[size=0.8]Oleh M Hifzuddin Ikhsan - Oktober 16, 2021 @ 3:52pm[email protected]

JITRA: Keputusan kerajaan membawa 32,000 warga asing bekerja di sektor perladangan dibuat selepas mendapati rakyat tempatan tidak mampu mengisi kekosongan sektor itu, walaupun ditawar gaji lumayan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata syarikat perladangan menawarkan pendapatan lumayan bagi pekerja penuai dengan gaji bulanan lebih RM2,000 merangkumi elaun dan bayaran kerja lebih masa.
Bagaimanapun, katanya, syarikat terutama di ladang sawit masih mengalami kekurangan pekerja terutama bagi kerja menuai kerana rakyat tempatan menganggap bekerja di sektor perladangan berat dan susah.
"Pekerja tempatan boleh buat kerja menuai jika mahu, tetapi mereka kata berat dan susah. Gaji kerja ladang lumayan sebenarnya, syarikat bayar gaji pokok RM1,200 tambah insentif dan kerja lebih masa boleh dapat lebih RM2,000 sebulan.
"Jika kita tidak bergantung pada pekerja asing, kos untuk bawa warga asing ini boleh diguna untuk bayar gaji pekerja tempatan tetapi orang tempatan tak sedia, mereka tak mahu kerja ladang," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Pemprosesan Biji Kenaf di sini, hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mendapat kelulusan membawa 32,000 pekerja asing bagi dihantar ke ladang sawit seluruh negara bagi melakukan kerja menuai berikutan masalah kekurangan pekerja tempatan.
Mengenai kemasukan pekerja asing berkenaan, Zuraida memaklumkan, mereka dijangka tiba selewat-lewatnya awal bulan hadapan dan akan terus dibawa ke ladang yang memerlukan kerja penuai.
"Kementerian Sumber Manusia luluskan 32,000 pekerja asing untuk diagihkan kepada ladang besar bagi menuai sawit. Oleh kerana harga sawit tinggi ketika ini, kita kena cepat untuk mengelak buah terbiar dan reput menyebabkan kerugian.
"Hasil jualan minyak sawit dijangka naik kira-kira 40 peratus dan ia mampu memberi pulangan dalam RM20 bilion kepada negara sebelum hujung tahun ini," katanya.
Zuraida berkata, kesan kenaikan harga minyak sawit yang kini mencecah lebih RM5,000 satu tan memberi faedah kepada pekebun kecil apabila turut menikmati peningkatan pendapatan.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, nilai eksport pelbagai komoditi negara mencecah RM137.4 bilion dan jumlah itu dijangka terus meningkat berikutan permintaan pasaran yang masih tinggi ketika ini.