|
SPIELBERG – Pelumba Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo menjelaskan, dia tidak ‘berani’ mengambil risiko yang boleh menyebabkan kesilapan sehingga meragut peluangnya untuk me-raih gelaran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.
Pelumba Perancis itu cemerlang di kedudukan ketiga pada awal perlumbaan Grand Prix (GP) Austria dan dilihat mampu muncul juara sebelum segala-galanya musnah gara-gara hujan pada baki tujuh pusingan di Litar Red Bull Ring kelmarin.
Quartararo enggan mengambil risiko dan memasuki hentian pit untuk menukar jentera tetapi tindakan itu tidak memihak kepadanya apabila menamatkan saingan di tempat ketujuh.
Bagaimanapun, Quartararo masih kekal mendahului senarai kejuaraan keseluruhan dengan 181 mata, berkelebihan 47 mata ke atas pelumba Ducati, Fran-cesco Bagnaia yang berada di tangga kedua.
“Ini kali pertama saya memikirkan soal gelaran dunia. Saya akui banyak risiko pada perlumbaan ini dan saya tidak mahu melakukan kesilapan atau terlibat dalam kemalangan.
“Saya hampir terjatuh di selekoh pertama apabila Marc Marquez tergelincir pada perlumbaan tersebut. Anda boleh lihat saya hampir melanggarnya, jadi saya mengambil langkah berhati-hati.
“Prestasi saya agak baik dan menamatkan saingan tempat ketujuh juga positif buat kami. Bagi saya, kutipan mata pada setiap perlumbaan adalah keutamaan ketika ini,” kata Quartararo.
Pelumba Red Bull KTM, Brad Binder berjaya mencipta kejutan apabila memenangi perlumbaan itu, manakala Bagnaia menamatkan saingan di tempat kedua diikuti Jorge Martin daripada pasukan Pramac Racing pada kedudukan ketiga. – AGENSI
HMetro
|
|