CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 906|Reply: 0

Tidur orang berpuasa adalah ibadah

[Copy link]
Post time 27-4-2022 06:02 AM | Show all posts |Read mode
Tidur orang berpuasa adalah ibadah


BANYAK hadis yang memberi galakan supaya mempertingkatkan amal ibadat sepanjang Ramadan.

Terdapat dua jenis orang yang silap dalam menanggapi hadis berikut: "Tidur orang yang berpuasa itu ibadah, diamnya adalah tasbih, amalannya digandakan, doanya mustajab dan dosanya diampunkan."

Pertama, orang yang membaca hadis ini secara sekerat dan memahami cukup dengan tidur sahaja sepanjang hari berpuasa. Kedua, orang yang memahami hadis ini sebagai menggalakkan orang berpuasa supaya tidur sahaja, justeru, ia perlu ditolak kerana bertentangan dengan semangat berpuasa agar meningkatkan amal ibadah.

Kedua-dua sebenarnya silap dalam memahami teks dan konteks hadis berkenaan. Sebelum pencerahan lanjut, elok ditinjau terlebih dahulu mengenai status kedudukannya. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman melalui tiga jalan riwayat daripada Abdullah bin Abi Awfa RA. Jalan riwayat pertama tidak diulas oleh al-Baihaqi manakala jalan riwayat kedua dan ketiga dinyatakan: "Ma'ruf bin Hassan daif, manakala Sulaiman bin 'Amru al-Nakha'i lebih daif daripadanya."

Ketiga-tiga jalan riwayat al-Baihaqi ini melalui perawi bernama Abd al-Malik bin Umair. Al-Munawi mencatatkan dalam Faidh al-Qadir: "Menurut Ahmad, hadisnya bercelaru. Menurut Ibn Ma'in, seorang yang bercampur aduk hafazannya manakala menurut Abu Hatim, beliau bukan hafiz."

Justeru, al-Hafiz as-Suyuti dalam al-Jami' as-Saghir mengisyaratkan hadis ini sebagai daif. Demikian juga penilaian Mulla Ali al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu'ah.

Bagaimanapun, al-Hafiz Ahmad al-Ghumari dalam al-Mudawi telah membawakan dua riwayat sokongan, iaitu daripada hadis Ibn Mas'ud RA (riwayat Abu Nu'aim dalam al-Hilyah) dan hadis Ali bin Abi Talib RA (riwayat Hamzah as-Sahmi dalam Tarikh Jurjan dan Abu Talib al-Haruni dalam Amalinya). Namun, kedua-duanya bersanad daif.

Terdapat satu lagi riwayat sokongan daripada hadis Abdullah bin Umar RA. Al-Hafiz al-Iraqi menyatakan bahawa hadis ini diriwayatkan dalam Amali Ibn Mandah daripada riwayat Ibn al-Mughirah daripada Abdullah bin Umar RA dengan sanad yang daif. Cuma lafaz as-sa'im (orang berpuasa) ditukar kepada lafaz al-alim (orang alim). Al-Iraqi turut mengkritik: "Mungkin yang betul Abdullah bin Amru RA kerana ulama tidak menyebutkan bagi Ibn al-Mughirah sebarang riwayat lain selain daripadanya."

Ringkasnya, semua jalan riwayat ini saling menguatkan antara satu sama lain dan menunjukkan hadis ini ada asalnya daripada Nabi SAW. Sekurang-kurangnya boleh diamalkan sebagai fadhail amal.

Adapun orang yang memahami cukup dengan tidur sahaja sepanjang hari berpuasa sebenarnya hanya membaca hadis ini secara sekerat serta gagal memahaminya secara sinergi dengan banyak hadis lain tentang kelebihan dan galakan supaya mempertingkatkan amal ibadah pada Ramadan.

Orang yang memahami hadis ini sebagai menggalakkan orang berpuasa supaya tidur sahaja, juga sebenarnya gagal memahami konteks hadis. Seolah-olah orang yang berpuasa tidak boleh tidur walau dia berasa mengantuk dan letih sekalipun. Sedangkan mudah sahaja difahami bahawa setiap orang akan tidur sekiranya dia berasa mengantuk dan letih sama ada dia berpuasa atau tidak. Cuma bezanya tidur orang yang berpuasa menjadi ibadah, tetapi tidur orang yang tidak berpuasa tidak menjadi ibadah.

Al-Hafiz Ibn Rajab dalam Lata'if al-Ma'arif memberikan penjelasan yang cukup baik berkenaan maksud hadis ini. Kata beliau: "Jika dia berniat dengan makan dan minumnya supaya menjadi kuat badannya untuk berqiyam dan berpuasa, maka dia beroleh pahala dengan sebab niat itu. Sepertimana jika dia berniat dengan tidurnya pada malam hari atau siang hari supaya kuat untuk beramal maka tidurnya itu juga adalah ibadah. Dalam sebuah hadis marfu': 'Tidur orang yang berpuasa itu ibadah'. Menurut Hafsah binti Sirin, Abu al-Aliyah berkata: 'Orang yang berpuasa itu berada di dalam ibadah selama dia tidak mengumpat seseorang, walau dia tidur di atas tilamnya sekalipun'. Maka, Hafsah sering berkata: 'Alangkah untungnya beribadah, sedangkan aku tidur di atas tilamku.' Ia diriwayatkan oleh Abd al-Razzaq.

Ada pihak yang menolak hadis ini berpendapat, ia bercanggah dengan hadis sahih: "Barangsiapa yang berqiyam Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan ganjaran pahala akan diampunkan dosanya yang telah lalu." Seolah-olah orang yang berqiyam Ramadan tidak boleh tidur langsung walaupun pada siang hari. Sebenarnya saya tidak pasti apa percanggahan yang berlaku kerana hadis tidur tadi adalah tentang kelebihan orang yang berpuasa pada siang hari secara umum, sedangkan hadis kelebihan berqiyam Ramadan (bersolat Tarawih) pula galakan supaya orang berebut-rebut mendapatkan pahala ibadah itu pada malam hari. Secara jelas tiada sebarang percanggahan.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... puasa-adalah-ibadah

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 10:44 PM GMT+8 , Processed in 0.054707 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list