Body shaming boleh didakwa di bawah akta fitnah, kata seorang peguam seperti dilaporkan Harian Metro. Oleh itu, mangsa boleh membuat aduan kepada polis dan juga SKMM di laman web www.mcmc.gov.my.
Langkah itu bagi memastikan keadilan ditegakkan dan menghalang pelaku daripada terus melakukan penderaan, kata peguam Nor Zabetha Muhammad Nor. "Dalam kes seperti ini, tangkap skrin atau screenshot mesej digital yang menjelikkan itu boleh berfungsi sebagai bukti. Mangsa perlu mengumpul bukti yang relevan, seperti latar belakang pendera dan komen mereka untuk tindakan selanjutnya. "Pengulas mempunyai hak untuk memberi komen kerana ia adalah kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan. Bagaimanapun, kebebasan itu juga mempunyai had. Anda tidak boleh mengatakan perkara yang boleh mencemarkan nama baik seseorang," katanya sambil menambah bahawa pelaku boleh didakwa di bawah akta fitnah juga.
Bagi kesalahan itu, pelaku boleh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang menyatakan bahawa sesiapa yang membuat kandungan mengancam atau menyinggung dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, menggugut atau mengganggu orang lain adalah satu kesalahan. "Jika didapati bersalah, seseorang yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya," katanya. Sementara itu, peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman pula berkata, pelaku juga boleh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 499 akta yang sama bagi kesalahan itu. "Seksyen 509 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa barang siapa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seseorang, menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat atau mengganggu kesantunan seseorang itu, hendaklah dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika didapati bersalah di bawah seksyen itu. "Sementara itu, Seksyen 499 Kanun Keseksaan menyatakan jika mana-mana individu ada membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan tidak benar yang akan atau boleh merosakkan reputasi orang lain, serta ditulis atau disebarkan dengan niat jahat, adalah melakukan satu kesalahan jenayah fitnah," katanya. Jika didapati bersalah tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT