Edited by maklukpenggoda at 21-10-2024 01:43 AM
Anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu, Ummu Atiyah, tampil mendedahkan pernah menjadi mangsa keganasan serta "dirogol" oleh seorang pemimpin GISB Holding Sdn Bhd (GISBH).
Pada sidang media di ibu negara hari ini, anak Ashaari atau lebih dikenali sebagai Abuya iaitu, Ummu Atiyah, 41 mendakwa dia menjad mangsa rogol kepada seorang pemimpin GISBH yang ingin menikahinya secara paksa.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika dia dilarikan pemimpin berkenaan ke Turki.
"Saya sangat menolak saya memang tak nak (kahwin dengannya), sebab (dia) seorang yang tua, boroi, memang saya geli, saya jijik (dengannya)," katanya.
Ummu Atiyah mendakwa ketika dilarikan ke Turki, dia didera kerana enggan memenuhi kehendak pemimpin GISBH itu untuk bersama sehinggalah suatu hari dia dirogol lelaki berkenaan.
Jelasnya, pemimpin GISBH itu ingin menjadikannya sebagai isteri keempat secara paksa dengan mendakwa arahan supaya mengahwininya datang daripada arwah bapanya dan Rasul.
Ummu Atiyah mendakwa kejadian itu berlaku di Jordan apabila pemimpin itu menghantar mesej Whatsapp kepadanya untuk mengajak dia berkahwin sehingga memaksa dia melarikan diri ke rumah kawannya.
Menurut anak Abuya itu, pemimpin berkenaan dan pengikutnya kemudian datang untuk mencarinya dan meminta dia menyerah diri.
Dia juga diminta bersalam dengan pemimpin terbabit bagi tujuan bernikah.
"Salam itu dikira nikah," kata Ummu yang menceritakan dia pernah berkahwin dan dipaksa untuk berpisah dengan anaknya.
Selepas berkahwin dengan pemimpin GISBH itu, Ummu berkata mereka berpindah ke Turki.
Dipaksa buka baju
Katanya, di Turki, dia pernah dicucuh dengan pemetik api dan direndam di dalam kolam.
Ketika itu adik lelakinya yang merupakan pengikut pemimpin itu meminta dia menanggalkan baju untuk ditunjukkan kepada individu berkenaan.
"Kerana saya takut kalau mati sebab direndam lebih sejam, air dah banyak saya telan, sakit dada saya ni, saya terpaksa kata ya," katanya.
Malaysiakini tidak mendedahkan nama pemimpin GISBH terbabit sehingga mendapatkan maklum balas daripadanya.
Sementara itu seorang lagi mangsa GISBH yang hanya mahu dikenali sebagai Dalila Diyana mendakwa dua adiknya menjadi mangsa dera serta amang seksual.
Katanya, adik-adiknya menjadi mangsa liwat di pusat jagaan GISBH selain badan pernah ditekup dengan sudu panas.
"Adik saya dua orang adalah mangsa amang seksual liwat," katanya.
Susulan itu laporan polis dibuat Dalila sehingga membawa kepada operasi besar-besaran dilaksanakan pihak polis.
MalaysiaKini
|