View: 924|Reply: 0
|
Memperkasa puasa pada Ramadan
[Copy link]
|
|
Memperkasa puasa pada Ramadan
GAMBAR hiasan.
KURANG sebulan lagi Ramadan akan tiba. Mudah-mudahan umur kita sampai untuk mengecapi nikmat dan kemanisan penghulu segala bulan itu.
Sudah tentu kita bersemangat memikirkan apakah yang perlu dilakukan supaya puasa akan datang lebih baik daripada tahun sebelumnya.
Bagaimana cara Rasulullah SAW mempersiapkan diri sebulan sebelum menjelang Ramadan?
Menurut panduan sirah nabawiyah, ketika tiba Syaaban, Rasulullah SAW melipatgandakan kuantiti dan kualiti ibadat puasa, qiamullail, zikir dan amal soleh.
Jika pada bulan-bulan sebelumnya Baginda hanya berpuasa rata-rata 11 hari, tetapi pada bulan Syaaban, Baginda berpuasa hampir penuh sebulan.
Hal itu diriwayatkan Aisyah r.a., “Rasulullah banyak berpuasa (pada bulan Syaaban) sehingga kita mengatakan, beliau tidak pernah berbuka dan aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh kecuali puasa Ramadan. Dan aku tidak pernah melihat Rasulullah banyak berpuasa (di luar Ramadan) melebihi Syaaban.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat Usama bin Zayed r.a, “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, ‘Wahai Rasulullah, aku tidak melihatmu banyak berpuasa seperti pada bulan Syaaban?’
Baginda menjawab, “Syaaban adalah bulan yang dilupakan oleh manusia, letaknya antara Rejab dan Ramadan. Pada bulan itu, amal manusia diangkat (ke langit) oleh Allah SWT dan aku menyukai pada saat amal diangkat aku dalam keadaan berpuasa.” (Hadis riwayat an-Nasa’i)
Syaaban adalah bulan penutup rangkaian puasa sunah Rasulullah SAW sebelum berpuasa penuh pada bulan Ramadan.
Jika Rasulullah SAW mempersiapkan diri untuk menyambut Ramadan dengan berpuasa minimum 11 hari di luar bulan Syaaban dan 20 hari pada bulan Syaaban, bererti untuk menyambut Ramadan Rasulullah SAW berpuasa paling kurang 130 hari atau sepertiga lebih daripada jumlah hari dalam setahun.
Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita bergembira dengan kehadiran bulan suci ini atau tidak mempunyai apa-apa perasaan istimewa?
Ada dalam kalangan menganggap Syaaban dan Ramadan tidak jauh bezanya daripada bulan-bulan lain.
Umumnya, suasana ‘biasa’ itu bukan kerana sikap ingkar terhadap perintah Allah, tetapi aktiviti duniawi seseorang itu terlalu padat.
Imam Al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumiddin menyebutkan, terdapat beberapa hari istimewa digelar sebagai hari-hari utama (al-Ayyam al-Fadhilah).
Hari-hari utama itu dapat ditemukan pada setiap tahun, setiap bulan, malah setiap minggu.
Untuk keistimewaan bulanan, Imam Al-Ghazali memasukkan Syaaban dalam kategori bulan-bulan utama (al-Asyhur al-Fadhilah) di samping Rejab, Zulhijjah dan Muharam.
Terdapat beberapa sebab istimewanya Syaaban. Antaranya, ia menjadi jambatan menuju bulan paling diagungkan.
Sebab itu bulan ini dikatakan ‘Syaaban’ iaitu berasal daripada kata ‘syi’ab’ yang bermaksud jalan setapak menuju puncak.
Syaaban adalah bulan persiapan yang disediakan Allah SWT untuk hambanya bagi memantapkan fizikal, emosi dan spiritual menuju keberkatan yang hakiki pada bulan Ramadan.
Sebagai alternatif, Syaaban sepatutnya menjadi momentum bagi umat Islam menguatkan mental serta memperbaiki akhlak untuk menyambut Ramadan.
Dalam keadaan berpuasa, seorang hamba akan memperoleh pendidikan rohani yang luar biasa dan memberi impak dalaman yang tinggi.
Puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum sahaja, malah perkara yang mendorong hawa nafsu ke arah keburukan seperti bercakap bohong, pembaziran, sombong, ego, mementingkan diri sendiri, suka menilai kelemahan orang lain dan pelbagai lagi.
Mudah-mudahan Ramadan kita jejaki. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
https://www.hmetro.com.my/addin/ ... -puasa-pada-ramadan
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|