|
KOTA KINABALU: Pertubuhan Prihatin Muallaf Sabah (PPMS) menyokong penuh dengan pendirian Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan kerajaan negeri yang menyatakan tidak atas cadangan memperkenalkan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam.
Presiden PPMS Wainin Setimin berkata, Sabah adalah negeri yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama serta hidup dalam keadaan harmoni dan aman sejak sekian lama.
“Walaupun mempunyai pelbagai kaum dan anutan kepercayaan masing-masing, kita saling menghormati antara satu sama lain dan tiada masalah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kepelbagaian kaum dan agama menjadi tonggak perpaduan rakyat di Sabah.
Wainin juga menyeru kepada semua pihak agar isu itu tidak dipolitikkan. Sebaliknya beliau meminta agar semua pihak memberi tumpuan menangani masalah COVID-19 yang masih membelenggu negara pada ketika ini.
Baru-baru ini, tular gambar yang menunjukkan cadangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary mengenai empat akta baharu membabitkan rang undang-undang (RUU) Wakaf, RUU Mufti, RUU Mahkamah Syariah dan RUU Kawalan dan Sekatan terhadap Pengembangan Agama Bukan Islam.
credit
|
|