KUALA LUMPUR: Harga emas berupaya mencecah paras tertinggi baharu pada 2025, rekod baharu AS$3,000 (RM13,504.80) seauns atau RM434.19 segram melepasi paras kemuncak AS$2,788 (RM12,550.40) atau RM403.50 segram yang dicatat Oktober 2024, dipacu oleh dasar monetari global yang longgar, ketidakpastian fiskal dan persekitaran geopolitik.
Ketua Pegawai Eksekutif Nubex Sdn Bhd, Mohd Faizal Mohd Nor, berkata kembalinya Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) serta perubahan dasar fiskal di Malaysia seperti inisiatif rangsangan ekonomi dan pelarasan cukai turut boleh mempengaruhi pasaran emas tempatan.
"Pada 2024, emas mencatat peningkatan sekitar 30 peratus, mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap potensi aset ini. Di Malaysia, sekiranya dasar fiskal atau monetari pada 2025 cenderung menyokong pertumbuhan ekonomi melalui kadar faedah rendah atau insentif pelaburan, ia boleh meningkatkan permintaan emas dalam kalangan pelabur tempatan.
"Dasar monetari global yang longgar, inflasi, dan konflik geopolitik kekal sebagai pemacu utama. Di Malaysia, jika Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar faedah rendah untuk menyokong ekonomi, ini akan meningkatkan daya tarikan emas sebagai aset alternatif.
"Selain itu, dasar fiskal domestik seperti subsidi atau tumpuan kerajaan kepada sektor strategik juga boleh mempengaruhi sentimen pasaran emas," katanya kepada BH.
Mengulas lanjut, Mohd Faizal berkata, purata harga emas dijangka didagangkan berlegar sekitar AS$2,750 (RM12,379.40) seauns atau RM398 segram sepanjang tahun ini.
"Permintaan emas dari China dan India kekal signifikan. Di Malaysia, permintaan emas fizikal tempatan, sama ada untuk perhiasan atau pelaburan, turut dipengaruhi oleh kemampuan pengguna yang bergantung pada dasar fiskal seperti cukai atau subsidi kerajaan.
"Sekiranya ringgit terus lemah berbanding dolar AS, harga emas di Malaysia dijangka melonjak. Di samping itu, dasar monetari BNM seperti pelarasan kadar faedah akan turut mempengaruhi pergerakan harga emas tempatan," katanya.
Beliau menjelaskan, pelabur boleh mengambil peluang dengan menyesuaikan strategi berdasarkan perkembangan dasar global dan domestik.
"Di Malaysia, kadar faedah yang rendah atau insentif cukai untuk pelaburan mungkin membuka ruang kepada pelabur untuk meningkatkan portfolio emas mereka," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berpendapat, ketidakpastian ekonomi dan geopolitik menjadi pemacu utama daya tarikan emas sebagai aset selamat.
Katanya, korelasi rendahnya dengan kelas aset lain menjadikannya aset yang kukuh ketika kejatuhan pasaran dan pergolakan geopolitik.
"Di Asia, pemilik emas fizikal menunjukkan keengganan untuk menjual, kemungkinan kerana emas menyediakan perlindungan terhadap kelemahan mata wang di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang semakin memuncak.
"Keengganan umum untuk menjual emas secara singkat, walaupun nilainya meningkat dengan ketara, menonjolkan faktor optimistik yang mendalam," katanya.
Innes berkata, elemen utama seperti defisit fiskal AS, diversifikasi bank pusat dalam emas, lindung nilai inflasi serta ketegangan geopolitik mendorong harga emas mencapai tahap tertinggi, walaupun di tengah-tengah pengukuhan dolar AS dan kenaikan hasil bon AS.
"Ramai yang amat menanti-nantikan terhadap dasar perdagangan global Trump yang berpotensi mewujudkan gangguan hanya akan mengukuhkan prospek emas.
"Walaupun permintaan spekulatif di Barat mungkin berkurang, yang mempengaruhi harga niaga hadapan, jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) untuk memperlahan pemotongan kadar pada 2025 disebabkan permintaan perkhidmatan dan pengguna yang kukuh di AS, tidak akan menjejaskan emas," katanya.
Beliau menegaskan, walaupun kadar statik oleh Fed, harga emas mungkin tetap meningkat, terutamanya jika perang dagang mendorong bank pusat global mengurangkan kadar, sambil mengukuhkan dolar AS yang secara tradisinya melemahkan harga emas.
"Melangkah ke hadapan, daya struktur yang telah mendorong kenaikan emas kekal kukuh. Apabila bank pusat BRICS terus mengumpul emas dan permintaan Asia meningkat — baik secara bermusim mahupun sebagai lindung nilai mata wang, sokongan asas untuk emas semakin kukuh.
"Bank pusat juga menjadi lebih sensitif terhadap harga dalam strategi pembelian mereka, kemungkinan memilih untuk membeli ketika harga rendah berbanding mengejar harga tinggi, meletakkan harga lantai emas yang kukuh," katanya.
Menjelang separuh kedua 2025, Innes berkata, jika pertumbuhan AS terjejas akibat konflik perdagangan seperti semasa perang dagang yang lalu, kitaran baru pemotongan kadar mungkin menghidupkan semula minat pelabur terhadap dana dagangan bursa (ETF) emas.
"Potensi peningkatan permintaan emas fizikal ini akan memberikan kesan yang sangat positif terhadap logam berharga itu.
"Walaupun peralihan kepada Fed yang lebih ketat mungkin memberi tekanan sementara pada emas, sebarang kemerosotan ekonomi boleh membuka jalan untuk kenaikan (emas) yang lebih ketara," katanya.
Emas menikmati tahun yang cemerlang pada 2024 dan sebahagian besar daripada pergerakan adalah berdasarkan jangkaan peralihan ke arah persekitaran kadar faedah yang lebih rendah.
Sumber : - Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|