#APO2016 Iktiraf Penggiat Digital
KUALA LUMPUR: Kumpulan Media Star Berhad buat julung kalinya menganjurkan program khas yang dikenali sebagai Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) bagi mengiktiraf penggiat pelbagai industri yang aktif menerusi dunia digital.
APO2016 yang dikendalikan portal berita mStar Online dan Suria FM dengan tajaan produk kosmetik Dnars memperkenalkan 18 kategori membabitkan sembilan dalam bidang hiburan, tiga kategori sukan dan lima lagi kategori gaya hidup. Majlis pelancaran APO2016 disempurnakan oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai di Zebra Square di sini pada petang Khamis.Yang turut hadir ialah Pengerusi Kumpulan Radio Star, Datuk Dr Aminuddin Mohd Rouse; Pengasas D'nars, Faziani Rohban Ahmad; Timbalan Pengarah Saluran TV RTM, Che Rohana Che Omar dan Pengarang Eksekutif mStar Online, Rozaid A Rahman.
Sementara itu, selain 17 kategori yang akan diperkenalkan, kategori kemuncak akan dikenali dengan nama Selebriti Terunggul APO yang dipilih berdasarkan undian tertinggi menerusi keseluruhan kategori yang dipertandingkan.
Sembilan kategori hiburan yang dipertandingkan melibatkan Aktor Terbaik Pilihan Online, Aktres Terbaik Pilihan Online, Penyanyi Lelaki Terhebat Pilihan Online, Penyanyi Wanita Terhebat Pilihan Online, Lelaki Tampan Pilihan Dnars, Wanita Anggun Pilihan Dnars, Selebriti Komedi Pilihan Online, Grup Pilihan Online dan Penyampai Radio Pilihan Online.
Sementara itu tiga kategori sukan ialah Bintang Sukan Lelaki Pilihan Online, Bintang Sukan Wanita Pilihan Online dan Pasukan Pilihan Online.
Bagi lima kategori lain dalam kategori gaya hidup pula ialah Ikon Fesyen Pilihan Online, Ikon Niaga Muda Pilihan Online, Blog Pilihan Online, Chef Selebriti Pilihan Online dan Selebriti Media Sosial Pilihan Online.
Pemilihan pemenang adalah berdasarkan 70 peratus pengundian secara dalam talian sementara 30 peratus lagi adalah menerusi juri profesional.
Selain itu pembaca mStar Online dan pendengar Suria FM boleh terlibat dalam pengundian awal untuk mencari lima pencalonan utama bagi setiap kategori yang dibuka bermula 3 Mac (hari ini) hingga 31 Mac.
Selepas itu proses pengundian lima pencalonan bagi mencari pemenang utama setiap kategori pula dibuka bermula 1 April hingga 27 April depan.
Pencalonan dan pengudian secara dalam talian boleh dibuat dengan melayari laman web khas iaitu http://apo.mstar.com.my.
Sebarang perkembangan terkini mengenai APO2016 juga boleh diikuti di laman Facebookhttps://www.facebook.com/AnugerahPilihanOnline.
Anugerah yang bertemakan Glam Digital itu bakal bersiaran secara langsung di TV2 pada 30 April depan.
|