KUALA LUMPUR: Bangunan Sri Pentas di Bandar Utama, Petaling Jaya, ditutup sepenuhnya sebagai pusat operasi berita bagi rangkaian televisyen Media Prima Berhad (Media Prima) berkuat kuasa hari ini, sekali gus menandakan berakhirnya era lebih tiga dekad penyiaran dari lokasi ikonik itu.
Penutupan ini susulan perpindahan fasa terakhir semua kakitangannya ke Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di 31 Jalan Riong, Bangsar di sini, yang selesai pada 17 Februari lalu.
Menurut laman sesawang Buletin TV3, Media Prima kini secara rasmi bersiaran penuh dari lokasi baharu itu sejak 21 Oktober 2024.
Langkah ini menyatukan operasi rangkaian televisyen TV3, 8TV, TV9, dan Didik TV di bawah satu bumbung bersama platform media cetak dan digital NSTP seperti Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times.
Perpindahan ini bukan sahaja memperkukuhkan integrasi antara platform berita tetapi juga menawarkan studio dengan peralatan terkini, menjadikan Media Prima lebih bersedia untuk mengukuhkan kedudukan sebagai syarikat media inklusif di Malaysia.
|