Saksi pendakwaan ke-35 perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hasan memberitahu bahawa kedua-dua telefon bimbit yang diambil di lokasi kejadian tidak meletup berdasarkan keadaan fizikalnya. Ketika disoal oleh Timbalan Pendakwaraya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, Asisten Superitendan (B) Mohd Sa'ad Mat Nasib, 61 yang juga merupakan bekas pegawai persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berkata hasil pemerhatiannya terhadap dua telefon bimbit yang diberikan kepadanya oleh pegawai penyiasat kes itu, Asisten Superitendan Mohd Nizam Daud mendapati kedua-dua alat komunikasi tersebut tidak meletup berdasarkan keadaan bateri yang masih berada di perumah bateri.
Keadaan telefon bimbit pertama berada di dalam keadaan 90 peratus baik dengan hanya terdapat beberapa kesan melecur akibat haba kebakaran manakala telefon bimbit kedua teruk terbakar. "Walaupun keadaan telefon bimbit kedua teruk terbakar, baterinya masih di perumah bateri alat komunikasi itu. Saya tidak rasa ada satu letupan yang kuat kerana jika berlaku, bateri akan terkeluar daripada perumahnya, tetapi dalam kes ini bateri masih di perumahnya." "Rupa bentuk bateri berkenaan masih lagi ada. Kepingan besi di perumah bateri juga masih berkilat dan dalam keadaan baik", katanya memetik Sinar Harian. Mohd Sa'ad berkata, sekiranya bateri telefon bimbit yang diperbuat daripada Lithium dan dibalut dengan bahan seakan zink terlebih cas, ia akan mewujudkan gas antara bateri dengan pembalut dan akan menyebabkan ia pecah seterusnya berlaku letupan serta percikan cahaya atau api. Berdasarkan latihan dan pengetahuannya berkaitan alat letupan, jika bateri telefon bimbit berkenaan meletup ketika dicas dengan kedudukan skrin di atas dan bateri di bawah, alat telekomuniksi berkenaan akan naik tidak lebih daripada dua kaki tinggi hasil letupan berkenaan. Samirah Muzaffar, 46, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia yang juga isteri Nazrin serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14 tahun didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestary, membunuh mangsa. Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018
|
ADVERTISEMENT