|
252,730 pengembara sejak sempadan dibuka, hingga Isnin lalu
Samadi Ahmad
Putrajaya: Seramai 252,730 pengembara direkodkan masuk dan keluar ke negara ini sejak pembukaan pintu sempadan negara pada 1 April 2022, sehingga Isnin lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, jumlah itu direkodkan melalui pintu masuk utama negara iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); klia2; Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor; Padang Besar, Perlis; Bukit Kayu Hitam, Kedah; Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan pintu masuk Sungai Tujoh, Sarawak.
Menurutnya, berdasarkan jumlah itu, seramai 126,392 adalah ketibaan dan 28,301 berlepas membabitkan warganegara Malaysia, manakala 55,121 ketibaan dan 42,916 berlepas membabitkan pengembara warga asing.
Katanya, lima negara merekodkan jumlah pelawat tertinggi adalah Singapura iaitu 65,165, Thailand (7,841), Indonesia (5,173), India (2,477) dan United Kingdom (1,485).
"Pintu masuk negara yang mencatatkan jumlah pergerakan warga asing tertinggi adalah Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dengan 160,818, KLIA (38,407), Kompleks Sultan Abu Bakar Link Kedua (53,113 ), klia2 (11,712) dan Bukit Kayu Hitam (6,980)," katanya melalui satu kenyataan media, hari ini.
Disiarkan pada: April 7, 2022 @ 9:05am
Sumber: hmetro.com.my |
|