SACRAMENTO, CALIFORNIA – Seorang lelaki di negeri California terkejut apabila mendapati bil elektriknya melambung tinggi selama bertahun-tahun disebabkan oleh jirannya, lapor agensi berita United Press International kelmarin. Kel Wilson yang tinggal di sebuah apartmen sejak 2006, dikatakan melakukan pelbagai cara untuk mengurangkan penggunaan elektrik. Bagaimanapun, dia masih menghadapi masalah yang sama, menyebabkan dia menghubungi syarikat pembekal Pacific Gas and Electric (PG&E) untuk membuat pemeriksaan. “Saya fikir ada kebocoran atau individu yang mencuri bekalan elektrik atau kerosakan pada meter kerana saya merasakan ada sesuatu yang tidak betul,” kata Wilson. Misteri akhirnya terungkai apabila syarikat tersebut mengenakan bayaran yang silap selama 18 tahun. “Syarikat itu menghitung bayaran untuk dua rumah, rumah saya dan unit sebelah,” tambahnya.
Susulan itu, PG&E berkata: “Kami mengakui kesilapan dalam hal ini dan kami komited sepenuhnya untuk membetulkan keadaan dengan pelanggan”. – AGENSI Sumber – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT