[size=0.8]Oleh Audrey Dermawan - Oktober 16, 2021 @ 10:35am[email protected]

Polis memeriksa restoran di Jalan Magazine, Georgetown, malam tadi dan mengeluarkan kompaun keseluruhan RM22,000. - NSTP/IHSAN PRDM
GEORGETOWN: Enam individu termasuk dua wanita yang belum lengkap vaksinasi COVID-19, dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang kerana makan dan minum di sebuah restoran dan bistro di Jalan Magazine, di sini malam tadi.
Pemilik perniagaan itu pula dikenakan kompaun RM10,000. Semua yang dikenakan tindakan berkenaan berusia 23 hingga 27 tahun.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata mereka dikesan melakukan kesalahan itu dalam pemeriksaan oleh sepasukan anggota polis, kira-kira jam 10.50 malam tadi.
"Pemeriksaan ke atas aplikasi MySejahtera pelanggan di situ mendapati enam daripada mereka belum mendapat vaksinasi lengkap untuk makan di restoran.
"Oleh itu, enam pelanggan berkenaan masing-masing dikompaun RM2,000, manakala pemilik restoran pula dikompaun RM10,000 kerana membenarkan mereka yang belum lengkap vaksinasi untuk makan di dalam premis," katanya hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai agar patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan menggunakan kelonggaran diberikan dengan bijak serta bertanggungjawab bagi mengelak penularan COVID-19.