|
Sebuah pusat beli-belah terbesar di Aceh terbakar, menyaksikan semua premis perniagaan dan produk jualan di dalamnya musnah.
Pusat beli-belah Suzuya di Banda Aceh terbakar pagi kelmarin sebelum berlarutan hingga ke tengah malam semalam.
Kredit foto: TribunNews
Ketua Jabatan Pemadaman Kebakaran dan Penyelamat (DPKP) Banda Aceh, Nasri berkata, keseluruh pusat beli-belah itu tidak boleh lagi digunakan dan perlu dibaik pulih sepenuhnya sebelum beroperasi semula.
Katanya, DPKP menerima panggilan telefon mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 11.30 pagi waktu tempatan.
“Kebakaran dipercayai berlaku dari bahagian gudang penyimpanan di pusat beli-belah tersebut dan api merebak dengan cepat.
“Sehingga tengah malam tadi, seluruh tingkat satu hingga tiga musnah terbakar dan pasukan bomba mengambil masa lebih 10 jam untuk memadamkan kebakaran,” katanya seperti yang dilapor Antara News.
Kredit foto: Detik News
Jelas Nasri, pada pukul 5 hingga 6 petang, bomba berjaya mengawal api, namun beberapa jam selepas itu, kebakaran berlaku semula dan merebak lagi cepat.
Hal itu kerana, api di bahagian dalam pusat beli-belah itu sukar dipadamkan menyebabkan kebakaran terus berlaku.
Sehingga kini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua pengunjung serta pekerja di pusat beli-belah berkenaan berjaya dikeluarkan ketika kebakaran berlaku.
Berdasarkan pemeriksaan awal, punca kebakaran itu mungkin disebabkan oleh litar pintas.
Sumber: Utusan |
|