Bazar Ramadan sering menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli juadah berbuka puasa, tetapi kualiti dan harga makanan kerap menjadi isu.
Demikian juga pengalaman wanita ini yang membeli kuih daripada seorang peniaga warga emas di sebuah bazar.
Menurut wanita tersebut, ketika dia singgah ke gerai pakcik itu masih banyak kuih yang belum terjual kerana kurang mendapat sambutan pelanggan.
Bagaimanapun, dengan niat untuk membantu dan menyokong peniaga kecil, dia membeli empat jenis kuih yang dijual.
"Saya pergi la beli dekat bazar dia. Saya fikir air tangan orang tua mesti sedap. Kuih murah empat ketul RM2 je.
"Masa berbuka, saya makan la kuih dia. Patut la tak ada pelanggan (membeli).
"Kuih ketayap inti hanya hampas kelapa, kuih limas dan inti popia pula basi dan kuih gelang keras 'kejung'," ujarnya.
Berdepan situasi itu, persoalan timbul dalam dirinya sama ada dia patut kembali ke gerai pakcik itu keesokan hari untuk memberitahu mengenai kualiti kuih-kuih yang dijual.
Sebagai pelanggan, dia beranggapan mungkin peniaga itu tidak sedar tentang rasa atau kualiti kuih yang dijual memandangkan tidak ramai pelanggan membeli.
Selepas hantaran itu tular, ramai netizen tampil memberikan pandangan mencadangkan agar wanita tersebut menegur peniaga itu secara baik.
Menurut pengadu, dia berharap tegurannya itu boleh membantu pakcik itu memperbaiki resipi dan kualiti kuih jualannya demi kebaikan bersama.
"Serba salah juga sebenarnya (nak tegur). Risau dia tak boleh terima feedback (maklum balas). Bukan nak cakap kuat-kuat pun, nak tegur slow-slow. Harap pakcik tu okay la.
"Rasa serba salah. Tapi kena bagitau juga la kan. Mungkin dia jual kuih yang semalam ke apa. Kasihan tengok sebab orang tua yang niaga tapi kalau tak bagitahu dah macam aniaya pembeli je," katanya tanpa memaklumkan lokasi bazar Ramadan.
Ada juga warga maya yang mencadangkan supaya teguran dibuat secara tidak langsung, seperti menulis surat kepada peniaga tersebut sekiranya dia tidak berani bersemuka.
"Kalau tak berani nak berjumpa dia secara berdepan, tulis surat hantar dekat dia. Entahnya dia cuma tolong jualkan kuih orang je.
"Cakap baik-baik. Kata dengan pakcik tu, pakcik berniaga bukan ikut sedap hati, tapi nak masuk poket. Kalau sedap hati poket tak sedap, sia-sia sahaja.
"Pak cik buat R&D (research and development) dalam dua hingga tiga hari dulu lepas tu jual balik dekat sini. Kalau tak nak terima, kubur masing-masing," antara komen netizen.
Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|