Bagi tahun 2025, pelakon Faizal Hussein memberitahu dia menolak banyak tawaran lakonan yang diterima.
Menurut Faizal atau Mohd Faizal Hussein, 58, dia hanya mahu menerima watak yang mempunyai peranan penting dalam sesebuah naskhah.
"Saya hanya terima 20 peratus daripada tawaran yang saya dapat, selebihnya memang saya tolak!
"Sebagai contoh, jika watak bapa itu penting seperti dalam drama bersiri One Cent Thief saya akan terima tapi kalau setakat watak bapa biasa, saya cuba elak," katanya kepada mStar.
Bukan bermaksud menolak rezeki, sebaliknya Faizal enggan penonton berasa bosan jika dia berterusan menerima tawaran sama.
Malah aktor itu juga mahu mencabar diri melakonkan watak yang tidak pernah dibawa sepanjang kariernya.
"Saya bukan nak tolak rezeki cuma saya nak elakkan penonton merasakan lakonan saya klise.
"Sebab saya sendiri pun mahukan watak yang susah dan mencabar," jelasnya.
Sementara itu, Faizal berharap drama lakonan terbaharunya iaitu Bidaah dapat memberikan mesej positif kepada penonton.
Malah dia mengakui watak itu sukar dilakonkan kerana menggunakan dialog panjang dan perlu menghafal petikan ayat Al-Quran.
Drama bersiri Bidaah yang merupakan idea asal penerbit Erma Fatima turut dibintangi oleh Fattah Amin, Riena Diana, Marisa Yasmin, Vanidah Imran, Fathia Latiff, Fazlina Ahmad Daud, Hasnol Rahmat dan Malia Baby.
Drama 15 episod itu akan mula ditayangkan menerusi platform penstriman Viu pada 6 Mac depan.
Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|