Pertama: Ancaman daripada minum arak Terdapat banyak hadis yang melarang keras daripada minum arak. Antaranya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
- “Jauhilah minuman keras, kerana sesungguhnya minuman keras itu punca dari segala kejahatan.” (HR Hakim).
- “Semua minuman yang memabukkan itu adalah khamar dan setiap khamar itu adalah haram. Dan barang siapa yang minum khamar di dunia. Lalu mati dalam keadaan tidak bertaubat, sedangkan dia sangat menggemarinya, maka nanti dia tidak akan dapat merasainya di akhirat”. (HR Ahmad dan Muslim).
- “Siapa yang meminum khamar di dunia, maka dia akan diharamkan minuman khamar di akhirat”. (HR Bukhari dan Muslim).
- “Barang siapa yang meminum minuman keras, Allah tidak akan menerima sesuatu (kebaikan) daripadanya. Dan jika dia mabuk dari sebab minuman keras itu, tidak akan diterima solatnya selama 40 pagi (hari). Kemudian jika dia bertaubat, lalu kembali semula meminum minuman keras maka berhak Allah memberikannya minuman dari kotoran darah atau nanah neraka jahanam.” (HR Ahmad dan Tirmidzi).
Ulama bersepakat, bahawa minum arak yang diperbuat daripada buah anggur, hukumnya haram, baik sedikit ataupun banyak. Arak yang diperbuat selain daripada anggur boleh diminum sedikit (tidak memabukkan) menurut mazhab Hanafi. Prof. Dr. H. Mahmud Yunus dalam tafsirnya, ayat 219 berkata, teranglah bahawa arak itu sebenarnya ada manfaatnya seperti memanaskan tubuh, menghilangkan dukacita dan sebagainya. Tetapi, kemudaratannya terlebih besar dari manfaatnya kerana ia berbahaya kepada kesihatan badan dan fikiran serta pembaziran.
|