Melaka: Buaya tembaga jantan dianggarkan seberat 400 kilogram berjaya ditangkap menggunakan kaedah tajur atau tali jerut berhampiran Pintu Kawalan Air Pasang Surut di Kampung Tengah, Klebang, di sini, malam tadi. Buaya sepanjang 4.3 meter itu berjaya dijerut anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka pada jam 10 malam. Pengarahnya Petra Sulai berkata, reptilia itu dikesan berkeliaran di kawasan berkenaan pada jam 5 petang oleh 12 anggota Perhilitan termasuk dari Perak dan Selangor yang membantu operasi mengesannya sejak 13 Disember lalu. Menurutnya, sebaik mengesan buaya itu berenang berhampiran empangan Pintu Kawalan Air Pasang Surut berkenaan, anggotanya memasang tajur. "Tajur ini seakan jerut guna tali yang kuat berdasarkan pengalaman 'otai' kakitangan Perhilitan yang membuat tangkapan buaya melebihi 30 tahun.
"Tiga kali cuba, kami gagal menjerut mulut buaya itu kerana ia tidak keluar dari empangan dan cuba melarikan diri menghala ke hulu Sungai Malim. "Namun, jerut buat kali keempat dipasang kira-kira jam 8 malam mengena dan buaya itu berjaya dijerut pada badannya pada jam 10 malam," katanya ketika dihubungi, hari ini. Mengulas lanjut, Petra berkata, pihak turut dibantu kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran dalam operasi itu yang sentiasa mengemas kini maklumat kehadiran buaya di pintu kawalan air berkenaan. "Hampir dua jam anggota kita bertungkus-lumus menarik buaya itu ke longkang berdekatan sebelum dinaikkan ke darat. "Untuk rekod, ini tangkapan kelima buaya tembaga di negeri ini sejak Mei lalu iaitu dua masing-masing di Kampung Tengah dan Sungai Malim serta terbaru pada 11 Disember lalu di Kompleks LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) Kuala Linggi," katanya. Menurutnya, reptilia yang ditangkap itu dipercayai membaham tiga kambing penternak di Kampung Tengah dan dihantar ke kawasan konservasi di lokasi sementara malam kelmarin untuk pemeriksaan kesihatan. Sementara itu, suasana operasi penangkapan buaya itu bagaikan 'pesta' apabila orang ramai termasuk penduduk Kampung Tengah mengerumuni kawasan berkenaan untuk melihat secara langsung anggota Perhilitan menangkap reptilia terbabit hingga berlaku kesesakan jalan raya di Jalan Klebang sejauh hampir satu kilometer. Sumber – Harian Metro |
ADVERTISEMENT