CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1458|Reply: 1

Sindrom Patah Hati, Miliki Simptom Sama Dengan Serangan Jantung

[Copy link]
Post time 12-8-2021 09:27 PM | Show all posts |Read mode
Sindrom Patah Hati, Miliki Simptom Sama Dengan Serangan Jantung


PADA awal bulan Julai lalu, negara digemparkan dengan pemergian dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Seperti satu kebetulan, kematian pelajar Diploma Pengurusan Teknologi Pejabat, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Cawangan Kedah, Nurul Natasya Ezreen Azemi, 22, dan pelajar Diploma Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam, Cawangan Pahang, Muhammad Adham Hazim Mohd Rizaini, 21, hanya berselang satu hari sahaja.


Berdasarkan laporan media dan semestinya hangat dikongsikan melalui platform media sosial, punca ajal mereka disebabkan oleh stres yang keterlaluan dan tidak cukup tidur.

Arwah Nurul Natasya difahamkan dijumpai ketika sudah tidak sedarkan diri semasa sedang menyiapkan kerja kursus, manakala Muhammad Adham pula mengadu kerap sakit kepala lantaran sering tidur lewat.

Persoalannya, sejauhmana dakwaan yang menyebut bahawa stres dan tidak cukup tidur menjadi punca utama dua pelajar tersebut meninggal dunia itu benar?

Bagi mendapatkan pencerahan kepada kekeliruan berkenaan, SinarPlus mewawancara Pensyarah Perubatan yang juga Pakar Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Nurazah Ismail.Jelas beliau, kedua-dua elemen yang diuar-uarkan itu (stres dan tidak cukup tidur) sama sekali tidak boleh menjadi penyebab utama kepada kematian.


“Namun begitu, sekiranya berlarutan dan tidak dikawal dengan baik, ia akan memudaratkan kesihatan,“ ujarnya.

Kongsi pakar berkenaan, dalam istilah psikologi, terdapat dua jenis stres iaitu:

Eustress: Stres yang membina atau dikenali sebagai stres positif yang membantu membangkitkan motivasi seseorang.

Distress: Stres yang memudaratkan atau stres negatif. Apabila seseorang berada dalam keadaan tertekan, sistem badan akan melakukan tindak balas normal yang dikenali sebagai fight-or-flight terhadap sesuatu perkara atau situasi.


Sementara itu, kata Dr Nurazah, dalam Model Kerentangan Tekanan menerangkan, individu yang mempunyai daya ketahanan rendah berkemungkinan besar untuk berada dalam keadaan stres melampau adalah tinggi.

“Apabila mereka mengalami tekanan, sistem badan akan merembeskan hormon kortikotopin yang akhirnya merangsang pembebasan hormon stres yang dikenali sebagai kortisol.

“Hormon kortisol akan menyebabkan peningkatan aktiviti kardiovaskular seperti tekanan darah dan degupan jantung, peningkatan kadar pernafasan, mengurangkan proses metabolisme seperti proses pencernaan dan imuniti badan,“ jelas beliau.


Oleh sebab itu, ungkap Dr Nurazah, jika tekanan yang dialami berlanjutan dalam tempoh jangka masa yang lama, ia akan menyebabkan sistem badan manusia menjadi sensitif.

“Stres hormon akan dirembeskan secara berterusan dan akan menganggu kesihatan tubuh badan seperti kesihatan fizikal terutama sistem kardiovaskular,“ tambah beliau.

Merujuk kembali kes dua pelajar UiTM yang meninggal dunia bulan lalu, pakar itu menyarankan agar laporan perubatan rasmi punca kematian yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dirujuk kembali.

“Ada kebarangkalian ahli keluarga tidak mengetahui kondisi sebenar pesakit dan mungkin juga pesakit sendiri tak tahu keadaan diri mereka. Kebanyakannya hanya melihat simptom sakit kepala yang berpanjangan dan situasi pesakit yang tidak sedarkan diri saja,“ katanya.

Kardiomiopati takotsuboDr Nurazah meneruskan penerangannya. Ujar pakar terbabit, beliau tidak menafikan kejadian dua pelajar yang berlaku secara berturut-turut itu boleh dikaitkan dengan Sindrom Patah Hati atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai kardiomiopati takotsubo (stress-induced cardiomyopathy).

“Kardiomiopati takotsubo memiliki ciri simptom yang hampir sama dengan serangan jantung. Namun, puncanya adalah disebabkan oleh stres atau tekanan emosi yang teruk dan parah,“ jelasnya.

Memperincikan lebih mendalam, Dr Nurazah berkata, rembesan hormon stres akan menyebabkan kekejangan pada otot jantung atau otot jantung tidak dapat berfungsi secara lazimnya.

