|
Pelakon dan pengacara terkenal, Didie Alias menyuarakan kebimbangan terhadap budaya membuka aib serta kecenderungan berkongsi perkara tidak sepatutnya dalam media sosial yang disifatkan semakin membimbangkan, terutama dalam kalangan selebriti.
Memasuki era digital yang serba pantas, Didie atau nama sebenar, Fadzilah Mohd Ali berpendapat, segelintir individu mudah meluahkan emosi dalam media sosial tanpa memikirkan kesan terhadap diri dan orang sekeliling akibat daripada perbuatan itu. Didie yang sudah lebih tiga dekad membawa diri sebagai anak seni berkata, generasi 'orang lama' yang melalui zaman sebelum kewujudan media sosial mempunyai pendekatan berbeza dalam menangani konflik atau krisis ketika bersosial. "Kalau zaman dahulu, memang tak ada media sosial. Jadi, jika ada apa-apa tak puas hati, kita terus telefon. Selepas itu, jumpa depan-depan dan berbincang bersama-sama. Apa yang tak puas hati, kita selesaikan terus, habis cerita. "Sekarang semuanya sudah digital. Kadang-kadang kita cakap sikit sahaja, tetapi yang memanjangkan cerita itu orang lain. Mereka pun tidak tahu hujung pangkal, cuma baca tajuk sahaja. "Tajuk sudah cukup untuk mereka jatuhkan hukum. Netizen kita ini bukan semua, tapi ramai tak suka membaca sampai habis. Baca tajuk utama sahaja, kemudian terus hentam," katanya. Didie berkata, kecenderungan membuat penilaian tanpa memahami keseluruhan konteks cerita menjadi antara punca sesuatu isu kecil bertukar besar dan berpanjangan. "Apabila baca keseluruhan cerita, barulah faham konteks sebenar. Tapi itulah, perkara ini sudah jadi kerja media dan media sosial. "Cuma bagi saya, apa yang tak seronok bila segala keburukan atau perkara yang tak patut orang tahu pun didedahkan di media sosial. "Saya sendiri kalau bab rumah tangga orang, contohnya kes cerai dan sebagainya, kadang-kadang rasa tak perlu diperbesarkan. Kalau sudah bercerai, sudah. "Tidak perlu keluarkan segala keburukan. Kalau ada yang perlu diselesaikan, selesaikan di mahkamah. Tak perlu canang satu dunia," katanya. Tiada siapa tahu punca cerai Berkongsi pengalaman peribadi, Didie berkata, dia mengambil pendekatan untuk menyimpan hal tertentu demi menjaga maruah dan keharmonian keluarga. "Macam saya sendiri, sampai hari ini anak-anak tidak tahu kenapa saya bercerai dengan arwah suami (Allahyarham Ridzuan Hashim). "Bagi saya, itu perkara peribadi, tak perlu dikongsi. Kalau nak berkongsi pun, kongsilah soal kejayaan, perniagaan atau apa sahaja yang baik kerana itu lebih bagus. "Kadang-kadang apabila orang terlalu terbuka berkongsi perkara negatif, nampak tak cantik. Orang mula nilai peribadi kita sampai ada yang hilang rasa hormat, bukan sahaja sebagai individu, tetapi terhadap lakonan dan bakat kita," katanya. Menurut Didie, keterujaan berkongsi segala hal di media sosial tanpa tapisan boleh memberi kesan terhadap reputasi yang dibina selama bertahun-tahun. "Orang yang dahulu minat, boleh jadi tidak minat lagi sebab mereka sudah nampak sisi lain yang tak sepatutnya ditonjolkan. Itu yang rugi sebenarnya. "Sekarang ini kita kena faham, budak-budak muda ramai yang berpelajaran dan terdedah dengan macam-macam perkara. Tapi bakat yang betul-betul besar kadang-kadang datang daripada pengalaman, bukan semata-mata teori," katanya. Mengulas lanjut, Didie menegaskan, isu kecil tidak seharusnya diperbesarkan sehingga menjejaskan hubungan sesama rakan industri. "Kalau perkara kecil dilagakan, ia jadi besar. Akhirnya semua pihak rugi. Bagi saya, kalau tak puas hati, lebih baik cakap depan-depan dan selesaikan secara matang. "Cuma budak sekarang kadang-kadang susah nak berdepan, nanti lain pula jadinya. Zaman kita dahulu tidak ada tarik rambut atau drama berlebihan. Cakap, selesai dan lebih mudah begitu," katanya. Sumber : Berita Harian
|
Minami2013 replied at 13-2-2026 10:56 PM
Teringat kisah dia dlm paper cerita buat keje macam2 lepas cerai dgn anak ramai.
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
14-2-2026 07:15 AM GMT+8 , Processed in 0.182697 second(s), 19 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.