Washington: Nilai bersih kekayaan pemilik Tesla dan SpaceX, Elon Musk melepasi AS$400 bilion (kira-kira RM1.772 trilon), menurut Indeks Bilionair Bloomberg. Angka semalam itu, menetapkan satu pencapaian baharu untuk orang terkaya di dunia. Lonjakan kekayaan, lapor saluran berita perniagaan, berlaku selepas SpaceX dan pelaburnya bersetuju untuk membeli AS$1.25 bilion (kira-kira RM5.54 bilion) saham dalaman menerusi urus niaga yang menilai syarikat roket dan satelit itu pada kira-kira AS$350 bilion (kira-kira RM1.55 trilion). Transaksi itu meningkatkan kekayaan peribadi Musk kira-kira AS$50 bilion (kira-kira RM221 bilion) kepada AS$440 bilion (RM1.94 trilion), kata Bloomberg. Kekayaan Musk, sebahagian besarnya berdasarkan harga saham Tesla dan penilaian SpaceX, mengambil lonjakan besar selepas Donald Trump memenangi pilihan raya presiden Amerika Syarikat bulan lalu.
Harga saham Tesla naik kira-kira 65 peratus sejak hari pengundian pada November lalu. Musk menjadi penderma politik terkemuka dan penyokong Trump, menyumbang AS$270 juta (kira-kira RM1.1 bilion) dalam kempen Parti Republikan. Beliau menjadi pendamping setia untuk Trump sejak kemenangan pemimpin itu dalam pilihan raya itu termasuk menjemputnya untuk menonton pelancaran roket di Texas oleh syarikat SpaceX miliknya. Perniagaan Musk semuanya mempunyai tahap interaksi yang berbeza-beza dengan kerajaan AS dan asing serta hubungan rapatnya dengan Trump. Ia menimbulkan kebimbangan bahawa Musk akan memberi kelebihan kepada kepentingannya sendiri. Musk juga dijangka mendapat pengurangan dalam peraturan untuk Tesla serta penghapusan kredit cukai ke atas kenderaan elektrik yang akan 'menghukum' pesaing pembuat kereta itu. Trump memilih Musk untuk mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan, yang bersedia untuk memberikan berbilion dolar pemotongan dalam perbelanjaan persekutuan. Sumber – Harian Metro |
Firenzza replied at 12-12-2024 06:20 PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa Tesla mengalami kerugian dan bergelut dengan persai ...
ADVERTISEMENT