“Antara simptom-simptom yang paling kerap berlaku adalah seperti pening kepala, pengsan dan mudah penat. Namun begitu, setakat hari ini, kes-kes kardiomiopati takotsubo hanya dilaporkan berlaku dalam kalangan wanita yang berumur 50 tahun ke atas dan telah menapous sahaja,“ beritahunya.

Serentak dengan itu, Dr Nurazah turut mengulas mengenai pandemik Covid-19 yang masih berlarutan dan sudah hampir memasuki tahun kedua wabak itu menghantui penduduk dunia.

“Boleh saya katakan situasi sekarang berkait rapat dengan stres akibat kelesuan pandemik. Mungkin para pelajar juga akan terkesan dengannya dek tugasan dan sistem yang ‘memaksa‘ mereka untuk mengadaptasikan diri dengan cepat,“ katanya melontarkan pandangan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kelesuan pandemik dikenal pasti sebagai sindrom klinikal yang boleh memberi impak psikologi kepada manusia seperti mengalami tekanan yang berpanjangan. Pada masa sama, ia juga boleh mendorong kepada gangguan emosi dan tingkah laku negatif seseorang.

Antara tanda-tanda berlakunya kelesuan pandemik adalah kekurangan motivasi, berasa letih walaupun telah tidur dalam jangka masa yang cukup, mudah marah dan cemas, terang Dr Nurazah.

“Oleh yang demikian, sangat penting untuk kita menguruskan tekanan dengan sebaiknya. Jika sudah tidak mampu mengawalnya, segera dapatkan bantuan daripada psikoterapi atau kaunselor,“ pesannya.

Strategi
Sementara itu, Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Sukan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM, Dr Abu Ubaidah Amir Norazmi turut berkongsi maklumat penting.


Dr Abu Ubaidah.
Ujar beliau, setakat ini, belum terdapat kajian yang kukuh mengaitkan secara langsung kekurangan tidur atau stres dengan kejadian pembuluh darah yang pecah dalam kalangan golongan muda.

Kajian-kajian yang dilakukan dan diterbitkan dalam Journal of Stroke dan British Medical Journal mendapati, kekurangan tidur dan stres selalunya dikaitkan dengan risiko serangan jantung, obesiti, angin ahmar dan kelesuan, selain Alzheimer.

“Namun begitu, kajian yang mendalam perlu dilakukan untuk mencari hubung kait antara dua perkara itu dengan risiko kematian dalam kalangan anak muda,“ katanya.

Menyentuh tentang strategi mengelak diri terus dihambat perasaan tertekan sepanjang masa, terdapat beberapa pendekatan yang disyorkan.

Namun, tegasnya, mengambil jalan mudah dengan memakan ubat-ubatan antidepresi tanpa prekripsi doktor terlebih dahulu bukan penyelesaian terbaik.

Berikut taktik paling ampuh untuk membendung emosi stres. Antaranya:

1. Pengurusan persekitaran dan fizikal.

Amalkan rutin dan gaya hidup yang sihat. Lakukan juga aktiviti fizikal secara konsisten, selain menjauhkan diri daripada rokok, arak dan dadah. Pengambilan pemakanan yang sihat dan seimbang juga sangat signifikan.

2. Pengurusan sosial.

Ia merangkumi aspek komunikasi yang berkesan dan elakkan sering bersendirian. Maklumat yang diterima harus ditapis sedalam-dalamnya. Seperkara, penggunaan telefon pintar dan internet harus dikawal. Lakukan juga aktiviti spiritual dan keagamaan.

3. Pengurusan emosi.

Melakukan teknik relaksasi iaitu latihan pernafasan dan meditasi, bersikap positif dan berfikiran terbuka serta banyakkan bertenang.

Selain itu, beritahu pakar berkenaan, senaman berkala mampu mengurangkan stres, sekali gus berupaya membina kualiti tidur yang baik.

Bagi menyesuaikan dengan situasi pada musim pandemik ini, saran Dr Abu Ubaidah, sebaik-baiknya aktiviti fizikal dilakukan di ruang rumah atau kawasan yang tidak sesak.

“Lakukannya sekitar 150 minit dengan intensiti sederhana dalam seminggu seperti dicadangkan oleh WHO. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah seperti lompat bintang, lari setempat, tekan tubi, lompat tali, burpees dan juga menggunakan peralatan seperti besi pemberat,“ katanya.

Dari segi pengurusan emosi pula, beliau menyarankan orang ramai mendapatkan bantuan sokongan dari ahli keluarga, rakan sebaya dan agensi-agensi bantuan psikososial seperti Befrienders, Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental, Talian Nur, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Mercy Malaysia dan LifeLine Malaysia.

Sumber:https://sinarplus.sinarharian.com.my

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 17-8-2021 10:40 AM | Show all posts
Masak dan makan...hilang stres
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 06:00 PM GMT+8 , Processed in 0.237720 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list