CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 998|Reply: 0

Diaju Soalan Allah Buat Apa Sebelum Cipta Alam, Macam Mana Nak Jawab? Ini Penjelasan Mufti

[Copy link]
Post time 12-4-2022 04:12 PM | Show all posts |Read mode

Diaju Soalan Allah Buat Apa Sebelum Cipta Alam, Macam Mana Nak Jawab? Ini Penjelasan Mufti

Sebagai umat Islam, kita seharusnya sentiasa merasa bersyukur dengan segala nikmat pemberian yang dikurniakan kepada kita oleh Allah SWT. Terdapat pelbagai cara untuk menzahirkan rasa bersyukur. Antaranya, banyakkan bersedekah bagi mereka yang berkemampun atau meningkatkan amal ibadah, seperti berzikir, apabila diberi kesihatan baik yang berpanjangan.

Kita juga sejak kecil diajar bahawa Allah SWT Maha Berkuasa atas segalanya dan Maha Mencipta setiap yang ada di alam semesta ini. Namun ada kalanya, sebagai seorang Muslim pasti adanya kita berdepan dengan persoalan-persoalan yang tidak masuk akal, misalnya apa yang Allah buat sebelum mencipta alam semesta.

Sebagai orang awam, nak menjawab soalan sebegini sudah tentulah amat sukar. Bimbang kalau tersalah jawab, boleh terjejas akidah.

Justeri, persoalan sebegini adalah lebih baik kita serahkan kepada alim ulama seperti Mufti untuk memberikan jawapan. Jom kita baca penjelasan yang dibuat oleh Mufti Wilayah Persekutuan.

Soalan

Assalamualaikum wbt. Saya ingin bertanya, bagaimana nak jawab jika ada yang bertanya apa yang Allah buat sebelum mencipta alam semesta? Terima kasih.

Ringkasan Jawapan
Waalaikumussalam wbt. Allah SWT adalah pencipta segala-galanya termasuk mencipta masa dan waktu. Jadi untuk meletakkan Allah SWT di dalam lingkungan masa ‘sebelum/selepas’ seperti manusia adalah tidak tepat. Namun begitu, berdasarkan surah al-Rahman ayat 29 Allah SWT sentiasa mengurus ciptaannya pada tiap-tiap masa. Wallahua’lam.

Huraian
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari akhirat. Persoalan tentang apa yang Allah lakukan sebelum mencipta alam semesta adalah topik yang jarang dibincangkan dikalangan ulama-ulama Islam. Ini kerana naratif soalan sedemikian mencari keterangan tentang perbuatan yang terikat dengan konsep masa dan waktu yang telah berlaku sebelum ini. Contoh soalan yang boleh ditanyakan di dalam naratif yang sama adalah “Apa yang Allah buat pada waktu sekarang?”, atau “Dimanakah Allah berada?”. Jika soalan ini ditujukan kepada manusia, maka sudah semestinya kita boleh memberi jawapan yang spesifik kerana perbuatan kita terkait dengan ruang dan masa.

Ada yang mempersoalkan adakah Tuhan itu wujud serentak bersama ciptaannya



Disebabkan “masa” yang manusia lalui ini wujud sebagai entiti yang sama waktu ciptaannya dengan ciptaan mahkluk-makhluk yang lain. Maka secara logiknya tiada persoalan mengenai “sebelum” untuk Tuhan. Namun itu tidak menghentikan ulama-ulama serta ahli ilmu untuk berbincang mengenai permasalahan ini. Malah ada yang mempersoalkan adakah Tuhan itu wujud serentak bersama ciptaannya.[1] Pernyataan seperti ini sudah tentunya seperti menghadkan keterbatasan Tuhan kerana terkait dengan masa. Imam al-Ghazali ketika membahaskan mengenai sifat alam dalam perdebatan dengan ahli falsafah yang mengatakan bahawa alam ini qadim[2] sepertimana qadim Tuhan, ada menyebutkan apa yang wujud sebelum alam dicipta:

فقبل وجود العالم كان المريد موجودًا, والإرادة موجودة, ونسبتها إلى المراد موجودة

Maksudnya: Sebelum wujudnya alam, Yang Maha Berkehendak (Allah) itu wujud, kehendak (Iradah) juga wujud, dan hubungan iradah dengan objek yang mahu diwujudkan itu juga wujud.

