CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 929|Reply: 0

Jaga adab bertamu ketika beraya

[Copy link]
Post time 1-5-2022 09:47 AM | Show all posts |Read mode
Jaga adab bertamu ketika beraya


BUDAYA kunjung-mengunjung elok ditambah baik dengan adab yang dianjurkan dalam Islam agar bertambah keberkatan dan ganjaran pahalanya daripada Allah SWT. FOTO Arkib NSTP


Islam merupakan agama yang cukup indah dan sempurna. Segala serba serbi berkait kehidupan manusia diperincikan dengan cukup detail. Termasuk antaranya adab bertamu dan memuliakan tetamu. Menariknya di Malaysia, budaya kunjung mengunjung dan bersilaturahim di kalangan umat Islam bersempena sambutan hari raya telah dipraktikkan sejak turun temurun. Ia merupakan satu budaya yang amat baik dan selaras dengan ajaran Islam. Namun, budaya ini elok ditambah baik dengan adab-adab yang dianjurkan dalam Islam agar bertambah keberkatan dan ganjaran pahalanya daripada Allah SWT.  

Adab pertama yang perlu diutamakan ialah mengikhlaskan niat kerana Allah SWT. Tiada apa-apa kepentingan yang kita harapkan melainkan kasih sayang kerana Allah SWT semata-mata. Nabi SAW mengisahkan: "Suatu ketika ada seorang lelaki yang hendak menziarahi seorang saudaranya di sebuah kampung lain. Lalu Allah pun mengutuskan satu malaikat untuk menemui lelaki itu di tengah perjalanannya ke kampung yang dituju. Maka, ketika malaikat tersebut menemuinya dia pun bertanya: "Ke mana kamu hendak pergi?" Lelaki itu menjawab: "Saya nak menziarahi saudara saya yang berada di kampung ini". Malaikat itu bertanya lagi: "Adakah kamu mempunyai urusan penting yang perlu diselesaikan dengannya? Lelaki itu menjawab: "Tidak ada, hanyasanya saya mengasihinya kerana Allah SWT". Lalu malaikat itu berkata: "Sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah yang diutus untuk memberitahu kepadamu bahawa Allah amat mengasihimu sebagaimana kamu mengasihinya kerana-Nya." (Riwayat Muslim)

Kedua, meminta izin kepada tuan rumah. Perkara ini amat penting sehingga disebutkan secara terperinci dalam al-Quran. Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu). Maka, sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin), maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu: 'Baliklah', maka hendaklah kamu berpatah balik. Cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan." (Surah an-Nur: 27-28)

Jika sudah memberi salam sebanyak tiga kali, namun tiada orang yang menyahut, maka hendaklah kita beredar. Jangan memberi salam hingga berulang-ulang kali banyaknya. Nabi SAW bersabda: "Apabila seseorang kamu telah meminta izin sebanyak tiga kali, namun tetap tidak diizinkan, maka hendaklah dia beredar pulang." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tidak diizinkan bermaksud sama ada tuan rumah memang tiada di rumah atau pada ketika itu adalah masa yang tidak sesuai untuk tuan rumah menerima tetamu disebabkan berbagai urusan peribadi. Maka, janganlah mengintai-intai ke dalam rumah kerana ia adalah perbuatan yang dilarang. Sahl bin Sa'ad as-Sa'idi RA menceritakan bahawa pernah seorang lelaki mengintai melalui satu lubang pada pintu rumah Rasulullah SAW. Ketika itu Rasulullah SAW sedang menyisir rambutnya dengan satu penyisir besi. Tatkala baginda melihatnya, baginda berkata: "Kalau aku tahu engkau mengintai, nescaya aku cucukkan penyisir ini ke matamu." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya disyariatkannya meminta izin itu adalah demi menjaga pandangan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hal ini cukup ditekankan oleh Rasulullah SAW. Rib'ie bin Hirasy menceritakan bahawa pernah seorang lelaki daripada Bani 'Amir meminta izin kepada Nabi SAW ketika baginda berada dalam sebuah rumah. Dia berkata: "Bolehkah saya masuk?" Lalu Nabi SAW berkata kepada khadamnya: "Temui dia serta ajarkan kepadanya cara meminta izin. Suruh dia ucapkan: "Assalamu'alaikum, bolehkah saya masuk?" Namun, lelaki itu mendengar perkataan baginda, lalu ia pun mengucapkan: "Assalamu'alaikum, bolehkah saya masuk?" Maka, Nabi SAW pun memberikannya izin dan barulah dia masuk." (Riwayat Abu Dawud)

Justeru, apabila tuan rumah mengizinkan, maka barulah kita masuk dengan tertib serta wajah yang ceria. Sabda Nabi SAW: "Janganlah kamu menganggap remeh terhadap perkara kebaikan sedikit pun, walaupun kamu hanya bertemu saudaramu dengan wajah yang manis." (Riwayat Muslim)

Kemudian menjadi kewajipan tuan rumah untuk memuliakan tetamu yang datang. Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang beriman ‎dengan Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya." (Riwayat al-‎Bukhari dan Muslim)

Moga segala amalan ibadah kita diterima oleh Allah SWT serta amalan ziarah kita turut mendapat keberkatan dan kerahmatan daripada-Nya.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (INHAD),  Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... rtamu-ketika-beraya

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 10:58 PM GMT+8 , Processed in 0.899335 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list