak mampu bayar. Nama anak disenaraihitamkan, dan dia juga susah kerana tiada kenderaan.
TAK BOLEH PEGANG CUCU
Pernah si ibu ke rumah anak, bila pegang cucu, menantu terus merampasnya daripada tangan si ibu. Katanya sampai bila-bila pun si ibu tak boleh pegang anaknya. Bila ceritakan pada anak, dia menangis-nangis minta maaf.
Daripada anak hidup terseksa, lebih baik dia pulang duduk dengan kami. Tapi anak enggan. Perangai menantu pula semakin kurang ajar hingga sampai satu tahap dia tak menghormati kami sebagai mentua. Cakap pun, guna bahasa aku engkau saja.
Jarang menantu lelaki tak sebulu dengan mentua, tapi kalau dah jadi memang dasyat. Bantulah si ibu menangani menantu yang kurang ajar ini. macam mana ya, apa pendapat anda? mingguanwanita
|