|
Beckham.
London: Bintang bola sepak, David Beckham menyerahkan kawalan akaun Instagramnya kepada seorang doktor Ukraine yang bekerja di bandar Kharkiv, baru-baru ini.
Instagram Stories bekas pemain bola sepak itu dibanjiri dengan video dan gambar Iryna, seorang pakar bius kanak-kanak dan ketua pusat perinatal serantau, yang bekerja di tengah-tengah konflik masih berlanjutan itu, lapor The Guardian.
Iryna menunjukkan ruang bawah tanah yang sempit di mana semua wanita hamil dan ibu baru dipindahkan semasa hari pertama pencerobohan Rusia, kepada 71.5 juta pengikut Beckham.
Iryna menyiarkan gambar bayi baru lahir di unit rawatan rapi, di mana mereka bergantung pada bekalan oksigen yang disumbangkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).
Dalam satu klip, seorang ibu muda, Yana, memegang anaknya, Mykhailo, yang dilahirkan dengan masalah pernafasan.
"Kami mungkin mempertaruhkan nyawa kami, tetapi kami tidak memikirkannya sama sekali. Kami suka kerja kami. Doktor dan jururawat di sini, kami bimbang, kami menangis, tetapi tiada seorang pun daripada kami akan berputus asa," katanya yang bekerja sepanjang hari.
Beckham, duta Unicef sejak 2005, menggesa pengikutnya menderma kepada badan amal di Ukraine.
Ia untuk menyediakan penduduk dengan akses kepada air bersih dan makanan, menghantar kit sedia untuk digunakan ke hospital bersalin dan memastikan perkhidmatan perlindungan kanak-kanak diteruskan .
"Terima kasih kepada sumbangan anda, penjana oksigen yang mereka terima membantu bayi baru lahir bertahan dalam keadaan yang mengerikan," katanya.
Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine, menjadi sasaran berterusan serangan Rusia yang sudah berlarutan selama tiga minggu.
https://www.hmetro.com.my/global ... pada-doktor-ukraine |
|