Kira-kira 300 orang warga kampung bersama Dewan Ulama PAS Kedah menunaikan solat sunat istisqa memohon Allah SWT bagi memulihkan masalah kekurangan air serta meminta diturunkan hujan dikawasan Tasik Pedu dan sekitar Negeri Kedah Darulaman, Kuala Nerang Kedah baru-baru ini.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya berkata solat itu dilakukan pada jam 1.30 petang di kawasan Mong Gajah, iaitu perkampungan lama yang tenggelam pada tahun 1969.
Foto: FB Mahdzir Hasan Det
"enganjuran solat sunat ini adalah ekoran kemarau berpanjangan di Kedah sehingga menyebabkan air di Empangan Muda, Pedu dan Ahning menjadi surut sehingga berlaku gangguan bekalan air," katanya kepada BH Online.
Solat istisqa adalah sunnah Nabi Muhammad yang dilakukan baginda ketika menghadapi kemarau yang panjang.
Foto: FB Mahdzir Hasan Det
Rentetan daripada kejadian ini, seorang pengguna FB, Zulkifli Yahaya telah berkongsikan mengenai sejarah tasik Pedu. Difahamkan, sebelum empangan itu dibina pada tahun 1963, kawasan sekitar tasik itu pernah menjadi penempatan penduduk dan wujud beberapa kampung di situ, antaranya Kampung Mong Gajah yang juga menjadi lokasi penemuan ratusan kubur usang.
Menurut cerita penduduk kampung pula, kawasan berkenaan pernah menjadi laluan Jemaah haji dari Pattani, Thailand ke Pulau Pinang, dan dari Pulau Pinang mereka menaiki kapal laut ke Melaka.
Walau bagaimanapun, penempatan sekitar mula ditinggalkan pada tahun 1948 berikutan kawasan berkenaan menjadi 'kawasan hitam' iaitu lokasi sasaran komunis.
Akhirnya, kawasan yang ditinggalkan itu mula usang dan menjadi hutan sebelum ditenggelami air apabila Empangan Pedu dibina. Kini, air dari Empangan Pedu digunakan untuk membekalkan air ke kawasan sawah sekitar Kedah. - CARI |