|

MIRI: Seorang lelaki yang disyaki melakukan beberapa siri kecurian kenderaan termasuk sebuah motosikal dalam usaha melarikan diri setelah lolos dari sebuah pusat kuarantin di sini berjaya ditangkap semula semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Polis (ACP) Hakemal Hawari berkata dengan penangkapan semula suspek terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes curi kenderaan yang dilaporkan di sini.
Katanya, suspek ditangkap sekitar jam 2.50 petang, 28 September lalu kerana disyaki mencuri sebuah kereta di sebuah kawasan perumahan di Jalan Miri-Bintulu pada hari yang sama.
Bagaimanapun kata beliau, suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada 6 Oktober lalu setelah disahkan positif COVID-19 dan dihantar ke pusat kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini.
"Pada awal pagi 7 Oktober lalu, suspek telah melarikan diri dari pusat kuarantin tersebut. Semasa melarikan diri, dia telah mencuri sebuah van milik sebuah gereja di Tudan.
"Van itu telah dijumpai ditinggalkan di sebuah kawasan di Jalan Bintulu-Miri sekitar jam 9.40 malam, 8 Oktober lalu," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat petang semalam.
Menurut Hakemal, suspek telah meninggalkan van itu di kawasan berkenaan setelah dikejar orang awam yang mengenal pasti van yang dilaporkan hilang tersebut.
Dalam usahanya untuk terus melarikan diri, pada 9 Oktober, suspek telah mencuri sebuah kereta di Kampung Sungai Dalam, Jalan Bintulu-Miri dan kemudian meninggalkan kenderaan terbabit di kawasan semak berhampiran Batu Niah.
Selain itu, sebuah motosikal milik seorang pengawal keselamatan turut dicuri oleh suspek setelah dia meninggalkan sebuah kereta yang dicuri pada awalnya.
Namun, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga apabila suspek akhirnya berjaya ditangkap semula oleh pihak polis pagi semalam (10 Oktober) di kawasan Niah.
"Tangkapan ke atas suspek dilakukan berikutan maklumat yang disalurkan orang yang berkenaan pergerakan suspek," katanya.
Sehubungan itu, Hakemal amat berterima kasih kepada orang awam yang sentiasa memberi kerjasama kepada pihak polis dalam mengekang kejadian jenayah seperti ini.
Justeru, beliau mengingatkan orang awam agar sentiasa menjaga harta-benda persendirian bagi mengelak ia daripada dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab dan segera menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
credit
|
|