KUALA LUMPUR: Pindaan kepada Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) atau akta antilompat parti perlu dibincang dengan teliti dan dipersetujui secara dwipartisan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) tiada masalah dan bersedia mengusulkan pindaan terhadap akta itu, sepertimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu. "Sekarang kerajaan bersetuju nak tengok (pindaan) itu. Terpulanglah, tak ada masalah... kalau Perdana Menteri arah saya dalam mesyuarat Kabinet untuk membawa nota dari segi dasar baharu pun tak ada masalah, saya bersedia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bangunan Parlimen, di sini hari ini. Jumaat lalu, Anwar berkata kerajaan terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi membaiki kelompangan yang wujud dalam akta berkenaan. Ia susulan pertikaian terhadap akta antilompat parti susulan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkait enam kerusi milik enam Ahli Parlimen BERSATU yang kehilangan keahlian dalam parti. Pada 20 Jun lalu, BERSATU mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri dikosongkan. Notis dikemukakan berdasarkan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan, iaitu seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan dan kerusinya menjadi kosong apabila tidak lagi menjadi anggota parti politik. Bagaimanapun, Johari pada 11 Julai menegaskan keputusan berhubung status enam bekas Ahli Parlimen BERSATU itu kekal, menyebabkan pihak pembangkang keluar Dewan beramai-ramai kerana tidak berpuas hati. Enam Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang). Sumber : Berita Harian |
ADVERTISEMENT