Isteri Ridzuan Ridzokumura iaitu Akiko Okumura meninggal dunia pada Jumaat.
Berita duka itu disahkan sendiri oleh Ridzuan atau Abd Ridzuan Abdul Mutalib, 50, yang memaklumkan perkara itu menerusi Instagram miliknya.
Ridzuan dalam hantaran tersebut memberitahu isterinya sudah meninggalkan dia dan anak lelaki mereka buat selama-lamanya.
"Al-Fatihah buat arwah isteri saya Akiko telah pergi meninggalkan saya dan anak selamanya," katanya.
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen terkejut mendengar khabar duka itu kerana baharu semalam (Khamis) mereka melihat Ridzuan dan Akiko dalam sesi siaran langsung di TikTok.
"Abang (Ridzuan) baru tengok live Akiko. Betul ke ni Abang Riz?
"Masa live semalam (Khamis) saya Nampak muka Akiko lain sikit. Sembam lain macam. Al-Fatihah. Moga abang sentiasa kuat," tulis netizen.
Dalam pada itu, anak saudara kepada Ridzuan iaitu pelakon Zarina Zainuddin turut mengucapkan takziah atas pemergian isteri usahawan berkenaan.
"Isteri pakcik Ridzuan telah meninggal dunia. Semoga Allah tempatkan arwah dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh," ujarnya.
Bagaimanapun punca kematian Allahyarham tidak dijelaskan dan usaha mStar mendapatkan kenyataan Zarina tidak berjaya apabila panggilan yang dibuat tidak dijawab.
Untuk rekod, Ridzuan mendirikan rumah tangga dengan Akiko yang juga merupakan seorang wanita asal Jepun pada Februari 2009.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Sky Taizo Okumura yang kini berusia 13 tahun.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|