[Lihat Tahafut al-Falasifah: 4/95-96]
Al-Ghazali dalam pernyataan di atas menyatakan bahawa zat Tuhan seperti iradah tuhan untuk mencipta alam semesta telah wujud secara azali. Hujah ini membidas kenyataan ahli falsafah seperti Aristotle dan Ibn Sina yang mengatakan bahawa qadim kewujudan alam adalah sama dengan qadimnya kewujudan Allah SWT. Majoriti ahli falsafah kecuali Plato berhujah bahawa alam ini telah (dan sentiasa) dibuktikan wujud, dan mustahil untuk alam ini mempunyai permulaan. Maka disebabkan tidak dapat mengukur bilakah masa dan waktu spesifik alam ini wujud, mereka bersetuju bahawa alam ini qadim.[3]

Perdebatan antara al-Ghazali dan ahli falsafah mengenai konsep wujudnya alam telah membina naratif ilmu bahawa alam berkait rapat dengan “masa”. Ini kerana perbincangan mengenai wujudnya alam tidak akan lari dari fasa masa yang lepas, masa yang kini, dan masa yang akan datang. Dengan masa, manusia mampu untuk membilang detik ataupun memberi petunjuk tentang apa yang mahu dilakukan dalam kehidupan seharian. Dengan masa juga, manusia menyaksikan sejarah bagaimana sesebuah tamadun itu jatuh dan bangun, perkembangan teknologi yang berlaku, penemuan-penemuan sejarah. Dan juga bagaimana masa itu memberi peluang kepada hidupan yang bernyawa untuk hidup. Firman Allah SWT:

كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

Maksudnya: “Segala yang ada (di muka bumi) itu akan binasa. Dan akan kekalah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan”

Surah ar-Rahman (26-27)

Imam al-Maraghi di dalam tafsirnya menjelaskan bahawa kehidupan di muka bumi akan merasai tempoh binasa (mati), begitu juga dengan kehidupan di langit seperti malaikat. Kecuali Zat Tuhan sahaja yang akan kekal, kerana Dia yang menghidupkan, dan juga mematikan, dan sesungguhnya Hidup-Nya adalah kekal serta tidak akan mati selama-lamanya.[4] [Lihat Tafsir al-Maraghi: 27/114]

Tiada apa yang dapat membuktikan apa yang Allah SWT lakukan sebelum mencipta alam semesta.


Berdasarkan kefahaman di atas, kita seharusnya bersetuju bahawa apa jua entiti selain daripada Allah SWT seperti manusia, alam dan masa, akan mengalami kebinasaan juga kelak. Tiada satu yang akan dapat lari daripada kematian dan pengakhiran kecuali Allah SWT. Setiap ciptaan juga akan dapat merasai nikmat hidup. Iaitu di dalam lingkungan masa dan waktu, daripada kecil sehingga dewasa, sebelum mati pada akhirnya.

Secara empirik dan metafizik, tiada apa yang dapat membuktikan apa yang Allah SWT lakukan sebelum mencipta alam semesta. Namun menurut al-Quran secara umum, Allah SWT sentiasa mengatur urus dan mentadbir akan ciptaannya. Firman Allah SWT:

كُلَّ يَوْمٍ هُوَ فِي شَأْنٍ

Maksudnya: “Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)!”

Surah ar-Rahman (29)

Menurut Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili, ayat ini menjelaskan berkenaan keadaan Allah di dalam mentadbir urusan-Nya pada setiap masa dan setiap hari. Antara urus tadbir Allah SWT adalah menghidupkan dan mematikan, memberi rezeki, memberi kemuliaan dan memberi kehinaan. Dia juga memberi kesakitan dan juga menyembuhkan, memberi arahan serta panduan di samping menegah beberapa perbuatan, mengampunkan dosa dan memberi azab kepada yang bersalah dan yang melakukan dosa, dan perbuatan-perbuatan lain yang tidak akan terkira oleh manusia.[5] [Lihat Tafsir al-Munir: 14/226]

Berdasarkan kefahaman daripada tafsir al-Quran ayat di atas, Allah SWT mempunyai urusan-Nya yang tersendiri yang kadang kala manusia tidak dapat huraikan melalui akal fikiran. Tidak semua dapat dibuktikan oleh akal manusia, tambahan pula dalam bab ghaib/metafizik seperti ini. Kedua, Allah SWT sentiasa dalam urusan yang berkaitan dengan hambaNya, dan juga sentiasa dalam urusan yang Allah SWT sahaja lebih mengetahui.

Kesimpulan
Justeru, Allah SWT adalah pencipta segala-galanya termasuk mencipta masa dan waktu. Jadi untuk meletakkan Allah SWT di dalam lingkungan masa ‘sebelum/selepas’ seperti manusia adalah tidak tepat. Oleh yang demikian, mengaitkan urusan Allah sebelum ciptaan alam ini secara tidak langsung mengaitkan Allah SWT dengan masa. Sedangkan Allah tidak bergantung kepada masa dan tempat seperti makhluk.

Namun begitu, berdasarkan surah ar-Rahman ayat 29 Allah SWT sentiasa mengurus dan mentadbir urus ciptaannya pada setiap masa. Wallahua’lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 10:51 PM GMT+8 , Processed in 0.993149 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list